Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Dhanie Ardiyan, Firdaus Toslimin antara graduan terkini SIT

Lebih 2,000 graduan Institut Teknologi Singapura (SIT) tahun ini akan menerima ijazah sepanjang minggu ini.

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Lebih 2,000 graduan Institut Teknologi Singapura (SIT) tahun ini akan menerima ijazah sepanjang minggu ini.

Tinjauan SIT mengenai pengambilan kerja mendapati, lebih 70 peratus daripada kohort 2021 sudahpun mendapat pekerjaan selepas tamat pengajian.

46 graduannya pula merupakan kohort perintis program Kejuruteraan Sistem Pesawat (ASE). Program tiga tahun itu merupakan kursus baru yang ditawarkan oleh SIT dengan kerjasama Syarikat Kejuruteraan SIA (SIAEC).

(Gambar: SIT)

Antara graduan ASE yang bakal meraih Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan (Kepujian) ialah Dhanie Ardiyan, 25 tahun.

Meskipun menamatkan pengajian di tengah-tengah cabaran pandemik COVID-19, di mana industri penerbangan terjejas, Dhanie tetap bersikap positif dan yakin akan masa depannya.

"Sebagai kohort yang pertama, saya berasa senang mengetahui bahawa kohort-kohort yang akan datang akan diberikan lebih banyak peluang," kata Dhanie yang juga merupakan Presiden pertama bagi kohort kursusnya itu.

"Ini memandangkan situasi pandemik ini akan beralih pulih di seluruh dunia, dan industri penerbangan kelihatan meyakinkan untuk kembali ke asal sebelum COVID-19," tambahnya lagi.

Menurut Dhanie juga, pelbagai pertubuhan turut berminat untuk menawarkan pekerjaan kepada graduan-graduan ASE, lantas menunjukkan bahawa program ini mempunyai potensi dan sangat relevan di dalam industri.

MINAT TERHADAP JURUTERA & PESAWAT

Minat mahu menjadi jurutera pesawat sebenarnya merupakan cita-cita Dhanie sejak kecil lagi.

"Dari kecil lagi, saya terpesona dengan kerumitan pesawat dan kejuruteraan. Apabila saya mendapat tahu tentang kursus ASE ini, saya amat gembira kerana ia membuka jalan bagi saya merealisasikan cita-cita idaman saya," kongsi Dhanie.

(Gambar: SIT)

Bagaimanapun pemegang Biasiswa Jurutera Pesawat Pelatih dari Syarikat Kejuruteraan SIA (SIAEC) itu mengaku perjalanannya meraih ijazah ini bukanlah mudah.

"Pengajian dalam tahun pertama dan kedua adalah sangat mencabar. Saya harus mengimbangi masa dan tanggungjawab sebagai presiden dalam kursus ini, bekerja sambilan pada hujung minggu dan juga mengulangkaji pelajaran-pelajaran yang sudah diajar di sekolah," ujar Dhanie.

Sebagai presiden bagi kohort perintis ASE itu, Dhanie bertanggungjawab untuk memastikan kebajikan para pelajarnya itu terjaga dan komunikasi antara pihak SIT dan SIAEC lebih berkesan berhubung pengurusan akademik.

(Gambar: SIT)

Namun, siswazah berusia 25 tahun ini tetap tabah dan tidak pernah hilang tumpuan.

"Saya menggunakan mantra 'If you want something you’ve never had, then you have to do something you have never done,' (Jika anda mahu kan sesuatu yang belum pernah anda ada, anda perlu lakukan sesuatu yang belum pernah anda lakukan) - Satu petikan Inggeris yang saya ternampak di Internet untuk menangani setiap cabaran yang bakal menimpa," kongsi Dhanie.

Dhanie akan menerima ijazahnya Jumaat ini (22 Okt) dan sudahpun mula bekerja sebagai Jurutera Pesawat Pelatih.

FIRDAUS TOSLIMIN GRADUAN IJAZAH KEPUJIAN FISIOTERAPI

Selain Dhanie, seorang lagi graduan baru SIT ialah Firdaus Toslimin, 26 tahun. Firdaus bakal menerima Ijazah Sarjana Muda Sains (Kepujian) dalam Fisioterapi yang ditawarkan SIT bersama Kolej Trinity Dublin.

Dia sebelum ini memegang diploma dalam kejuruteraan bioperubatan.

Bagi Firdaus juga, perjalanan menjadi seorang siswazah SIT cukup menguji dirinya, khususnya semasa berada di tahun tiga pengajian.

"Tangan kiri saya tercedera ketika saya sedang merawat seorang pesakit dan oleh kerana itu, saya tidak boleh menyelesaikan dua penempatan klinikal (clinical placement) saya dengan betul," kongsi Firdaus.

Beberapa minggu kemudian, Firdaus ditimpa dengan satu lagi cabaran.

"Ayah saya pula meninggal dunia," kata Firdaus, yang mempunyai dua orang adik.

"Susah jugalah sebab saya pun tak boleh kasi banyak fokus semasa saya dengan pesakit."

TERPAKSA SELESAIKAN KURSUS 4 BULAN LEBIH LEWAT

Akibat kecederaan di tangannya, Firdaus juga terpaksa menyelesaikan kursusnya itu empat bulan lebih lewat daripada rakan-rakan sekursusnya.

Walaupun kecewa, azamnya mahu menjadi seorang fisioterapi jauh lebih penting daripada itu.

"Saya teringat kembali bahawa saya menyertai kursus ini kerana saya suka menolong orang lain. Saya juga suka melihat orang lain sihat," kongsi Firdaus.

"Walaupun saya menghadapi pelbagai cabaran sejauh ini, saya rasa ia dapat membuatkan saya menjadi (ahli) fisioterapi yang lebih baik," tambahnya lagi.

Selain itu, Firdaus juga amat bersyukur kerana mendapat sokongan daripada sekumpulan rakan rapat yang sering memberikan motivasi dan mendorongnya untuk meneruskan pengajiaannya itu.

Bagi Firdaus yang bakal menerima ijazahnya esok (20 Okt), ini merupakan saat yang dinanti-nantikan kerana akhirnya dia berjaya menamatkan kursusnya itu.

Firdaus akan memulakan kerja sebagai Fisioterapi Hospital Besar Sengkang (SKH) pada November ini. 

Sumber : BERITA Mediacorp/nj
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan