Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Darul Islah bawa ceria 'rumah baru' bagi wanita 87 tahun sempena Tahun Baru Cina

Tahun Baru Cina ini cukup istimewa bagi seorang wanita berusia 87 tahun yang tinggal bersendirian. Dia seolah-olah mendapat 'rumah baru' hasil kerja keras enam bekas pesalah dadah dari Darul Islah.

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Tahun Baru Cina ini cukup istimewa bagi seorang wanita berusia 87 tahun yang tinggal bersendirian. Dia seolah-olah mendapat 'rumah baru' hasil kerja keras enam bekas pesalah dadah dari Darul Islah.

Cik Chow Yin Yoke, yang sudah uzur dan berkerusi roda, terpilih menjadi penerima bantuan “Project Happiness 2.0” kendalian Rumah Peralihan Jamiyah, Darul Islah, kali ini.

Projek ini bertujuan untuk membantu dan memberi keceriaan kepada anggota masyarakat Singapura yang memerlukan sempena musim-musim perayaan.

RUMAH SUDAH TERUK

Keadaan rumah Cik Chow di Telok Blangah Drive sebelum ini sudah agak usang dengan dindingnya pecah dan rumahnya juga sudah lama tidak dicat.

Mujur, enam orang penghuni Darul Islah berganding bahu untuk mengecat rumahnya itu serta memberinya nafas segar dengan menghadiahkan beberapa perabot baru seperti katil, almari, sofa, meja makan, lampu serta kipas angin baru.

Kini ia jauh lebih cantik untuk dihuni. Khususnya bagi Tahun Baru Cina yang bermula Jumaat (12 Feb).

"Terima kasih kepada semuanya," kata Cik Chow dalam bahasa Mandarin, jelas sangat terharu dengan bantuan para penghuni Darul Islah itu.

"Pada asalnya, rumahnya kelihatan seperti karang guni kerana ia agak berserak. Jadi sekarang, beliau bahagia kerana rumahnya mempunyai lebih ruang. Dia amat berterima kasih atas perabot-perabot yang diberi," terang Cik Jasmine Ng, yang menterjemahkan luahan neneknya itu ke dalam bahasa Inggeris.

BERBESAR HATI DAPAT BANTU

Bagi para penghuni Darul Islah pula, mereka amat berbesar hati kerana dapat membantu warga emas itu.

"Kepuasan yang saya dapat dari projek ini adalah apabila kami dapat memperbaiki taraf kehidupan Cik Chow. Saya berasa sangat berbesar hati dan gembira apabila diberi peluang ini," kata Syah (bukan nama sebenar) kepada BERITAmediacorp.

"Apa yang saya pelajari ialah apabila membuat sesuatu perkara, ia harus dilakukan dengan keikhlasan dan sepenuh hati," tambah penghuni Darul Islam itu yang berharap supaya Cik Chow sentiasa hidup dalam keadaan gembira.

Bagi para penghuni Darul Islah ini, melihat Cik Chow tersenyum cukup menggembirakan mereka.

DISAMBUT ANGGOTA PARLIMEN

Hari ini (11 Feb) juga lebih istimewa bagi Cik Chow kerana dia menerima seorang tetamu istimewa - Anggota Parlimen GRC West Coast, Rachel Ong, turut datang untuk berkongsi kegembiraan menikmati 'rumah baru' ini.

"Saya rasa Project Happiness anjuran Rumah Peralihan Darul Islah ini merupakan projek penuh inspirasi. Mereka terus memberikan keperluan asas kepada sesiapa yang memerlukan," kata AP Rachel Ong.

Beliau juga sempat menyampaikan ucapan terima kasih dengan kesemua ahli penghuni Darul Islah yang menjayakan projek ini.

"Kami berharap mereka semua yang menolong juga merasakan kebahagian yang sama seperti mana mereka memberi," kata Cik Ong lagi.

Beliau juga berharap Cik Chow dapat menikmati sambutan Tahun Baru Cina ini bersama keluarga tersayang di "rumah barunya" ini.

Yang pasti, semua bantuan ini bermakna bagi Cik Chow kerana beliau dapat menyambut Tahun Baru Cina dalam suasana sangat selesa lagi nyaman.

(Gambar: Jamiyah Singapore)

Bantuan yang diberikan tidak setakat di situ sahaja. Pada Sabtu lalu (6 Feb), Cik Chow juga sudahpun dibawa menjamu makan malam di restoran Le Fuse Cafe sambil diiringi para penghuni projek ini.

Warga emas itu juga 'dibelanja' menaiki sebuah kereta Mercedes untuk melihat-lihat tempat-tempat tarikan pelancong seperti Esplanade, Marina Bay Sands dan kawasan Chinatown. 

Sumber : BERITA Mediacorp/nj
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan