Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Dilarang jaja bunga tanpa lesen di Pusara Abadi: Penjual bunga jalanan tampil kongsi cerita

Encik Abu, 52 tahun, sudah menjadi penjaja bunga jalanan selama 30 tahun lamanya sementara keluarga Encik Rahmat (bukan nama sebenar), 46 tahun, sudah 20 tahun menjaja bunga di Pusara Abadi.

Anggaran Waktu Membaca:

BERITAmediacorp: Encik Abu, 52 tahun, sudah menjadi penjaja bunga jalanan selama 30 tahun lamanya sementara keluarga Encik Rahmat (bukan nama sebenar), 46 tahun, sudah 20 tahun menjaja bunga di Pusara Abadi.

Kedua-duanya mungkin boleh dianggap sebagai semacam 'institusi' di Pusara Abadi di sini kerana merekalah antara wajah pertama anda lihat jika anda menziarahi tanah perkuburan itu. Mereka juga ibarat tempat persinggahan sebelum para pengunjung meneruskan perjalanan ke kubur sanak-saudara masing-masing.

Penjual bunga di jalan masuk menuju Pusara Abadi. (Gambar fail: BERITAmediacorp)

Namun kelibat mereka kini hampir tidak lagi kelihatan di sana.

Hakikatnya, tahun ini merupakan tahun paling mencabar bagi mereka. Pertama, ekoran COVID-19 dan langkah pemutus rantaian jangkitan virus (Circuit Breaker), mereka terpaksa berjauhan daripada tempat mereka mencari makan itu.

Encik Rahmat berkongsi tentang nasib beliau bersama BERITAmediacorp.

Kedua, sejak Julai, keluarga Encik Rahmat sudah beberapa kali disaman pihak berkuasa kerana menjaja tanpa lesen. Jumlah denda yang perlu dibayar melebihi S$1,000, sedangkan wang yang dibawa pulang setiap bulan hanya sekitar S$1,200.

Pasangan ini sudah 30 tahun menjadi penjual bunga. 

Encik Abu dan isterinya, Cik Nihayah, juga dikenakan saman S$300 atas sebab yang sama.

Agensi Makanan Singapura (SFA) menyatakan, menjaja tanpa lesen - menjual makanan ataupun barangan - tidak dibenarkan sama sekali. Ia suatu kesalahan di bawah Akta Kesihatan Awam Persekitaran.

SUDAH "LAMA" CUBA DAPAT LESEN

Berita mengenai serbuan dan tindakan penguatkuasaan ke atas para penjaja bunga jalanan di Pusara Abadi, dilaporkan BERITAmediacorp baru-baru ini (17 Sep). Laporan itu menyebut bahawa tiada lagi penjaja bunga jalanan kelihatan di Pusara Abadi setelah mereka disaman dan dilarang beroperasi kerana tidak berlesen.

Penjual bunga di jalan masuk menuju Pusara Abadi. (Gambar fail: BERITAmediacorp)

Beberapa penjual bunga jalanan yang kami hubungi enggan diwawancara ketika itu. Namun setelah laporan tersebut disiarkan di televisyen dan diterbitkan di portal BERITAmediacorp, Encik Abu dan Encik Rahmat baru-baru ini menghubungi pihak kami untuk tampil berkongsi cerita dan perspektif masing-masing.

Menurut kedua-dua penjaja ini, mereka sebenarnya sudah lama cuba untuk mendapatkan lesen.

"Lesen ni sudah lama kita sudah buat permohonan. Pada tahun 2015, 2016, 2018. Banyak kali," rintih Encik Rahmat.

Bahkan, bagi Encik Abu dan Cik Nihayah, mereka juga cuba mendapatkan bantuan dengan berjumpa Anggota Parlimen (AP) kawasan undi mereka.

"Kami sudah lama juga cuba tetapi masih belum dapat. Kami minta bantuan daripada MP kami pun tidak berjaya dapat lesen kerana jalan di Pusara Abadi itu tidak ada dalam senarai (dibolehkan menjaja)," tambah Cik Nihayah pula.

Suami beliau mendedahkan bahawa sebenarnya serbuan sudah ada sejak dulu lagi.

"Kita selalu kena cuma kita selalu lari. Bila pegawai tidak dapat saman kita, barang-barang kita dia angkatlah," kongsi Encik Abu jujur.

Sungguhpun begitu, Encik Abu dan Encik Rahmat, masih terus menjaja bunga di jalanan sehingga kebelakangan ini, kerana "sudah sebati" di Pusara Abadi.

Kata Encik Abu: "Saya dah lama serasi kan. Susah nak gostan ah."

"Dah tak kira, saman saman lah. Asalkan waris (pengunjung ke pusara) yang datang sini dapat bunga. Sudah lama saya di sini.

"Saya macam rasa sedih ada. Kecewa ada," luah Encik Rahmat pula.

PENJAJA BERI BEBERAPA SARANAN KEPADA PIHAK BERKUASA

Kini menerusi pihak media, Encik Abu dan Cik Nihayah serta Encik Rahmat merayu kepada pihak berkuasa agar dibolehkan menjaja bunga di Pusara Abadi. Mereka malah mengusulkan beberapa jalan keluar.

"Kalau tidak dapat jual di jalan itu, kita jual dalam lori boleh tak? Saya pernah tanya tetapi mereka tidak kasi jawapan," ujar Encik Rahmat.

"Saya pun harap SFA boleh beri kebenaran untuk kita berniaga di satu kedai di Pusara Abadi ini. Tidak dapat jual antara Isnin sampai Jumaat pun takpe. Saya nak Sabtu, Minggu (Ahad). Itu dua hari saya minta. Hari biasa saya boleh buat lain kerja macam potong rumput," usul beliau lagi.

Encik Abu dan Cik Nihayah juga meminta agar mereka diberi tempat khas di Pusara Abadi.

"Saya minta simpati NEA atau SFA untuk tempat. Maksud saya suruh mereka buat sesuatu untuk kita kan, lebih mudahlah. Untuk kita mencari rezeki di situ," kata Encik Abu.

MENGAPA HARUS ADA PENJUAL BUNGA DI KAWASAN PUSARA ABADI

Buat masa ini, hanya ada dua kedai jual bunga berlesen di kawasan tanah perkuburan. Satu di Pusara Aman dan satu lagi di Cemetery Central Street 25, berdekatan tanah perkuburan Kristian. Di Pusara Abadi, tiada sebarang kedai berlesen.

Kedai jual bunga di Cemetery Central St 25.

Encik Rahmat berhujah bahawa membuka kemudahan untuk membeli bunga di Pusara Abadi seharusnya disediakan demi memudahkan para pengunjung pusara.

"Pasal Pusara Aman itu dah kira Jalan Bahar. Pusara Abadi ini di Lim Chu Kang. Takkan semua orang nak pergi Pusara Aman sana, berapa jauh nak patah balik sana (Pusara Abadi)," hujah Encik Rahmat.

Ada juga pihak-pihak yang mengutarakan idea supaya pondok-pondok sedia ada di Pusara Abadi dibuka kepada para penjaja bunga sebagai tempat alternatif bagi mereka, berbanding menjaja di jalan masuk Pusara Abadi.

Sebuah pondok di Pusara Abadi. (Gambar: Google Maps)

INGIN TERUS CUBA DAPATKAN LESEN

Yang pasti Encik Abu dan Encik Rahmat belum berputus asa dan enggan berpeluk tubuh.

"Saya bulan depan nak mohon lagi. Ada, ada surat dia," kata Encik Rahmat.

Mendapatkan lesen juga menjadi keutamaan Encik Abu dan Cik Nihayah untuk terus dapat menjual bunga.

SFA sebelum ini menerangkan kepada BERITAmediacorp bahawa penjaja yang inginkan lesen boleh langsung menulis kepadanya. Ini boleh dilakukan menerusi borang maklum balas online SFA.

Agensi itu sudahpun menjelaskan menerusi laman webnya bahawa kriteria kelayakan bagi lesen di bawah Skim Penjaja Jalanan adalah ketat. Ia juga menyatakan menjaja secara jalanan tanpa lesen menimbulkan risiko kepada kesihatan awam.

Maka itulah, demi melindungi keselamatan awam, SFA bertindak terhadap penjaja tanpa lesen.

Badan pemerintah itu mengesahkan kepada BERITAmediacorp bahawa pada bulan Ogos sahaja, ia menerima dua aduan mengenai penjaja jalanan di Pusara Abadi.  

Sumber : BERITA Mediacorp/aq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan