Images
  • deliveroo main
    Deliveroo Food Market di Alice@Mediapolis, one-north dibuka pada 13 Mac. (Gambar-Gambar: Deliveroo)

Deliveroo buka ruang makan di one-north; mahu tebar sayap ke luar negara

SINGAPURA: Syarikat khidmat penghantaran makanan Deliveroo melancarkan ruang makannya yang terbesar di Alice@Mediapolis, menjadikan Singapura lokasi pertama dalam rancangannya untuk menembusi pasaran sedemikian di negara-negara lain.

Pasar Makanan Deliveroo menampilkan 10 dapur dan ruang yang boleh menampung sebanyak 40 tempat duduk. Selain itu, ia juga menawarkan pengalaman menempah makanan serba automatik bagi para pelanggannya.

Sebanyak 11 konsep makanan daripada tujuh pengendali restoran akan ditawarkan di pasar berkenaan.

Pengurus Besar Deliveroo Singapore, Siddarth Shanker, berkata langkah menembusi pasaran seumpama itu adalah satu 'peluang besar' bagi syarikat tersebut.

"Jika anda merancang untuk membuat pelaburan aset seperti rakan-rakan restoran, maka anda harus memanfaatkan potensi sepenuhnya," katanya.

Encik Shanker menekankan bahawa khidmat penghantaran kekal sebagai teras perniagaan syarikat Deliveroo. Namun, beliau berkata syarikat itu akan terus membuat pelaburan dalam pasaran itu, dengan harapan untuk mengembangkan operasinya ke negara-negara lain. 

Singapura adalah "pilihan terbaik" untuk melancarkan konsep itu kerana negara ini "mengamalkan pelbagai invoasi" dengan para pelanggan yang "amat bersedia untuk mencuba pelbagai kelainan," tambahnya.

Keputusan untuk menempatkan pasar makanan itu di kawasan one-north adalah satu langkah strategik kerana perangkaannya menunjukkan bahawa jumlah besar orang di kawasan itu mendapatkan khidmat penghantaran, kata Josh Nedeljkovic, pengurus serantau Deliveroo Editions bagi Asia Pasifik. 

Menurut Deliveroo, para penduduk Clementi, Queenstown, Holland Village dan Bukit Timah tidak lama lagi boleh membuat tempahan makanan daripada jenama-jenama yang menyertai ruang makan tersebut.

Pasar Makanan itu juga dilengkapi dengan kios layan diri dan mesin digital bagi pengalaman menjamu selera yang serba automatik.

Selain itu, ruang makan tersebut juga dilengkapi dengan bilik rehat serta tempat mengecas telefon bimbit bagi para penghantar Deliveroo, sementara menunggu makanan-makanan yang ditempah disiapkan.

Pasar Makanan Deliveroo dibuka kepada semua pelanggan yang ingin menjamu selera di sana atau menempah makanan mulai hari ini (13 Mac). 

- TODAYonline/AI/ai

Top