Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Dera seksual anak perempuan selama 5 tahun, lelaki dipenjara 29 tahun, disebat

Tidak cukup dera secara seksual dan meliwat anaknya sendiri hingga mangsa berusia 14 tahun, lelaki itu cuba fitnah dan jatuhkan maruah anaknya semasa perbicaraan.

Anggaran Waktu Membaca:
Dera seksual anak perempuan selama 5 tahun, lelaki dipenjara 29 tahun, disebat

Gambar hiasan. (Gambar: Jeremy Long)

Diterbitkan : 21 Jul 2021 08:55PM Dikemas Kini : 21 Jul 2021 08:57PM

SINGAPURA: Setelah seorang remaja perempuan berusia 13 tahun melarikan diri dari rumah kerana didera secara seksual oleh bapanya, bapa tersebut berjanji akan menghentikan perbuatannya jika anak itu pulang.

Namun apabila mangsa pulang, lelaki itu memungkiri janji malah menderanya dengan lebih teruk.

Lelaki itu memaksa mangsa untuk berdiam diri dengan berkata kepadanya bahawa dia akan kehilangan seorang ayah jika perkara itu didedahkan.

Mangsa hanya berjaya memberanikan diri tiga tahun kemudian untuk memberitahu ibu dan ayah tirinya apa yang berlaku.

Mahkamah Tinggi hari ini (21 Jul) menjatuhkan hukuman penjara 29 tahun dan 24 kali sebatan ke atas lelaki warga Singapura itu.

Lelaki berusia 46 tahun itu didapati bersalah setelah dibicarakan atas 15 tuduhan menyerang dan menganiaya mangsa secara seksual dari 2010 hingga 2014, sejak mangsa berusia 10 tahun hingga 14 tahun.

Tuduhan-tuduhan itu berkaitan dengan sekurang-kurangnya lapan insiden aniaya.

Lelaki itu tidak boleh didedahkan namanya atas perintah mahkamah untuk melindungi identiti anak perempuannya, yang kini berusia 21 tahun.

TERTUDUH CUBA DAKWA DIRINYA DIFITNAH MANGSA

Timbalan Pendakwa Raya Eugene Lee dan Colin Ng menuntut hukuman yang lebih berat sekurang-kurangnya 31 tahun penjara dan 24 kali sebatan, dengan berhujah bahawa kepentingan awam menuntut hukuman yang berat "untuk menunjukkan betapa serius kesalahan itu dan betapa masyarakat membenci tindakan tersebut ”.

"Tertuduh sama sekali gagal bertindak sebagai seorang ayah, mencabuli anak kandungnya dalam rumahnya sendiri dan memusnahkan kepercayaan mangsa terhadapnya," tambah mereka.

Mereka berkata bagaimana lelaki itu juga membuat "tuduhan skandal" tentang anak perempuannya semasa perbicaraan untuk menjatuhkan maruahnya dan menggugat nama baiknya.

Ini termasuk dakwaan bahawa mangsa memfitnah dirinya setelah dia itu mendapat tahu mangsa melakukan hubungan seks sebelum nikah dengan teman lelakinya.

APA YANG BERLAKU

Sejak 2010, tertuduh menggunakan anaknya untuk memenuhi nafsu serakahnya, menderanya pada waktu malam di bilik tidur yang sama di mana anggota keluarga lain - termasuk isteri, pembantu rumah dan dua anak lain - sedang tidur.

Setelah mencabul kehormatan mangsa buat pertama kali, dia memberitahu mangsa bahawa itu adalah "seks, dan inilah yang dilakukan ibu dan bapa". Dia kemudian tergamak meliwat anaknya.

Semasa perbicaraan, anak perempuan lelaki itu memberi keterangan secara tertutup bahawa penganiayaan ke atasnya itu mengganggu tidur dan prestasinya di sekolah serta mengubah pandangannya terhadap peranan seorang ayah.

Walaupun selepas berpindah tinggal bersama ibunya, mangsa terus mengalami masalah tidur pada waktu malam.

Peguam bela lelaki itu dari Abdul Rahman Law Corporation merayu hukuman lebih ringan iaitu tempoh penjara 18 tahun dan 15 kali rotan.

Semasa mengemukakan rayuan, mereka memberitahu mahkamah anak guam mereka adalah seorang ayah yang baik kepada mangsa sehingga dia melakukan kejahatan tersebut.

Bagi setiap dakwaan melakukan serangan seksual melalui penembusan, lelaki itu boleh dipenjara hingga 20 tahun dan dikenakan sekurang-kurangnya 12 kali sebatan.

Atas kesalahan mencabul individu bawah umur 14 tahun, dia boleh dipenjara hingga lima tahun, didenda, disebat, atau mana-mana gabungan tiga hukuman tersebut.

Sumber : Today/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan