Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Diabetes Singapore lancar program SEDAP demi bantu pesakit kencing manis puasa dengan selamat

Pertubuhan Diabetes Singapore hari ini (3 Apr) melancarkan satu usaha yang bertujuan membantu masyarakat Melayu menjalani ibadah puasa dengan selamat.

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Pertubuhan Diabetes Singapore hari ini (3 Apr) melancarkan satu usaha yang bertujuan membantu masyarakat Melayu menjalani ibadah puasa dengan selamat.

Inisiatif itu dipanggil SEDAP, iaitu singkatan bagi 'Special Education in Diabetes & Awareness Programme' (Program Kesedaran & Pendidikan Khas tentang Diabetes).

Usaha ini sememangnya penting kerana kencing manis menjejas seorang daripada setiap tujuh individu dalam masyarakat Melayu.

Ibadah puasa pula pasti sesuatu yang ingin ditunaikan tetapi ia boleh memudaratkan sekiranya seseorang tetap ingin berpuasa sedangkan kesihatan mereka tidak mengizinkan.

Pakar endokrinologi daripada Jabatan Perubatan Kesihatan Sengkang, Dr Sueziani Zainudin, menarik perhatian bahawa pesakit kencing manis antara lain berdepan risiko 'hyperglycemia' di mana kadar gula dalam darah mereka melambung tinggi. Ada juga risiko dehidrasi, 'Diabetic Ketoacidosis' (paras asid dan gula yang tinggi) serta keadaan tubuh yang tidak terbiasa dengan pola pemakanan yang berbeza.

APA YANG AKAN DIJALANKAN?

Di bawah SEDAP, sekitar 5,000 buku panduan berpuasa dengan selamat akan diagihkan ke semua masjid merata Singapura.

Buku disiapkan hasil kerjasama dengan Politeknik Temasek itu membentangkan tujuh petua yang akan membantu pesakit kencing manis dapat menjalani ibadah berpuasa dengan selamat.

Salah satu petua termasuklah saiz hidangan setiap kali berbuka.

Mereka yang ingin berpuasa digalak menyertakan bahan protein dan memilih sumber karbohidrat yang bermutu.

"Kami juga akan menjalankan program-program lain seperti kursus SkillsFuture. Subsidi diberikan bagi kursus seperti itu," kata Presiden Diabetes Singapore, Dr Kalpana Bhaskaran.

Kursus-kursus yang beliau sebutkan akan menyentuh tentang cara-cara menyiapkan masakan sihat mahupun memupuk gaya hidup sihat.

SEDAP juga merangkumi siri ceramah dan sesi pemeriksaan kesihatan di kawasan kejiranan.

METERAI MOU DENGAN ASTRAZENECA

Sempena pelancaran SEDAP di Hab Tampines Kita, Diabetes Singapore turut memeterai satu Memorandum Persefahaman dengan syarikat AstraZeneca.

Majlis disaksikan Menteri Kedua Kesihatan Masagos Zulkifli dan Setiausaha Parlimen Kesihatan Rahayu Mahzam.

Kerjasama yang terjalin bakal membolehkan sehingga 35,000 anggota masyarakat menjalani ujian mengesan tahap awal kencing manis menggunakan teknologi AstraZeneca.

Jika kencing manis dapat dikesan sejak peringkat awal lagi, masalah buah pinggang misalnya, juga dapat dicegah.

"Kami akan menjalankan pemeriksaan bagi komplikasi masalah saluran dalam tubuh, terutama sekali bagi penyakit buah pinggang. Dalam hal ini sini juga, orang Melayu mempunyai risiko lebih tinggi," tambah Dr Kalpana.

KUMPULAN KERJA HARAP DAPAT ATUR PROGRAM PADA RAMADAN

Selaku tetamu terhormat, Cik Rahayu memuji usaha Diabetes Singapore kerana ia sangat tertumpu.

"Kadangkala keinginan untuk berpuasa itu lebih kuat daripada kepentingan untuk menjaga kesihatan. Tetapi kita sedia maklum bahawa agama kita sendiri mengatakan kita perlu pastikan yang kita mampu berpuasa. Kesihatan itu amat penting," ulasnya mengenai isu kesihatan dan berpuasa.

Ditanya sekiranya kumpulan kerja yang baru-baru ini dibentuk untuk mempertingkat kesihatan masyarakat Melayu sudah mempunyai sebarang perancangan, ini jawapan Cik Rahayu:

"Kami masih di peringkat awal perancangan tetapi harap-harap kami dapat memulakan sesuatu yang bermakna, terutama sekali bagi Ramadan ini kerana Ramadan merupakan satu waktu yang sesuai untuk orang ramai cuba mengubah sikap dan kegiatan mereka, untuk menjadi lebih baik dan lebih sihat."  

LAPORAN BERKAITAN:


Sumber : BERITA Mediacorp/aq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan