Images
  • kereta api baru
    Kereta api baru yang tiba di Singapura hari ini. (Gambar: LTA)

'Detik bersejarah' - Kereta api baru Laluan Thomson-East Coast tiba di S'pura

SINGAPURA: Kereta api pertama daripada 91 kereta api empat gerabak bagi Laluan Thomson-East Coast (TEL) tiba di Singapura hari ini (25 Mei), menurut Penguasa Pengangkutan Darat (LTA).

Kereta api automatik sepenuhnya itu adalah yang pertama di Singapura dengan lima pintu di sebelah kanan dan kiri setiap gerabak. Ini akan memudahkan penumpang turun naik kereta api, menurut LTA.

Kereta api yang berwarna perang berdasarkan warna TEL itu akan menjalani percubaan lanjutan sebagai persiapan sebelum memulakan perkhidmatan apabila fasa pertama TEL dibuka pada hujung 2019.

Baki kereta api akan tiba di Singapura secara bertahap-tahap antara sekarang hingga 2022, dedah LTA.

Sementara itu, Menteri Pengangkutan Khaw Boon Wan menulis di Facebook, menyifatkan ketibaan kereta api itu sebagai 'detik bersejarah'.

Beliau turut menarik perhatian bahawa kereta api baru itu tiba, lebih 30 tahun selepas kereta api MRT Singapura yang pertama sampai di Terminal Kontena Tanjong Pagar pada Mei 1986. 

- CNA/SM/sm

Top