Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Darul Islah bangkitkan semangat perayaan Deepavali untuk keluarga susah

Perayaan Deepavali bagi Cik Komathy d/o Somasundaram sekeluarga lebih ceria selepas ia diberi nafas baru hasil bantuan sekumpulan bekas penagih dari rumah peralihan Darul Islah Jamiyah.

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Perayaan Deepavali bagi Cik Komathy d/o Somasundaram sekeluarga lebih ceria selepas ia diberi nafas baru hasil bantuan sekumpulan bekas penagih dari rumah peralihan Darul Islah Jamiyah.

Sejak enam tahun lalu, cat dinding flat tiga biliknya menggelupas dan barangan rumah pula tidak tersusun. Cik Komathy, 44 tahun tinggal bersama dua anak perempuannya berusia 19 dan 21 tahun serta ibunya yang berusia 74 tahun.

(Gambar: Jamiyah Singapura)

(Gambar: Jamiyah Singapore)

Cik Komathy ialah seorang ibu tunggal dan sejak 2013, beliau terpaksa berhenti bekerja sebagai seorang guru prasekolah kerana sakit buah pinggang. BERITAmediacorp difahamkan penyakitnya juga memaksanya untuk kerap berjumpa doktor dan beliau juga perlu makan sehingga 10 jenis ubat setiap hari.

Dia berkata beliau sudah tidak menyambut Deepavali selama bertahun-tahun kerana masalah kewangan.

"Bukan tidak mahu menyambut walaupun secara sederhana tapi untuk membelanjakan duit itu adalah sedikit susah. Jadi, kita memilih untuk tidak menyambutnya sahaja," kata Cik Komathy.

Setiap bulan, keluarga Cik Komathy menerima bantuan kewangan sekitar S$1,000 serta habuan makanan dari Lembaga Endowmen Hindu (HEB). Anak-anaknya sedang mencari pekerjaan namun usaha mereka belum berhasil.

MENGHARAP KUNJUNGAN TEMAN, KELUARGA UNTUK DEEPAVALI

Namun, dengan flatnya terpilih sebagai penerima Projek Kebahagiaan anjuran Darul Islah, beliau sekeluarga dapat menyambut Deepavali tahun ini dalam suasana lebih ceria.

Melalui inisiatif itu, flat milik ibu Cik Komathy itu dicat semula, dilengkapi dengan perkakas serta perabot baru seperti kipas angin, sofa, katil dan almari bernilai lebih S$2,000 - ihsan penderma korporat seperti penaja utama Yayasan Tan Chin Tuan, Cosy Cool Pte Ltd, FOTOHI Carpet Gallery Pte Ltd dan kumpulan alumni Darul Islah, IslahCARE. Cef tempatan terkenal, Mel Dean juga turut memberi sumbangan berupa sajian hidangan Deepavali bagi santapan Cik Komathy sekeluarga.

Cik Komathy sangat menghargai pemberian itu terutama sekali dengan mesin pencuci baru yang dihadiahkan. Menurut beliau, pemberian mesin pencuci baju itu adalah tepat pada masanya kerana mesinnya yang lama sudah beberapa bulan rosak dan beliau dan keluarga terpaksa mencuci pakaian di mesin pencuci awam atau 'laundromat'. Kosnya pula boleh mencecah sehingga S$20 setiap minggu.

"Saya sangat gembira. Sekarang saya ada semangat untuk sambut Deepavali bersama keluarga setelah bertahun lamanya. Kami akan beraya sakan. Kami rasa ini seperti rumah baru dan kami semua sangat teruja. Mungkin kami akan cuba undang tetamu setelah sekian lama, mungkin kawan-kawan anak-anak saya, kawan saya serta saudara mara juga," kata Cik Komathy yang memilih katil barunya sebagai perabot kegemarannya.

PENGALAMAN TIMBULKAN SIFAT PRIHATIN TERHADAP GOLONGAN MEMERLUKAN

Turut hadir memberikan sentuhan akhir kepada hiasan 'Rangoli' di depan rumah Cik Komathy ialah Menteri Kanan Tharman Shanmugaratnam dan Anggota Parlimen GRC Jurong, Dr Tan Wu Meng.

(Gambar: Jamiyah Singapura)

(Gambar: Jamiyah Singapore)

Mereka juga antara yang pertama melihat hasil kerja keras empat penghuni Darul Islah dan seorang alumni dari IslahCARE yang bertungkus lumus selama seminggu untuk memperbaiki dan menghias rumah itu. Bagi 'Muhammad' (bukan nama sebenar), pengalamannya menolong menghiaskan rumah Cik Komathy memberinya semangat untuk terus melakukan kerja-kerja sukarelawan apabila dibebaskan pada tahun depan.

"Pertama kali kira macam terkejut macam tengok rumah-rumah orang susah inilah kan. Jadi apabila dalam tujuh hari ini kita bersihkan, ada cabaran dialah. Kita dengan mereka, minta tolong sikit, habis kita cat rumah mereka, bersihkan tembok-tembok semua," kata 'Muhammad'.

Dr Tan memuji penglibatan penghuni Darul Islah dalam melakukan kerja-kerja kebajikan kerana ia menunjukkan bahawa mereka juga boleh memainkan peranan positif dalam masyarakat.

"Ia menyampaikan mesej bahawa walaupun anda bekas pesalah, walaupun anda sedang susah, anda tidak sendirian. Menerusi usaha anda, anda boleh mendatangkan perubahan kepada orang-orang di sekeliling anda. Dan kami sangat gembira rakan-rakan kami dari Darul Islah sering datang membantu keluarga-keluarga di Clementi dan Jurong," jelas Dr Tan.

Usaha 'Project Happiness' yang dilancarkan sejak 2019 akan diteruskan untuk membantu lebih ramai golongan memerlukan. 

Sumber : BERITA Mediacorp/aq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan