Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Derma pakaian Projek Ihsan meningkat kepada dua kali ganda tahun ini

Sebanyak 30,000 pakaian dari 650 penderma berjaya dikumpulkan melalui inisiatif amal Projek Ihsan di kelab masyarakat Tampines West. Ia adalah dua kali ganda jumlah yang dikumpulkan tahun lalu.

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Sebanyak 30,000 pakaian dari 650 penderma berjaya dikumpulkan melalui inisiatif amal Projek Ihsan di kelab masyarakat Tampines West. Ia adalah dua kali ganda jumlah yang dikumpulkan tahun lalu.

Kembali buat tahun ketiga, projek anjuran Jawatankuasa Pengurusan Kelab Masyarakat Tampines West (CCMC) itu bertujuan menggalak rakyat Singapura supaya menyumbang kembali kepada masyarakat.

Seperti tahun-tahun sebelumnya, usaha itu disambut baik oleh masyarakat umum yang datang berduyun-duyun setiap kali seruan derma dibuat.

Menurut Menteri Sekitaran dan Sumber Air Masagos Zulkifli, beliau tersentuh melihat keihsanan dan sokongan yang diberikan ramai kepada projek ini. Encik Masagos turut menggesa masyarakat umum supaya meneruskan usaha sebegini bagi memanfaatkan lebih banyak golongan dan kaum di Singapura.

Dalam pada itu, selain daripada memupuk sikap prihatin terhadap golongan memerlukan, Encik Masagos berkata inisiatif amal itu juga dapat mewujudkan masyarakat yang peka terhadap persekitaran.

"Kita memikirkan jangan hanya membeli, memakai dan membuang sahaja. Tapi juga memikirkan bagaimana kita mengitar kembali apa yang kita ada supaya dapat dimanfaatkan orang lain. Ini juga sebagai satu seruan kita sebagai masyarakat Islam yang prihatin tentang kesekitaran kita," kata Encik Masagos, yang juga merupakan penasihat bagi Tampines GRC.

Hasil sambutan memberangsangkan, Projek Ihsan tahun ini menyasarkan lebih ramai golongan memerlukan.

Menurut Pengerusi Jawatankuasa Penganjur Projek Ihsan 2019, Ramlan Dollah: "Tahun ini, kami ingin sasarkan lebih banyak penerima berbanding tahun lalu. Kami akan kumpulkan golongan keluarga memerlukan dari beberapa blok kejiranan terutamanya dari rumah-rumah sewa, untuk mendekati mereka dan menghantarkan surat bagi membantu mereka."

Selain pakaian Hari Raya, Projek Ihsan tahun ini turut akan mengagihkan bekas-bekas untuk menyimpan kuih raya serta perhiasan hari raya.

Semua hasil pengumpulan akan diagihkan kepada keluarga-keluarga kurang bernasib baik pada 25 dan 26 Mei.

Sumber : BERITA Mediacorp/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan