Images

DBS cuba sedaya upaya huraikan masalah berulang pada khidmat perbankan digitalnya

SINGAPURA: DBS menyatakan pada Rabu (24 Nov) bahawa khidmat perbankan digitalnya mengalami masalah sekali lagi selepas sebilangan pelanggan menghadapi kesulitan untuk mengakses khidmat tersebut.

Khidmat perbankan digital DBS dan POSB mula mengalami gangguan pada pagi Selasa (23 Nov).

"Khidmat perbankan digital kembali pulih pada awal pagi tadi. Namun, isu perbankan digital yang dialami semalam berulang lagi dan ia menjejas perkhidmatan kami," dedah bank tersebut melalui laman Facebooknya sekitar 11.00 pagi tadi.

"Kami sedia maklum isu ini menjejas ramai pelanggan kami, dan kami sedang berusaha sedaya upaya untuk menghuraikan isu ini. Kami memohon maaf atas kesulitan yang dialami," menurut kenyataan DBS selanjutnya.

Awal pagi tadi, DBS melalui laman Facebooknya memberikan kemas kini yang menyatakan bahawa "kesemua khidmat perbankan digitalnya sudah kembali pulih pada setakat pukul 2.00 pagi tadi".

"Sekali lagi, kami memohon maaf atas situasi ini dan juga kesulitan yang dialami," menurut bank tersebut.

DBS bagaimanapun tidak pula mendedahkan punca gangguan tersebut.

Sungguhpun demikian, para pelanggan yang menulis komen mengenai kemas kini DBS di Facebook rasmi bank tersebut dan laman web Downdetector.sg mengatakan mereka masih belum dapat mengakses khidmat perbankan digital bank berkenaan pada pagi Rabu.

Pemeriksaan yang dijalankan oleh Mediacorp mendapati terdapat isu untuk log masuk khidmat perbankan digital DBS melalui telefon bijak dan komputer riba, dengan pemberitahuan ralat memaklumkan khidmat perbankan digital belum dapat disediakan buat masa ini.

Downdetector menunjukkan jumlah aduan berhubung gangguan pada khidmat perbankan digital DBS sudah merosot sekitar 2.00 pagi tetapi kembali melonjak sekitar 6.00 pagi tadi.

Mediacorp sudah menghubungi DBS untuk mendapatkan komen.

- TODAYonline/NY/sm

Top