Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Denda NUS bagi salah laku seksual 'jelas tidak mencukupi': Ong Ye Kung

Menteri Pendidikan Ong Ye Kung berkata pada Isnin (22 Apr) bahawa denda yang dilaksanakan Universiti Nasional Singapura (NUS) bagi kes salah laku seksual "jelas tidak mencukupi".

Anggaran Waktu Membaca:
Denda NUS bagi salah laku seksual 'jelas tidak mencukupi': Ong Ye Kung

Dewan Eusoff di Universiti Nasional Singapura (NUS). (Gambar fail: Darius Boey)

Diterbitkan : 22 Apr 2019 11:30PM Dikemas Kini : 22 Apr 2019 11:35PM

SINGAPURA: Menteri Pendidikan Ong Ye Kung berkata pada Isnin (22 Apr) bahawa denda yang dilaksanakan Universiti Nasional Singapura (NUS) bagi kes salah laku seksual "jelas tidak mencukupi".

Menulis di Facebook pada Isnin, Encik Ong berkata beliau telah meminta universiti-universiti lain untuk mengkaji semula rangka kerja mereka bagi kesalahan-kesalahan serupa.

Ini dilakukan setelah seorang mahasiswi NUS, Cik Monica Baey mendedahkan pada Jumaat menerusi siri Instagram Stories yang boleh dilihat umum, bahawa beliau menyedari seorang mahasiswa merakamnya dengan telefon bimbit ketika di dalam bilik mandi asramanya.

Menurutnya, lelaki itu diberi amaran bersyarat 12 bulan oleh polis.

"Mulai sekarang, bagi kesalahan yang menjejas keselamatan para pelajar di kampus, kami perlu mengambil pendirian tegas dan memberi isyarat jelas kepada semua orang," kata Encik Ong.

"Dua kesalahan dan kamu dibuang tidak boleh lagi menjadi amalan biasa. NUS mesti menjadikan kampusnya selamat bagi semua pelajar, terutamanya pelajar perempuan."

Beliau berkata, beliau telah bercakap dengan presiden dan pengerusi lembaga NUS tentang denda yang dikenakan NUS dan melahirkan keyakinan bahawa langkah kaji semula yang dilaksanakan universiti itu akan "menghasilkan rangka kerja lebih kukuh dan tegas".

"Lembaga dan presiden NUS memandang berat hal ini dan bertekad untuk menghentikan kelakuan yang tidak boleh diterima seperti ini di kampus," tambah Encik Ong.

NUS menyatakan pada Isnin bahawa ia akan membentuk sebuah jawatankuasa untuk mengkaji semula rangka kerja disiplin dan sokongannya yang sedia ada.

"Lembaga Pemegang Amanah memandang berat salah laku seksual di kampus kami dan memutuskan untuk melantik Cik Kay Kuok, seorang anggota Lembaga dan Pengerusi Jawatankuasa Pencalonan Lembaga itu untuk mempengerusikan jawatankuasa tersebut," kata NUS dalam kenyataannya.

"Jawatankuasa itu akan mengkaji semula proses disiplin (termasuk sekatan) dan rangka kerja sokongan berhubung salah laku seksual di NUS, ekoran keprihatinan yang dibangkitkan Cik Monica Baey."

Buat permulaan jawatankuasa itu akan dianggotai presiden Universiti Pengurusan Singapura, Lily Kong, anggota lembaga dan rakan pengurusan WongPartnership Ng Wai King, presiden NUS, Tan Eng Chye dan seorang wakil dari Kesatuan Mahasiswa NUS, menurut kenyataan itu.

LAPORAN BERKAITAN:

Sumber : CNA/EM/fz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan