Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Denda lebih berat kesalahan PMD berkuatkuasa, 11 pengguna ditangkap tunggang di jalan raya

11 pengguna alat mobiliti peribadi (PMD) ditangkap menunggang di jalan raya hari ini (15 Jan) iaitu pada hari pertama denda lebih berat dikuatkuasa.

Anggaran Waktu Membaca:
Diterbitkan : 15 Jan 2018 02:18PM Dikemas Kini : 15 Jan 2018 10:15PM

SINGAPURA: 11 pengguna alat mobiliti peribadi (PMD) ditangkap menunggang di jalan raya hari ini (15 Jan) iaitu pada hari pertama denda lebih berat dikuatkuasa.

Semua penunggang itu ditangkap di kawasan Loyang Drive pagi tadi semasa satu operasi penguatkuasaan yang dijalankan oleh Penguasa Pengangkutan Darat (LTA).

Menurut LTA, 38 pengguna PMD ditangkap menunggang di jalan raya sejak awal tahun ini, naik dari 22 pengguna yang ditahan dalam tempoh yang sama tahun lalu.

Kebanyakan yang ditangkap pada pagi tadi (15 Jan) menunggang di jalan-jalan kecil berdekatan kilang-kilang di kawasan itu.

Seorang pengguna, Encik Murugan Gurusamy, berkata e-skuternya dirampas setelah beliau ditangkap menunggang ketika melintas jalan raya. Menurutnya, beliau tahu bahawa ia satu kesalahan untuk menunggang di jalan raya. Bagaimanapun beliau tidak tahu perlu menolak alatnya ketika melintas di jalan raya.

Encik Murugan berkata e-skuternya berharga sekitar S$1,400 dan beliau akan cuba untuk mendapatkannya kembali daripada pihak berkuasa. "Saya kini terpaksa berjalan kaki atau menaiki bas untuk ke tempat kerja."

Seorang lagi pengguna yang ditangkap menunggang di jalan raya berkata beliau tidak akan lagi menunggang PMD ke tempat kerjanya. Beliau yang enggan dinamakan, kini akan menunggang basikal yang dibenarkan di jalan raya kecil.

"Saya tinggal jauh dari tempat kerja saya, jadi saya pilih untuk menunggang PMD memandangkan leceh untuk menaiki bas ataupun berjalan. Tetapi kini, saya akan menaiki basikal sahaja."

Para pegawai penguatkuasaan dikerahkan di empat kawasan merata Singapura setiap hari. Mereka akan mengawasi setiap kawasan secara purata selama dua jam. Tergantung kepada tempat dan sama ada ia "tempat di mana kesalahan sering berlaku", gabungan para pegawai penguatkuasa Mobiliti Aktif, LTA dan polis trafik akan dikerahkan.

LTA juga sudah memasang sepanduk di tiang-tiang lampu di 175 tempat merata Singapura untuk mengingatkan para pengguna PMD supaya tidak menunggang di jalan raya.

Di bawah penguatkuasaan denda yang baru, mereka yang ditangkap menggunakan PMD di jalan-jalan raya biasa dan jalan raya utama masing-masing akan dikenakan denda S$300 dan S$500 bagi pesalah kali pertama. Jumlah denda dinaikkan kepada sehingga S$800 dan S$1,000 bagi pesalah berulang.

Alat PMD mereka juga dirampas semasa siasatan dijalankan.

Mereka yang ditangkap menunggang di ekspreswe akan didakwa di mahkamah.

LTA juga akan memperkenalkan Program Tunggang Dengan Selamat mulai bulan depan bagi mendidik para penunggang basikal dan pengguna PMD tentang tabiat-tabiat menunggang dengan selamat. Program selama 90 minit itu merangkumi teori dan latihan dalam satu litar, yang akan dapat membantu mereka memahami cara menunggang dengan selamat dalam pelbagai situasi.

Program itu akan diadakan di kelab-kelab masyarakat, sekolah, asrama-asrama pekerja asing dan pertubuhan-pertubuhan lain seperti SAFRA dan Kelab Perkhidmatan Awam.  

Sumber : CNA/AQ/aq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan