Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Daya kreativiti perlu dipupuk awal; persiap kanak-kanak harungi dunia digital

Daya kreativiti perlu dipupuk sejak di bangku prasekolah lagi. Ini bagi memastikan kanak-kanak dilengkapi dengan keupayaan dan kemahiran untuk berfikir secara kreatif.

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Daya kreativiti perlu dipupuk sejak di bangku prasekolah lagi.

Ini bagi memastikan kanak-kanak dilengkapi dengan keupayaan dan kemahiran untuk berfikir secara kreatif.

Ia juga penting bagi mempersiapkan kanak-kanak mengharungi dunia digital.

Ini ditekankan dalam Simposium Pendidikan anjuran Yayasan Mendaki yang diadakan siang tadi (14 Apr).

Dengan tema 'Membesarkan Inovator Muda Dalam Dunia Digital', simposium tahun ini menampilkan pelbagai alat bantu pengajaran yang berupaya meningkatkan pengalaman belajar dalam bilik darjah.

Dalam ucapannya, Menteri Perhubungan dan Penerangan merangkap Menteri Bertanggungjawab bagi Keselamatan Siber Dr Yaacob Ibrahim menekankan bahawa pendekatan yang diambil untuk mendidik kanak-kanak juga mesti berubah.

Ini supaya kanak-kanak mempunyai kebolehan dan kepakaran untuk mengharungi cabaran masa hadapan.

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Yayasan Mendaki, Rahayu Buang turut menggalak para ibu bapa supaya mendedahkan anak-anak mereka kepada teknologi digital seawal mungkin.

"Memang di masa depan, anak-anak mesti berdaya saing dalam bidang teknologi jadi bagaimana mereka dapat kemahiran dan keupayaan untuk berfikir sebagai seorang yang innovatif. Ini adalah sesuatu yang kita ingin terapkan semasa mereka di bangku prasekolah lagi," katanya.

Simposium yang masuk tahun kedua ia dianjurkan Yayasan Mendaki, turut bermatlamat untuk mengenal pasti cabaran-cabaran yang dihadapi oleh kanak-kanak dan para guru prasekolah.

Ia juga dijadikan sebagai wadah untuk memperluaskan rangkaian karyawan dan mencarta hala tuju bagi pendidikan awal kanak-kanak bagi masyarakat Melayu/Islam.

"Ia telah memberikan kami pandangan yang mendalam tentang bagaimana pelajaran kanak-kanak dapat diperluaskan dan juga menjangkaui empat dinding bilik darjah dengan wadah-wadah digital dan teknologi yang sedia ada," kata Cik Lydia Yanti Norazman, seorang pengetua eksekutif. 

Lebih 160 karyawan, penggubal dasar dan ahli akademik menghadiri Simposium Pendidikan Yayasan Mendaki yang diadakan di Bangunan Alumni Yayasan Shaw NUS pagi tadi.

Simposium tahun ini juga menampilkan tujuh pameran yang memaparkan bagaimana teknologi digital boleh digunakan untuk merangsang daya kreativiti kanak-kanak kecil.

 Acara PlayFest akan diadakan di D’Marquee Downtown East esok pada jam 10.00 pagi sehingga 4.00 petang.

Sumber : BERITA Mediacorp/sm
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan