Images
  • dewi connect1
    Acara 'Dewi Connect' menyediakan wadah bagi usahawan wanita belajar dan menjalin rangkaian dengan usahawan lain.

'Dewi Connect' orak langkah kerjasama dengan usahawan Sabah

SINGAPURA: Cabang wanita Dewan Perniagaan dan Perusahaan Melayu Singapura (DPPMS), Dewi, mengorak langkah untuk meneroka dan menjalin kerjasama perniagaan dengan rangkaian usahawan dari Sabah.

Ini termasuk memasarkan produk tempatan di negara satu sama lain.

Dihadiri seramai 100 anggota dan bukan anggota DPPMS, acara itu dianjurkan demi menyediakan wadah bagi usahawan wanita untuk belajar dan menjalin rangkaian dengan usahawan lain.

Sebagai permulaan, 10 peniaga dari Sabah menyertai acara 'Dewi Connect' di Wisma Geylang Serai pada Jumaat (20 Sep).

'IRON LADY OF SABAH' KONGSI SUKA DUKA DUNIA PERNIAGAAN

Rombongan peniaga dari Sabah dipimpin usahawan mapan Cik Khatijah Bacthiyal, yang arif dalam selok-belok perniagaan.


Bermula sebagai usahawan keropok kecil-kecilan, perniagaannya berkembang sehingga berjaya memiliki empat buah syarikat. Bahkan beliau turut diberi gelaran 'Wanita Waja Sabah' (Iron Lady of Sabah) dek semangatnya yang kuat dan tidak mudah berserah.

Beliau yang memegang jawatan Presiden di Persatuan Usahawan Industri Kecil dan Sederhanan Wanita Bumiputera Sabah, mengalu-alukan peluang untuk bekerjasama dengan peniaga Singapura.

"Saya rasa bertapak di Singapura adalah satu keputusan yang baik sebab kita tidak sahaja menemui orang Singapura tetapi kita menemui masyarakat antarabangsa yang lain, di Singapura.

"Jadi saya tengok sektor halal mungkin, terutamanya dalam bidang kosmetik dan juga makanan," kata Cik Khatijah, yang juga ibu kepada enam cahaya mata.

PELUANG PAPAR PRODUK, PERKHIDMATAN KEPADA M'SIA

Para peserta yang terdiri daripada anggota dan bukan anggota DPPMS juga berpeluang mengikuti perkongsian pengalaman tentang selok-belok perniagaan daripada usahawan tempatan.


Di acara yang sama, para anggota DPPMS juga mempamerkan barangan mereka, sekali gus memperluaskan lagi kemampuan produk-produk mereka kepada rangkaian yang lebih besar.

"Sesi sebegini sangat membantu dan harus diteruskan kerana ia memberi satu inspirasi kepada dua negara untuk memajukan ekonomi masing-masing," kata Cik Azura Shafawi, seorang usahawan fesyen.

Memberikan penjelasannya mengenai kebaikan acara sulung itu, Cik Fadilah Majid, Pengerusi Dewi berkata: "Bagi para anggota mereka akan dapat manfaat dengan menjalin rangkaian perniagaan dengan yang ada hari ini. Mereka juga berpeluang untuk memaparkan produk dan khidmat mereka di kalangan bukan saja anggota para peniaga di Singapura tetapi juga dari Malaysia."

DPPMS berharap usahanya itu bukan sahaja akan memperkasakan anggotanya, tetapi juga merangsang lebih ramai peniaga dalam kalangan golongan Hawa, untuk melihat manfaat menjadi anggota Dewan tersebut.  

- BERITAmediacorp/im

Top