Images
  • ntu wooden
    Bangunan baru yang bakal dibangunkan di NTU. (Gambar: RSP Architects Planners & Engineers)

Di NTU, bangunan kayu terbesar Asia bakal dibina

SINGAPURA: Universiti Teknologi Nanyang (NTU) bakal menampilkan bangunan diperbuat daripada kayu yang terbesar di Asia.

Presiden NTU, Profesor Subra Suresh, mendedahkan demikian pada Isnin (27 Ogos). Ia adalah sebahagian daripada rancangan selama lima tahun bagi menjadikan universiti itu sebuah universiti terunggul di dunia menerusi beberapa projek yang disifatkan beliau sebagai projek "bercita-cita tinggi".

Bangunan akademik baru seluas 40,000 meter persegi itu akan menelan belanja S$180 juta dan dijangka siap dibina pada 2021.

Direka oleh RSP Architects Planners & Engineers, bangunan setinggi enam tingkat itu akan menempatkan Sekolah Perniagaan Nanyang serta kegiatan-kegiatan beberapa kolej dan fakulti NTU, menurut kenyataan media yang dikeluarkan oleh universiti tersebut.

"Dengan menggabungkan pendekatan kami terhadap inovasi dan kemampanan, bangunan akademik baru itu akan menjadi bangunan kayu terbesar di Asia. Ia menampilkan ciri Kampus Bijak NTU dan menunjukkan bahawa kami 'mengotakan' komitmen kami terhadap kemampanan," kata Profesor Suresh.

Semasa berucap di satu mesyuarat warga universiti, Profesor Suresh mengumumkan sasaran-sasaran tertentu yang menumpukan perhatian terhadap usaha menarik fakulti dan mahasiswa cemerlang, menghasilkan program akademik dan penyelidikan baru serta mempertingkatkan usaha mendampingi masyarakat di kampus itu.

Universiti itu juga akan memperbaharui komitmennya untuk menyokong pengambilan para mahasiswa cemerlang menerusi biasiswa dan dermasiswa.

"Pelajar rakyat Singapura yang layak tidak akan dinafikan pendidikan bertaraf dunia di NTU hanya semata-mata mereka mempunyai masalah kewangan atau halangan lain," kata Profesor Suresh. 

- CNA/AI/ai

Top