Images
  • office workers singapore  October 30, 2013.
    Para pekerja di daerah perniagaan Raffles di Singapura. (Gambar fail: AFP/ROSLAN RAHMAN)

Denda lebih berat atas syarikat yang amalkan diskriminasi terhadap rakyat S'pura

SINGAPURA: Syarikat-syarikat yang mengamalkan diskriminasi terhadap mana-mana rakyat Singapura semasa mengambil pekerja akan berdepan denda lebih berat sebagai sebahagian daripada semakan terkini kepada Rangka Kerja Pertimbangan Adil (FCF).

Demikian diumumkan Menteri Tenaga Manusia Josephine Teo semasa mengadakan lawatan ke syarikat sofwe Salesforce hari ini (14 Jan).

Syarikat-syarikat yang didapati cenderung menggajikan warga asing daripada rakyat Singapura akan dilarang daripada memohon bagi pas-pas kerja yang baru selama tempoh minimum 12 bulan dan tempoh maksimum 24 bulan.

Ini tempoh lebih lama berbanding hanya enam bulan sebelum ini.

Syarikat-syarikat itu juga tidak akan dibenarkan memperbaharui pas-pas kerja sedia ada. Sebelum ini, syarikat-syarikat masih boleh memperbaharui pas kerja sedia ada.

Menjelaskan sebab di sebalik perubahan itu dalam satu sesi teklimat media semalam (13 Jan), seorang jurucakap Kementerian Tenaga Manusia (MOM) berkata: " Kami rasa dari segi kefahaman tentang amalan pengambilan pekerja secara adil, syarikat-syarikat secara amnya faham.

"Kami rasa, apa yang tinggal adalah sebahagian kes di mana terdapat niat untuk mengamalkan diskriminasi dan ini (tidak boleh dihuraikan) hanya menerusi pendidikan, sebaliknya ia memerlukan denda lebih berat."

Dalam ucapannya di Salesforce, Cik Teo berkata denda lebih berat ini menekankan bahawa "jika majikan mahu meneruskan operasi mereka di Singapura, mereka perlu menggajikan penduduk tempatan."

"Ini bermakna lebih banyak pencegahan terhadap sebarang amalan diskriminasi. Paling penting, ia memberi mesej jelas tentang perlunya keadilan di tempat kerja," kata beliau.

Sejauh ini, lima syarikat sudah didenda di bawah peraturan baru itu sejak ia berkuat kuasa bulan ini - Nihon Premium Clinic, Meyer Burger (Singapore), Tarantula Global Holdings, Meow Services dan Ti2 Logistics.

Syarikat-syarikat itu dilarang daripada menggajikan lebih ramai pekerja asing dan disekat daripada memperbaharui pas kerja sedia ada dalam tempoh 12 bulan, dengan Meyer Burger (Singapore) serta Ti2 logistics berdepan sekatan 24 bulan.

Ti2 Logistics didakwa hari ini (14 Jan) atas kesalahan membuat pengisytharan palsu untuk menggajikan pekerja asing.

Selain Meow Services, semua syarikat itu sama ada menganggap syarat iklan pekerjaan FCF sebagai rutin mengisi borang sahaja. Mereka terlebih dahulu memilih pemohon Pas Pekerja (EP) atau gagal untuk mempertimbangkan calon-calon pekerja tempatan, menurut MOM.

Garis panduan iklan pekerjaan FCF memerlukan majikan yang menyerahkan borang permohonan EP untuk membuat iklan mencari pekerja di bank pekerjaan nasional MyCareersFuture.sg dan menimbangkan semua calon dengan adil sebelum boleh menggajikan seseorang warga asing.

Meow Services didapati mengamalkan diskriminasi berdasarkan jantina setelah ia memuat naik iklan mencari pekerja untuk hanya mencari individu lelaki sebagai operator pengeluarannya.

"Kami mencari bukti menerusi dokumen, kami akan mendapatkan penjelasan daripada syarikat (dan) pengarahnya, kami boleh mengambil keterangan daripada para pegawai yang juga terlibat," menurut MOM.

Empat daripada kes tersebut dikesan menerusi pemeriksaan yang dijalankan oleh MOM menggunakan analisis data, sementara kes melibatkan Meow Services terbongkar apabila terdapat aduan yang dibuat oleh Perikatan Tiga Pihak bagi Amalan Pekerjaan yang Adil dan Progresif (TAFEP).

Siasatan ke atas setiap kes mengambil masa antara tiga dengan enam bulan untuk diselesaikan. Kebanyakan kes terbongkar apabila aduan dibuat kepada TAFEP, tambah seorang jurucakap.

Antara 2014 dengan 2018, TAFEP menerima lebih 2,000 aduan. MOM mengambil tindakan ke atas 680 kes - 400 di mana majikan diberikan amaran dan lagi 28 dilarang daripada terus menggajikan warga asing.

Daripada 280 kes itu, 135 disebabkan amalan diskriminasi berdasarkan kerakyatan. Baki kes melibatkan amalan-amalan diksriminasi lain seperti usia, bangsa dan jantina.

Dalam kes-kes selain daripada diskriminasi berdasarkan kerakyatan, proses menyelaraskan keseimbangan boleh diarahkan di bawah Akta Pengambilan Pekerja dan Akta Persaraan dan Pengambilan Semula Pekerja, kata seorang jurucakap MOM.

Syarikat-syarikat yang mengamalkan diskriminasi boleh diletakkan di bawah Senarai Pengamatan FCF.

Ia dilancarkan pada tahun 2016 dan sejak itu sekitar 600 syarikat dengan nisbah karyawan, pengurus, eksekutif dan teknisyen (PMET) yang jauh lebih tinggi dalam kalangan warga asing atau jauh lebih ramai pekerja daripada satu-satu kerakyatan sudahpun diletakkan di dalam senarai tersebut, menurut MOM.

Para majikan diberikan enam bulan untuk membaiki amalan-amalan Sumber Manusia (HR) dengan bantuan TAFEP, tambah MOM.

Malah, sebanyak 260 daripadanya sudahpun dikeluarkan daripada senarai tersebut setelah mengurangkan jumlah pekerja asing.

MOM akan menyekat pas-pas kerja sesebuah syarikat jika ia tidak memberikan respons kepada gesaan TAFEP untuk memperbetul proses-prosesnya.

MOM juga merancang untuk mempertingkat langkah-langkah ke atas agensi-agensi pengambilan pekerja yang mengamalkan diskriminasi, menurut jurucakapnya, sambil menambah lebih banyak perincian akan diberikan semasa perbahasan Jawatankuasa Peruntukan (COS) akan datang.

Jumlah kes amalan diskriminasi di tempat kerja juga semakin berkurangan saban tahun, menurut MOM, sambil mendedahkan lebih ramai wanita dan warga tua diambil bekerja.

Antara tahun 2008 dengan 2018, pengambilan pekerja wanita dalam kalangan warga tempatan meningkat dari 57 peratus kepada 67 peratus. Bagi warga tua antara usia 55 dengan 64 tahun, ia melonjak dari 65 peratus kepada 72 peratus.

FCF diperkenalkan dalam bulan Ogos 2014 menyusuli aduan daripada penduduk tempatan bahawa syarikat-syarikat lebih cenderung menggajikan warga asing.  

- CNA/NK/nk

Top