Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Dapatkan maklumat vaksin COVID-19 hanya dari sumber diyakini

Dapatkan maklumat tentang vaksin hanya dari sumber-sumber yang diyakini dan bukan mempercayai mesej-mesej mengelirukan yang disebarkan.

Anggaran Waktu Membaca:
Dapatkan maklumat vaksin COVID-19 hanya dari sumber diyakini

Profesor Madya Benjamin Ong (kiri) dan Prof Tan Chorh Chuan (kanan). (Gambar: NUHS)

Diterbitkan : 11 Jan 2021 11:39PM Dikemas Kini : 12 Jan 2021 07:45AM

SINGAPURA: Dapatkan maklumat tentang vaksin hanya dari sumber-sumber yang diyakini dan bukan mempercayai mesej-mesej mengelirukan yang disebarkan.

Demikian menurut Profesor Madya Benjamin Ong, pengerusi Jawatankuasa Pakar mengenai Vaksin COVID-19 hari ini (11 Jan) setelah beliau menerima suntikan dos pertama vaksin Pfizer-BioNTech.

"Kami baca mesej-mesej yang tersebar itu dan kebanyakannya berdasarkan maklumat yang salah dan salah tanggapan tentang bagaimana vaksin bertindak.

"Jadi saya nasihatkan orang ramai supaya dapatkan maklumat daripada sumber-sumber yang dipercayai," kata beliau menjawab pertanyan wartawan tentang mesej-mesej antivaksin yang dikongsi menerusi aplikasi WhatsApp dan media sosial.

Sumber-sumber yang boleh dipercayai termasuk laman Kementerian Kesihatan dan maklumat daripada media aliran utama," tambah beliau.

Profesor Ong berkata demikian di samping Profesor Tan Chorh Chuan, yang merupakan Ketua Saintis Kesihatan Singapura dan juga anggota jawatankuasa vaksin COVID-19.

Profesor Madya Ong menerima suntikan vaksin beliau sekitar pukul 2.00 petang tadi di Hospital Universiti Nasional disusuli Profesor Tan.

Kedua-duanya menunggu selama 30 minit setelah disuntik untuk dipantau sekiranya terdapat kesan-kesan sampingan sebelum menerima soalan-soalan wartawan.

Profesor Tan menekankan bahawa vaksin yang sudah diluluskan sudah diteliti dan diperiksa oleh para penguasa di Singapura dan di merata dunia.

"Saya sudah meneliti vaksin-vaksin sejak awal Februari dan Mac (2020). Saya amat yakin bahawa ujian-ujian yang dijalankan sangat ketat, datanya juga diteliti oleh agensi-agensi pengawal selia di Singapura dan merata dunia," kata beliau.

DUA DOS

Beliau mengesahkan bahawa Singapura tidak ada rancangan untuk "berjimat" menggunakan dos vaksin memandangkan negara ini sudah menempah dan mendapatkan dos mencukupi untuk lebih lima juta penduduknya.

Di negara-negara lain, terdapat perbincangan untuk memberikan "separuh dos" suntikan, termasuk hanya memberikan dos pertama dan tidak dos kedua supaya dapat menyuntik lebih ramai orang.

Profesor Tan menekankan pentingnya mendapatkan dua dos vaksin Pfizer-BioNTech bagi perlindungan penuh.

Ujian mendapati, tahap keberkesanan vaksin Pfizer-BioNTech, satu-satunya yang diluluskan dan digunakan di Singapura, sekitar 95 peratus dengan dua dos diberikan dalam jarak tempoh tiga minggu.

"Semua orang harus faham bahawa perlindungan penuh hanya boleh berlaku jika anda mendapatkan dua dos," kata beliau.

"Terdapat pihak yang akan mengalami kesan sampingan ringan daripada suntikan dos pertama - sakit, sedikit bengkak dan mungkin demam.

"Saya rasa kita harus bersedia apabila menerima suntikan dos pertama mungkin terdapat simptom-simptom ringan yang berlarutan hanya sehari dua. Supaya kita tidak berasa takut untuk kembali bagi suntikan dos kedua."

Mengulas tentang berapa lama imuniti vaksin Pfizer-BioNTech itu dapat bertahan, Profesor Tan berkata kajian menunjukkan bahawa perlindungannya bertahan selama tiga bulan. Tetapi ia disebabkan tempoh pemantauan dibuat hanya selama tempoh tersebut.

"Saya rasa ia lebih lama daripada itu. Ada kajian baru yang menyatakan imuniti vaksin itu akan bertahan lebih enam bulan, lapan bulan. Jadi kami rasa imunitinya tidak singkat."

KESAN SAMPINGAN DIPANTAU

Menjelaskan tentang proses vaksin, Profesor Tan berkata ia mengambil sekitar 40 hingga 50 minit dari masa pendaftaran dibuat sehingga suntikan vaksin yang dinyahbekukan, dan setengah jam pemantauan.

"Saya rasa orang ramai perlu peruntukkan satu jam jika mereka mahu menerima vaksin disebabkan tempoh pemantauan 30 minit itu," kata beliau.

Menyusuli suntikajn vaksin, pihak berkuasa kesihatan akan memantau kesan-kesan selepas itu dan mengumpulkan maklumat daripada mereka yang sudah diberikan vaksin, para doktor dan pusat-pusat vaksin, menurut Profesor Tan.

"Semua ini dikumpulkan secara terpusat supaya kami boleh meneliti profil kesan sampingan yang wujud dalam kalangan penduduk kita," tambah beliau.

Profesor Ong juga berkata mereka yang mendapatkan vaksin selesema perlu menunggi "beberapa minggu" sebelum boleh diberikan suntikan COVID-19.

"Kami mahu sistem imun memberikan respons yang sesuai kepada setiap vaksin. Maka wajarlah untuk tetapkan jarak tempoh tersebut," kata beliau. 

Sumber : CNA/NK/nk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan