Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Delegasi Korea Utara nikmati hasil daripada kapitalisme S'pura

 Tidak lama selepas sekumpulan diplomat Korea Utara menjejaki luar pekarangan hotel hari ini (11 Jun) untuk bertemu dengan para pegawai Amerika Syarikat menjelang sidang puncak bersejarah esok, sekumpulan rakyat Korea Utara kelihatan berjalan keluar untuk membeli-belah.

Anggaran Waktu Membaca:
Delegasi Korea Utara nikmati hasil daripada kapitalisme S'pura

Gambar fail rombongan Korea Utara yang tiba di Hotel St Regis pada 10 Jun 2018. (Gambar: Reuters/ Tyrone Siu)

Diterbitkan : 12 Jun 2018 12:25AM Dikemas Kini : 12 Jun 2018 12:32AM

SINGAPURA: Tidak lama selepas sekumpulan diplomat Korea Utara menjejaki luar pekarangan hotel hari ini (11 Jun) untuk bertemu dengan para pegawai Amerika Syarikat menjelang sidang puncak bersejarah esok, sekumpulan rakyat Korea Utara kelihatan berjalan keluar untuk membeli-belah.

Bagi pemimpin dan delegasi Korea Utara, lawatan ke luar negara adalah peluang untuk membina hubungan diplomatik dan meneroka apakah antara hasil kapitalisme yang diraih Singapura.

Delegasi Korea Utara menginap di hotel lima bintang St Regis di mana lobinya dihiasai dengan lampu hiasan tergantung, karya-karya seni yang digantung di dinding serta lantai mamar berwarna putih kuning.

Harga bufet sarapan bagi setiap seorang berharga S$47, iaitu hampir sama dengan jumlah yang diperolehi kebanyakan rakyat Korea Utara setiap bulan.

Antara hampir 40 rakyat Korea Utara yang kelihatan menikmati hidangan sarapan pada pagi tadi (11 Jun) termasuk antara tokoh-tokoh berpengaruh negara itu yang wajahnya hanya didedahkan dalam kenyataan atau terbitan rasmi tempatan dalam acara-acara rasmi.

Kakitangan hotel menasihati para tetamu lain supaya tidak mengganggu tetamunya dari Korea Utara, mahupun mengambil gambar mereka.

Kakitangan media Korea Utara menikmati 'dim sun' Cina, pastri-pastri dan telur goreng serta mengambil gambar satu sama lain di dewan makan sebagai tanda kenangan.

Kakitangan media Korea Utara di Hotel St Regis. (Gambar: Reuters)

Kenikmatan seperti ini bukanlah sesuatu yang biasa bagi kebanyakan rakyat Korea Utara, terutama sekali penjawat awam, yang kebelakangan ini tidak sering mendapat peluang ke luar negara sejak Korea Utara dikenakan sekatan atas program-program nuklear dan peluru berpandunya.

Kebanyakan mereka juga lazimnya bergantung kepada nasi, jagung, kimchi, pes kacang sebagai makanan seharian mereka. Demikian menurut beberapa laporan para pegawai PBB yang dibenarkan untuk melawat negara itu.

ALAT TULIS DAN MCDONALD'S

Pada malam semalam (10 Jun), beberapa jam selepas Encik Kim dan delegasinya tiba di Singapura, para wartawan Reuters ternampak beberapa pegawai Korea Utara, yang memakai lencana pemimpin mereka, membuat tempahan di restoran Cina yang mewah di hotel itu.

Ada juga dalam kalangan mereka memesan makanan Barat.

Sekumpulan para pegawai keselamatan Korea Utara kelihatan pulang ke hotel dengan beberapa kotak kadbod, termasuk pembungkus McDonald's. Korea Utara merupakan antara beberapa negara yang tidak mempunyai rangkaian McDonald's.

Dua pegawai Korea Utara, yang identitinya tidak dapat dikenal pasti, kelihatan baru selesai membeli-belah dengan beg-beg NBC Stationery dan kedai cenderamata.

DELEGASI KOREA UTARA INAP DI TIGA LANTAI TERATAS ST REGIS

Utusan Korea Utara menginap di tiga lantai teratas Hotel St Regis, menurut wartawan Reuters.

Tingkat atas itu menempatkan bilik-bilik suite yang ditawarkan pada harga lebih S$5,000 setiap malam, dan suite Presiden, pada harga sekitar S$9,000 bagi setiap malam, menurut laman hotel itu.

Hotel St Regis di Singapura. (Gambar fail: Edgar Su/ Reuters)

Bilik suite Presiden mempunyai ruang makan, ruang tamu, bilik belajar, bilik tidur dan teres, bilik senam, sauna dan dapur, ditawarkan dengan khidmat pelayan tetamu khas.

St Regis enggan mengulas lanjut tentang siapa yang menginap di lantai paling tinggi hotelnya mahupun tentang jumlah bilik yang diperuntukkan bagi delegasi Korea Utara.

Reuters tidak dapat mengesahkan jika Encik Kim menginap di Suite Presiden.

Singapura, yang menjadi tuan rumah bagi menggalak keamanan negara, menyatakan bahawa acara ini menelan belanja sekitar S$20 juta, termasuk kos penginapan bagi rombongan Korea Utara.  

Sumber : Reuters/AQ/aq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan