Images
  • diabetes peraduan
    Gambar: Diabetes Singapore

Diabetes S'pore & Asas '50 anjur peraduan tulis puisi galak masyarakat Melayu cegah kencing manis

SINGAPURA: Pertubuhan amal Diabetes Singapore mempelawa para anggota masyarakat Melayu untuk menyertai Peraduan Menulis Puisi 2021 dengan tema "Penyakit Kencing Manis Dalam Kalangan Masyarakat Melayu".

Peraduan yang dianjurkan dengan kerjasama Angkatan Sasterawan ’50 (Asas ’50) itu bermatlamat untuk mendampingi masyarakat Melayu dalam usaha memerangi penyakit kencing manis.


Usaha ini dianggap tepat pada waktunya, lebih-lebih lagi di tengah-tengah trend yang membimbangkan, di mana kaum Melayu didapati lebih cenderung menghidap penyakit kencing manis berbanding kaum-kaum lain di Singapura.

Dalam ucapannya di Parlimen pada 5 Mac, Setiausaha Parlimen Kesihatan Rahayu Mahzam menukil perangkaan tahun lalu yang menunjukkan 14.4 peratus orang Melayu menderita penyakit kencing manis berbanding 14.2 peratus orang India dan 8.2 peratus orang Cina.

Peraduan Menulis Puisi 2021 dibuka kepada para peserta mengikut tiga kategori usia:

  • Belia (15 hingga 35 tahun)
  • Dewasa (36 hingga 59 tahun)
  • Warga Emas (60 tahun ke atas)

Para peserta dikehendaki menulis puisi dua hingga empat kerat dalam bahasa Melayu mengenai "Penyakit Kencing Manis Dalam Kalangan Masyarakat Melayu".

Hantarkan karya puisi masing-masing ke MalayPoetry@gmail.com berserta nombor telefon selewat-lewatnya 15 April.

Hadiah yang ditawarkan adalah wang tunai bernilai S$1,000 bagi juara dan fonkepala serta baucar Fairprice bagi pemenang setiap kategori. Para pemenang akan dimaklumkan menerusi emel pada 23 April.

Butiran lanjut boleh didapatkan di laman Facebook Diabetes Singapore.

Menurut Diabetes Singapore, usahanya itu bertujuan untuk melengkapi program-program Lembaga Penggalakan Kesihatan (HPB) yang menggalak masyarakat supaya lebih kerap bersenam dan mengamalkan pemakanan yang sihat.

Sejak April 2016 lagi, Pemerintah telah mengisytiharkan usaha untuk memerangi kencing manis yang menelan belanja lebih S$1 bilion setiap tahun untuk ditangani.

Usaha seluruh negara itu menggembleng tenaga agensi-agensi pemerintah, sektor privet serta kumpulan-kumpulan pesakit dan penyedia khidmat jagaan kesihatan.

Menteri Pembangunan Sosial dan Keluarga Masagos Zulkifli mengatakan tahun lalu bahawa satu daripada setiap tiga rakyat Singapura berisiko mengalami penyakit kencing manis dalam jangka hayat mereka.

Dalam kalangan masyarakat Melayu khususnya, penyakit kencing manis dipercayai menjadi punca utama ramai penduduk Melayu mengalami kegagalan ginjal.

Menurut data Daftar Buah Pinggang Singapura pada tahun lalu, bilangan pesakit Melayu melonjak setinggi 50 peratus dalam tempoh 10 tahun.

Baru-baru ini, sebuah kumpulan kerja ditubuhkan dengan matlamat untuk mempertingkatkan kesihatan kumpulan etnik minoriti di Singapura, dengan masyarakat Melayu menjadi tumpuan pertama. 

- BERITAmediacorp/zm

Top