Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Dana modal $300,000 dilancar, sokong program pembangunan bagi wanita

Satu dana modal perubahan berjumlah $300,000 bagi menyokong program-program pembangunan untuk kaum wanita dilancarkan di majlis makan malam Majlis Pertubuhan Wanita Singapura (SCWO) pada Sabtu malam (23 Mac).

Anggaran Waktu Membaca:
Dana modal $300,000 dilancar, sokong program pembangunan bagi wanita

Pelancaran dana di majlis makan malam Majlis Pertubuhan Wanita Singapura (SCWO) pada 23 Mac.

Diterbitkan : 24 Mar 2019 12:27AM Dikemas Kini : 24 Mar 2019 12:31AM

SINGAPURA: Satu dana modal perubahan berjumlah $300,000 bagi menyokong program-program pembangunan untuk kaum wanita dilancarkan di majlis makan malam Majlis Pertubuhan Wanita Singapura (SCWO) pada Sabtu malam (23 Mac).

Dana itu akan dijalankan selama tiga tahun, dengan S$100,000 diperuntukkan tahun ini bagi menyokong badan-badan wanita yang menganjurkan program bagi menangani isu-isu berhubung pekerjaan dan kesihatan selama setahun. Bagi tahun pertama ini, dana yang ditadbir SCWO dibuka hanya kepada lebih 50 badan anggota Majlis Pertubuhan Wanita itu, yang mendampingi sekitar 500,000 wanita.

Perincian dana pemerintah itu, pertama kali diumumkan di Parlimen awal bulan ini (Mac) oleh Setiausaha Parlimen Kanan Kementerian Pembangunan Sosial dan Keluarga (MSF), Profesor Madya Muhammad Faishal Ibrahim.

Beliau yang hadir di majlis SCWO malam semalam, berkata: "Kita mahu memberikan laluan kepada wanita di Singapura untuk membangun ke tahap potensi masing-masing sepenuhnya. Saya berharap kita boleh mendapatkan idea-idea dan juga projek yang di mana kita boleh membangunkan projek yang sedia ada ataupun yang baru supaya kita boleh memperkasakan masyarakat, terutama sekali kaum wanita."

Tambah Dr Faishal lagi:"Tumpuan tahun ini adalah projek dalam pekerjaan dan juga kesihatan. Kita pun tahu kita sedang menghadapi cabaran warga senja dan juga ramai di kalangan wanita yang bekerja, mereka juga harus menjaga kesihatan mereka. Jadi dengan adanya idea-idea yang baru, mereka boleh bekerja sambil menjaga kesihatan mereka."

Dr Faishal menyertai Presiden Halimah Yacob selaku tetamu terhormat majlis dalam melancarkan dana tersebut. Presiden Halimah juga memuji lapan wanita yang diberi penghormatan dengan disenaraikan dalam Dewan Termasyhur Wanita Singapura atau Singapore Women's Hall of Fame (SWHF) tahun ini.

Mereka diiktiraf atas sumbangan serta pencapaian dalam bidang masing-masing yang akan membantu memberi belia contoh wanita yang mempunyai perwatakan kuat dan berjaya.

"Kita sekarang sudah ada 160 wanita dalam Dewan Termasyhur Wanita Singapura. Saya pasti semasa projek ini dimulakan, ada di kalangan kita sendiri yang tidak pasti sama ada akan ada cukup calon wanita untuk disenaraikan. Namun, kita sekarang sudah hampir mendapat 200 orang," menurut Presiden Halimah, yang juga diberi penghormatan disenaraikan dalam SWHF pada 2014.

"Kita sudah mencapai banyak kemajuan namun perjalanan kita masih jauh dan kita harus memanfaatkan perkembangan positif dan menyokong satu sama lain dalam usaha ini. Saya amat berharap dengan dana modal baru ini akan membolehkan golongan wanita mencapai perubahan lebih besar."

Antara yang diberi penghormatan tahun ini termasuk Allahyarhamha Zahrah Za'ba, mantan wartawan dan penyiar radio tahun-tahun 50-an dan 60-an.

Allahyarhamha, yang menjadi ketua Bahagian Siaran Melayu Radio Singapura dari 1958 hingga 1974, terkenal dengan penerbitan drama-drama radio yang digemari ramai seperti Esah dan Keluarganya, yang beliau turut tulis dan berlakon sekali.

Beliau meninggal dunia pada 1988.

Allahyarhamha menyertai tujuh lagi wanita dalam SWHF termasuk mantan pengetua sekolah Nanyang Girls' High, Liew Yuen Sin, mendiang Evelyn Norris, mantan pengetua Sekolah Perempuan Raffles, atlit Glory Barnabas dan K, Jayamani serta Brigedier Jeneral wanita pertama dalam SAF, Gan Siow Huang.

Turut menerima penghormatan tahun ini ialah penulis Tham Yew Chin yang telah memenangi banyak anugerah dan pengarah Divisyen Siasatan Jenayah Florence Chua. 

Sumber : BERITA Mediacorp/SU/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan