Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Daya tarikan baru, perumahan dan ruang pejabat akan dibangunkan di Greater Southern Waterfront

Pelbagai daya tarikan baru sedang dirancangkan bagi Pulau Brani, serupa dengan Universal Studios Singapore di Sentosa, umum Perdana Menteri Lee Hsien Loong pada Ahad (18 Ogos).

Anggaran Waktu Membaca:
Daya tarikan baru, perumahan dan ruang pejabat akan dibangunkan di Greater Southern Waterfront

Gambaran pelukis menunjukkan Sentosa dan Pulau Brani, sebagai sebahagian daripada Greater Southern Waterfront. (Gambar: SDC)

Diterbitkan : 18 Aug 2019 11:28PM Dikemas Kini : 18 Aug 2019 11:36PM

SINGAPURA: Pelbagai daya tarikan baru sedang dirancangkan bagi Pulau Brani, serupa dengan Universal Studios Singapore di Sentosa, umum Perdana Menteri Lee Hsien Loong pada Ahad (18 Ogos).

Pulau tersebut, yang buat masa ini menempatkan Terminal Brani, akan dikhususkan bagi "keseronokan dan riadah" sebagai sebahagian daripada rancangan pemerintah untuk membentuk semula Greater Southern Waterfront (GSW), kata beliau dalam ucapan Rapat Umum Hari Kebangsaan.

PM Lee juga berkata sebuah resort juga mungkin dibina di Pulau Brani, dengan sebidang tanah dikhususkan bagi Gerakan Buruh.

"Apabila kami membincangkan rancangan-rancangan ini di Kabinet, Ng Chee Meng mengangkat tangannya. Beliau berkata: 'NTUC sangat berterima kasih kepada pemerintah atas Downtown East. Bagaimana pula dengan Downtown South?'

"Jadi saya kata: Okay, kami akan melakukannya'."

Beliau berkata langkah tersebut adalah sebagai tanda terima kasih kepada para pekerja atas sumbangan mereka kepada negara.

Selain Pulau Brani, pemerintah juga mempunyai rancangan untuk memberikan nafas baru kepada Pulau Sentosa, dan membangunkan semula dua stesen jana kuasa di Pasir Panjang.

"Kami juga akan memberi nafas baru kepada kawasan pantai Sentosa dan meluaskan jejak warisannya bagi mengekalkan ciri-ciri pulau itu," kata PM Lee semasa rapat umum tersebut.

Beliau turut berkata pemerintah akan "mencari penggunaan-penggunaan kreatif baru" bagi dua stesen jana kuasa itu.

Selain itu, terdapat rancangan-rancangan untuk meningkatkan kehijauan Singapura dengan menghubungkan GSW dengan kawasan hijau di sekelilingnya. West Coast Park dan East Coast Park akan dihubungkan, begitu juga dengan Koridor Kereta Api dan Pulau Sentosa.

(Gambar: Gaya Chandramohan)

"Dengan kawasan hijau yang baru di bahagian tengah Singapura, negara ini akan menjadi lebih daripada setakat Bandar dalam Taman," kata beliau.

"BEKERJA DEKAT DENGAN KEDIAMAN MEREKA DAN TINGGAL DEKAT DENGAN TEMPAT KERJA"

Selain riadah, pemerintah juga berharap dapat membangunkan hartanah-hartanah kediaman dan komersil di GSW, kata PM Lee.

Salah satu pembangunan pertama terletak di plot yang menempatkan Keppel Club, yang mana tempoh sewanya akan berakhir dalam masa dua tahun lagi.

Ia akan diwujudkan semula menjadi kuarters perumahan dengan kedua-dua perumahan awam dan privet.

"Ada cukup tanah di sini untuk membina 9,000 unit rumah ... HDB dan perumahan privet dengan promenad dermaga, serta kehijauan dan ruang-ruang terbuka," kata PM Lee.

"Dan ini baru permulaannya saja, kerana terdapat ruang dan tanah bagi perumahan awam dan privet di kawasan lain GSW juga."

Beliau menambah: "Dengan GSW saiz dua Punggol, anda dapat membayangkan kemungkinannya. Bayangkannya sebagai Punggol di Pesisiran!"

Sementara sebilangan syarikat besar seperti Google, Cisco dan Unilever sudahpun mempunyai pejabat-pejabat berhampiran Labrador Park, pemerintah "akan membangunkan lebih banyak ruang pejabat di GSW, seperti ini, yang akan mewujudkan lebih banyak pekerjaan," kata PM Lee.

"Orang ramai boleh bekerja berhampiran di mana mereka tinggal, dan tinggal berhampiran di mana mereka bekerja. Ini akan mewujudkan kehidupan dan kegiatan semasa siang hari dan pada sebelah malam."

GREATER SOUTHERN WATERFRONT

Bermula dari kawasan timur Taman di Pesisiran hingga ke Pasir Panjang, GSW meliputi 30km pantai selatan Singapura. Dengan 2,000 hektar tanah, kawasan keseluruhannya enam kali lebih besar berbanding saiz Marina Bay, termasuk terminal-terminal bandar PSA di Tanjong Pagar, Keppel, Brani dan Pasir Panjang.

(Gambar: PMO)

"Menjelang 2027, terminal-terminal bandar akan ke Tuas di mana kita membina pelabuhan baru, dan kemudian pada 2040, Terminal Pasir Panjang juga akan ke Pelabuhan Tuas," kata PM Lee.

"Ini akan meluaskan ruang utama bagi pembangunan semula. Ini menjadi peluang untuk membentuk semula GSW menjadi tempat baru untuk didiami, bekerja dan beriadah."

Singapura moden merangkumi "beberapa lapisan dan jejak pelbagai era", yang mana GSW akan menambah satu lagi lapisan, kata beliau.

Walaupun terdapat banyak projek besar yang sedang diusahakan, seperti Daerah Digital Punggol, Pelabuhan Tuas, Daerah Tasik Jurong, Terminal 5 Changi, Pangkalan Udara Paya Lebar dan GSW, "semua ini tidak akan dilakukan dalam masa 10 tahun, ataupun dalam masa satu generasi," kata beliau.

"Akan ada ruang untuk dipenuhi generasi-generasi akan datang dengan harapan-harapan dan impian-impian mereka. Setiap generasi baru akan meninggalkan kesan mereka kepada bandar kita, sebagaimana sudah dilakukan nenek moyang kita," jelas PM Lee.

Sumber : BERITA Mediacorp/IM/im
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan