Images
  • Project Ihsan 2019
    Projek Ihsan 2018. (Gambar-gambar: Projek Ihsan 2018)

Dermakan baju Hari Raya anda kepada keluarga kurang bernasib baik hujung minggu ini

SINGAPURA: Jika anda mahu mendermakan pakaian dan aksesori Hari Raya dari tahun-tahun sudah namun tidak pasti bagaimana dan kepada siapa, ini berita baik untuk anda.

Jawatankuasa Pengurusan Kelab Masyarakat Tampines West (CCMC) membuka pintunya untuk mengumpulkan baju-baju dan aksesori Hari Raya daripada rakyat Singapura pada hujung minggu ini, iaitu pada 16 dan 17 Mac. (Maklumat terperinci bagi yang ingin menderma dilampirkan di hujung artikel ini).


Aksesori Hari Raya termasuk songkok, butang baju, kain samping, beg dan kasut Raya.

Seperti tahun lalu, orang ramai juga diajak mendermakan air botol dan kuih-muih Raya.

Semua yang dikumpulkan itu akan diagihkan kepada keluarga-keluarga kurang bernasib baik yang menetap di Tampines pada 25 Mei dan di yang tinggal kawasan-kawasan lain pada 26 Mei.

Edisi ketiga inisiatif tahunan yang dipanggil Projek Ihsan itu mahu menggalak rakyat Singapura supaya menyumbang kembali kepada masyarakat.


Ia juga diharap dapat menyuntik sedikit keceriaan menyambut Hari Raya dalam kalangan keluarga-keluarga memerlukan.

Projek Ihsan 2019 adalah program kebajikan masyarakat anjuran CCMC dengan sokongan M³@Tampines,Starbucks, Pusat Kegiatan Warga Emas Evergreen Circle dan Gerakan Baik Budi Tampines.

Ia juga ditaja Persatuan Pedagang dan Kumpulan Dermawan Tampines West.

Projek Ihsan 2017 dan 2018 menerima sambutan amat memberangsangkan daripada masyarakat.


BERITAmediacorp diberitahu, tahun lalu sahaja, penganjur menerima lebih 500 individu bermurah hati, yang secara keseluruhannya mendermakan lebih 20,000 pakaian dan aksesori.

Ini bermakna, sambutan Hari Raya 2018 lebih meriah bagi sekitar 1,000 keluarga kurang bernasib baik - 500 di Tampines dan lagi 500 di kawasan-kawasan lain.

Pengerusi Jawatankuasa Penganjur Projek Ihsan 2019, Ramlan Dollah, memberitahu BERITAmediacorp, tahun ini beliau menanam harapan jauh lebih besar - iaitu menceriakan Aidilfitri bagi keluarga Melayu/Islam di "seluruh Singapura".

"Selepas projek pertama ramai yang betul-betul memberikan sokongan. Ini bermakna keluarga Melayu/Islam kita suka membantu dan yang ingin dibantu pun ramai. Jadi saya buat tahun kedua, lagi ramai yang datang membantu.

"Saya mengharapkan masyarakat datanglah menyumbang untuk membantu. Tanpa mereka kita tak boleh menghulurkan bantuan," kata Encik Ramlan.


Lebih 150 sukarelawan yang terdiri daripada kalangan anggota akar umbi, pihak Masjid Darul Ghufran, Starbucks dan mat-mat motor dari kumpulan MEnTEL akan berganding bahu dalam kempen tiga bulan ini.

Dalam tempoh itu, mereka akan menguruskan proses menyambut derma masyarakat, mengasingkan, membungkus semula pakaian dan aksesori mengikut kategori, saiz dan sama ada ia sesuai dan masih elok.

LAMPIRAN MAKLUMAT TERPERINCI BAGI YANG INGIN MENDERMA

1) Barangan: Pakaian dan aksesori Hari Raya

Tarikh: 16 dan 17 Mac

Masa: 10.00 pagi hingga 6.00 petang

Lokasi: Gelanggang Bola Keranjang, Kelab Masyarakat Tampines West


2) Barangan: Air botol dan kuih-muih Raya

Tarikh: 6 hingga 17 Mei

Masa: 10.00 pagi hingga 8.00 malam

Lokasi: Kaunter utama, Kelab Masyarakat Tampines West

- BERITAmediacorp/nk

Top