Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Diberhentikan kerja? Jalani Program Kemahiran SGunited, dapat elaun bulanan $1,200

Program Kemahiran SGUnited bertujuan untuk membantu mengukuhkan kedudukan para pekerja pertengahan kerjaya menerusi peluang-peluang latihan sepenuh masa.

Anggaran Waktu Membaca:
Diberhentikan kerja? Jalani Program Kemahiran SGunited, dapat elaun bulanan $1,200

Encik Sabtu Osman ikuti Program Kemahiran SGUnited setelah diberhentikan kerja. (Gambar-gambar: Sabtu Osman)

Diterbitkan : 17 Nov 2020 11:11PM Dikemas Kini : 19 Nov 2020 06:36AM

SINGAPURA: Apabila diberhentikan kerja pada April tahun ini, Encik Sabtu Osman, dengan pantas memikirkan alternatif bagi memastikan beliau dapat terus menyara keluarganya.

Tambahan lagi, dengan keadaan ekonomi yang serba tidak menentu disebabkan oleh pandemik COVID-19, ia menyulitkan lagi proses mendapatkan pekerjaan baru.

Sedang beliau berusaha mencari pekerjaan baru, Encik Sabtu juga mendapat tahu tentang Program Kemahiran SGUnited. Program di bawah Pakej Pekerjaan dan Kemahiran SGUnited itu, menawarkan pelbagai kursus latihan dengan elaun bulanan sebanyak $1,200.

Maka pada usia 51 tahun, Encik Sabtu ‘kembali ke bangku sekolah’. Ini demi memastikan beliau dapat merebut peluang pekerjaan baru atau mungkin juga menjadi ‘tauke’ pada masa akan datang, sambil memanfaatkan kemahiran barunya.

Berbekalkan minatnya dalam bidang masakan, Encik Sabtu mendaftarkan diri untuk mengikuti kursus diploma selama 12 bulan dalam bidang Khidmat Makanan (Pastri dan Kek) di Pusat Pendidikan Hotel dan Pelancongan Singapura (SHATEC).

Ini merupakan bidang yang baru dan jauh berbeza daripada pekerjaan beliau sebelum ini. Encik Sabtu sebelum ini bertugas sebagai pakar penyenggara ujian cip komputer selama hampir 25 tahun sebelum diberhentikan kerja.

“Anak-anak ada kata mungkin ini masanya untuk saya berehat. Tapi saya kata tak boleh sebab duit mesti nak ada. Ada benda yang nak dibayar. Keperluan asas, bil api air,” kata Encik Sabtu, yang menetap di rumah flat empat bilik bersama isteri dan empat anaknya. Anggota keluarganya juga terjejas dari segi pekerjaan dan pendapatan akibat COVID-19.

SERONOK: TAMBAH ILMU, DAPAT ELAUN

Sejauh ini, Encik Sabtu sudah mengikuti kursus tersebut selama enam minggu dan mengakui bahawa beliau berasa seronok mempelajari banyak kemahiran baru.

“Saya sudah enam minggu berkursus. Ia sebanyak tiga kali seminggu. Saya sudah belajar cara buat Swissroll, cream puff dan kek span. Dulu saya cuma tolong orang bancuh, sekarang sudah tahu buat. Seronoklah,” cerita beliau, yang merancang untuk memulakan perniagaan makanan sendiri atau bekerja dalam industri makanan dan minuman (F&B).

Encik Sabtu menambah, beliau sangat menggalakkan anggota masyarakat lebih-lebih lagi mereka yang diberhentkan kerja atau yang sedang mencari peluang pekerjaan baru supaya mendapatkan maklumat lanjut tentang Program Kemahiran SGUnited itu.

“$1,200 elaun bagi saya OK. Sekurang-kurangnya ada duit sikit. Saya ambil kursus ini, orang kata, dapat tambah ilmu dan saya dapat kewangan juga,” ujar Encik Sabtu.

PERSIAP PEKERJA BAGI SEKTOR-SEKTOR YANG PERLUKAN TENAGA KERJA

Program Kemahiran SGUnited itu bertujuan untuk membantu mengukuhkan kedudukan para pekerja pertengahan kerjaya menerusi peluang-peluang latihan sepenuh masa. Para pekerja yang dimaksudkan adalah mereka yang mempunyai pengalaman kerja lebih dua tahun.

Latihan-latihan yang ditawarkan itu adalah bagi tempoh antara enam dengan 12 bulan, dengan elaun bulanan sebanyak $1,200, tertakluk kepada kriteria kelayakan.

Mereka akan dilatih untuk mempersiapkan diri mereka bagi pekerjaan-pekerjaan dalam sektor-sektor yang memerlukan lebih ramai tenaga kerja ataupun berpotensi untuk tumbuh lebih pesat.

Ini lebih-lebih lagi, dalam persekitaran ekonomi yang mencabar, di mana sektor-sektor pekerjaan tertentu akan hilang manakala terdapat sektor-sektor lain yang bakal berkembang maju. Maka itu, langkah proaktif untuk merebut peluang bagi menjalani latihan sedemikian menjadi semakin penting.

BIDANG KURSUS YANG ‘TOP’

Untuk mencerahkan lagi peluang-peluang mereka untuk mendapatkan pekerjaan selepas mengikuti Program Kemahiran SGUnited itu, para pekerja turut digalak untuk menimba kemahiran-kemahiran baru dalam bidang-bidang tertentu.

Bagi pekerja golongan karyawan, pengurus, eksekutif dan teknisyen (PMET) ini termasuk kejuruteraan jitu (precision engineering), pengangkutan darat, pengilangan maju (advanced manufacturing), binaan (construction), pengangkutan laut dan khidmat-khidmat sekitaran (environmental services).

Bagi pekerja bukan dalam kalangan PMET, mereka digalakkan mengikuti kursus-kursus dalam bidang-bidang seperti kejuruteraan jitu (precision engineering), pengangkutan darat, binaan (construction), pengangkutan laut dan keselamatan.

Untuk mendapatkan perincian lanjut mengenai kursus-kursus yang boleh disertai menerusi Program Kemahiran SGUnited, anda boleh mengklik pautan ini yskillsfuture.sg/sgunitedskills. Anda juga boleh melihat senarai penuh kursus yang ditawarkan dan membuat permohonan di pautan ini go.gov.sg/sgunitedskillscourses

(Rencana ini adalah iklan dari SkillsFuture Singapore).

Sumber : BERITA Mediacorp/nk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan