Images

Derma pakaian untuk mangsa bencana: Satu keperluan atau hambat bantuan kritikal?

BERITAmediacorp: Apabila berlaku bencana alam di negara-negara jiran, ramai yang bersimpati dan mahu menghulurkan bantuan seberapa yang mampu. Selain mendermakan wang, satu lagi bantuan ‘popular’ adalah menderma pakaian.

Misalnya, dalam kes Masjid Istiqamah baru-baru ini. Ramai yang menyahut rayuan masjid itu supaya menderma pakaian bagi mangsa-mangsa gempa di Lombok, sehingga terlalu banyak pakaian ‘dilonggokkan’ oleh orang ramai di pekarangan masjid.


(Gambar: Masjid Istiqamah)

Bagi Zamil Pelawat ISEAS - Institut Yusof Ishak, Dr Serina Abdul Rahman pula, orang ramai perlu prihatin. Ini kerana “murah hati tidak semestinya bermakna ikhlas”, kata beliau.

Mengapa? Kerana sebenarnya, ada di kalangan penderma yang 'menghumbankan’ pakaian terpakai kepada mangsa-mangsa bencana di luar negara.

Dalam lain perkataan, sebilangan daripada kita sejujurnya mengambil kesempatan dan menyalahgunakan perkatan ‘kebajikan’.

Lantaran itulah, sebilangan pakar dan pihak berpandangan bahawa jika boleh jangan derma pakaian kita kepada mangsa-mangsa bencana alam. Ini kerana ia boleh menyulitkan lagi proses bantuan kemanusiaan yang kritikal.

PAKAIAN TERBENGKALAI JADI ‘SAMPAH’ DI TEPI JALAN

Tanya dahulu apa yang mangsa-mangsa bencana alam perlukan. Itulah yang perlu dilakukan badan-badan atau orang perseorangan yang berniat menghulurkan bantuan.


Zamil Pelawat ISEAS - Institut Yusof Ishak, Dr Serina Abdul Rahman.

Malangnya bentuk bantuan yang diberikan kadangkala berdasarkan apa yang kita rasakan perlu diberikan tanpa sebarang usul periksa. Demikian dedah Dr Serina yang banyak menjalankan kajian dalam pendidikan sekitaran dan pembangunan masyarakat.

"Lagi baik kalau kita pergi sana dulu, sebelum kita minta apa-apa dari orang (masyarakat kita) dan tanya orang di sana...apa sebenarnya yang penting, apa keperluan orang yang dah tak ada rumah, dah tak ada makanan, tak berani nak masuk rumah sebab takut nanti roboh,” beliau memberitahu BERITAmediacorp.

Menurut Dr Serina lagi, biasanya para penderma gagal untuk menyaring pakaian yang hendak diberikan. Beliau memberi contoh seperti yang berlaku terhadap bantuan yang diberikan kepada mangsa gempa Nepal pada tahun 2015. Cuaca di Nepal sememangnya sejuk kata beliau.

"Tapi orang hantar baju yang nipis, yang tak sesuai untuk tempat yang mungkin orangnya tak biasa pakai baju yang seksi sangat. Tapi kita hantar baju yang seluar pendek, yang kalau malam pakai memang matilah sebab sejuk, kan?” komen Dr Serina secara terus terang sambil menambah bahawa derma pakaian sedemikian mengambil ruang, tetapi tiada kegunaan.

Malah, Pengarah Khidmat Antarabangsa Belia Persatuan Palang Merah Singapura, Encik Sahari Ani turut akur dengan pandangan tersebut.


Pengarah Khidmat Antarabangsa Belia Persatuan Palang Merah Singapura, Encik Sahari Ani.

Beliau memberitahu BERITAmediacorp bagaimana pakaian-pakaian yang didermakan untuk mangsa bencana kadangkala terbengkalai dan menjadi ‘sampah’ yang berlonggokan di tepi-tepi jalan.

“Kita harus bertanya, adakah bantuan barang-barang seperti pakaian adalah barang-barang bantuan yang paling diperlukan oleh masyarakat (berkenaan)? Saya pernah melihat barang-barang seperti ini, tidak digunakan ataupun tidak diambil.

"Kadang kita dapat melihat ia dibuang di tepi jalan. Kemungkinan pakaian yang telah diberi tidak sesuai dengan budaya mereka,” kata beliau yang sudah punya pengalaman selama 16 tahun menjalankan misi-misi bantuan kemanusiaan di luar negara.

Jelas, baju kurung misalnya tidak sesuai untuk orang-orang yang bukan Melayu. Jelas juga, keperluan-keperluan penting yang diperlukan mangsa-mangsa bencana alam adalah makanan, minuman dan ubat-ubatan, kata Dr Serina. Bukan pakaian.

“Walau dalam tragedi tsunami sekalipun, di mana banyak barangan peribadi musnah, pakaian bukanlah satu keutamaan kerana warga tempatan ada kemampuan untuk membantu mangsa-mangsa dengan lebih baik berbanding orang luar,” hujah Encik Tahar Jumaat pula. Beliau baru-baru ini banyak membantu ribuan mangsa gempa di Lombok.


Encik Tahar Jumaat.

FIKIRKAN KOS, KESULITAN LOGISTIK & IMIGRESEN

Yang pasti, perbuatan menderma pakaian malah boleh menghambat misi bantuan kemanusiaan di saat-saat genting.

BERITAmediacorp diberitahu, terdapat beberapa faktor yang perlu difikirkan sebelum memutuskan untuk berbuat demikian.

Pertama, kos untuk menerbangkan beribu-ribu kilogram pakaian adalah tinggi dan boleh mencecah ribuan dolar. Wang berkenaan sebaliknya boleh disalurkan kepada keperluan-keperluan mendesak lain.

Kedua, kesulitan dari segi logistik dan ruang. Pakaian-pakaian tersebut akan dihantar ke negara dilanda bencana sama ada melalui pesawat atau kapal. Jika jumlah yang didermakan terlampau banyak, ia boleh mengambil ruang dalam kapal atau pesawat. Akibatnya, pakaian-pakaian derma terbiar di lapangan-lapangan terbang. Ini kerana barangan-barangan lebih penting perlu sampai dahulu ke lokasi yang dilanda bencana.

Encik Sahari dan Dr Serina kedua-dua berkongsi betapa longgokan terlalu banyak pakaian derma seperti itu juga menghalang lalu lintas pesawat di landasan dan juga pelabuhan.

“Membawa barang-barang bantuan seperti pakaian akan memburukkan lagi kesulitan dan kesesakan logistik di kawasan-kawasan ini.

“Justeru kita harus mengelakkan barang bantuan seperti ini dan menumpukan pada barang-barang yang tidak boleh didapati di lokasi dan yang paling diperlukan oleh masyarakat pada saat itu,” ujar Encik Sahari.

Selain itu, tenaga yang diperlukan untuk mengendalikan pakaian-pakaian tersebut juga sebaliknya boleh dimanfaatkan untuk menghulurkan bantuan-bantuan mendesak seperti mengagihkan makanan dan memastikan penduduk yang cedera segera dikejarkan ke pusat-pusat rawatan.

“Masa dengan logistik dengan tenaga nak kumpul benda itu semua. Lagipun kalau dah sekali minta dengan orang baju, nanti nak disaring baju itu, nak asingkan baju yang memang boleh pakai, itu pun susah,” Dr Serina memberitahu BERITAmediacorp.

MASJID ISTIQAMAH TERKEJUT TERIMA 20 TAN PAKAIAN

Sungguhpun demikian, usaha mengumpulkan pakaian untuk didermakan kepada mangsa bencana, tidak semuanya gagal. Contohnya, apabila Lombok dilanda gempa sebanyak tiga kali pada 29 Julai, 5 dan 9 Ogos, Masjid Istiqamah di Singapura dengan bermurah hati menggerakkan misi bantuan ke sana.


(Gambar: Masjid Istiqamah)

Selain berjaya mengumpulkan derma wang tunai daripada orang ramai berjumlah sekitar S$59,000 (S$58,959.75), masjid itu juga mempelawa masyarakat supaya mendermakan pakaian yang masih baik pada 1 September lalu. Walaupun pengumpulan pakaian hanya dibuat dari pukul 9.00 pagi hingga 5.00 petang, orang ramai mula menderma pakaian seawal subuh lagi.

Menjelang tengah hari, kakitangan Masjid Istiqamah tidak menang tangan disebabkan banyaknya pendermaan pakaian sehingga menjadi bertimbun-timbun di kawasan luar dan dalam masjid. Ini memaksa pihak masjid menghentikan pendermaan pakaian dua jam lebih awal, iaitu pada pukul 3.00 petang.


(Gambar: Masjid Istiqamah)

BERITAmediacorp diberitahu bahawa, jumlah keseluruhan pakaian yang diterima adalah antara 19 dengan 20 tan! Jauh lebih banyak daripada jangkaan awal masjid, iaitu sekitar 1 tan sahaja.

RAIH S$12,000 DARI PENDERMAAN PAKAIAN

Meskipun agak terkejut dengan sambutan amat menggalakkan itu, kakitangan masjid berjaya menanganinya dengan cepat dan cekap. Demikian penilaian Ketua Misi Ihsan Lombok yang juga Pegawai Dakwah Masjid Istiqamah, Ustaz Muhammad Farhan Nordin.

“Daripada kalangan Muslimin, Muslimah, belia aLive dan ada jugak di kalangan jemaah yang datang secara sukarela, yang berlainan bangsa sekalipun ada turut membantu dalam operasi pengambilan pakaian tersebut. Sebab dah terlalu banyak sangat. Sebab pakaian membanjiri masjid dan ia merupakan kali pertama,” kata beliau sambil menambah bahawa banyak juga pakaian yang masih baru didermakan.


(Gambar: Masjid Istiqamah)

Daripada keseluruhan pakaian yang diterima Masjid Istiqamah, hanya kira-kira dua tan pakaian yang masih elok dan baru diketepikan. Bakinya - sekitar 18 tan - dijual kepada syarikat karung guni. Hasil penjualan tersebut, mereka meraih lagi S$12,000, menjadikan jumlah keseluruhan wang yang dikumpulkan menjadi agak lumayan - hampir S$71,000! (S$70,959.75)

Wang tersebut kemudian digunakan untuk membeli barangan-barangan lain yang diperlukan penduduk Lombok. Ini bermakna, meskipun ada pakaian yang didermakan anggota masyarakat kurang sesuai diberi kepada mangsa bencana, niat penderma untuk membantu tetap kesampaian. Ini kerana ia masih boleh dijual dan untungnya diraih pihak Masjid.

Jelas, dalam kes ini, derma pakaian masih ada gunanya yang nyata walaupun tidak semuanya dibawa ke tapak bencana.

Namun demikian pihak masjid akur bahawa proses mengumpulkan pakaian pada hakikatnya amat mencabar dan memerlukan kos yang besar, selain banyak tenaga manusia. Masjid Istiqamah memberitahu BERITAmediacorp, sekiranya ia memilih untuk melakukannya sekali lagi, prosesnya perlu diperbaiki supaya lebih cekap.

“Mungkin kita cari kerjasamalah. Kerjasama ataupun rakan-rakan yang boleh membantu dari sudut strategi dan sebagainya. Sebab ini kali pertama agaknya kita lakukan perkara ini. Jadi mungkin ada kelemahan-kelemahan yang kita tak nampak,” kata Ustaz Farhan.


(Gambar: Masjid Istiqamah)

DERMA WANG PALING BERKESAN

Menerusi penelitian BERITAmediacorp ke atas badan-badan dan aktivis kemanusiaan tentang apakah yang dianggap keperluan mendesak bagi mangsa-mangsa bencana, pakaian boleh dikatakan barangan terakhir yang diperlukan. Sebaliknya, mereka lebih memerlukan barangan seperti makanan, minuman, tuala wanita, selimut dan ubat-ubatan.

Semua itu boleh dibeli di kawasan-kawasan yang berjiran dengan tempat di mana bencana berlaku sekaligus mengurangkan kos serta tenaga manusia.

Sungguhpun demikian, apabila ditanya apakah boleh dilakukan oleh rakyat Singapura yang sentiasa bersedia menghulurkan bantuan, Encik Sahari menjawab bahawa derma wang tunai atau menjadi relawan kepada badan-badan kemanusiaan, adalah lebih baik.

“Wang tunai adalah yang paling berkesan dan fleksibel. Keperluan masyarakat dari setiap fasa pemulihan berbeza.

“Dengan adanya dana mencukupi, badan-badan kemanusiaan dapat membuat bantuan kemanusiaan yang paling sesuai untuk keperluan pada saat itu,” ujar beliau. 

- BERITAmediacorp/nk

Top