Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Dana Binaan CC Siglap baru kumpul S$2.9 juta; Dr Maliki buat 4 persembahan demi hargai penderma

Sebanyak S$2.9 juta berjaya dikumpul dalam jamuan malam amal Kelab Masyarakat Siglap semalam (24 Nov). Menariknya, Menteri Negara Kanan, Pertahanan dan Ehwal Luar Dr Mohamad Maliki Osman bukan sahaja menjadi hos acara ini.

Anggaran Waktu Membaca:
Dana Binaan CC Siglap baru kumpul S$2.9 juta; Dr Maliki buat 4 persembahan demi hargai penderma

Dr Maliki dalam persembahan Wushu. (Gambar: Pejabat Kawasan Siglap)

SINGAPURA: Sebanyak S$2.9 juta berjaya dikumpul dalam jamuan malam amal Kelab Masyarakat Siglap semalam (24 Nov). Menariknya, Menteri Negara Kanan, Pertahanan dan Ehwal Luar Dr Mohamad Maliki Osman bukan sahaja menjadi hos acara ini. Malah, Dr Maliki sendiri 'turun padang' untuk menghiburkan 2,000 penderma di acara yang diadakan di Dewan 1 Singapore Expo .

Jika sebelum ini beliau selalu kelihatan mengenakan kemeja atau kot, tetamu di acara malam itu dapat melihatnya memakai baju tradisional Melayu dan Cina.

Gambar-gambar Pejabat Kawasan Siglap

Demi menunjukkan penghargaannya kepada penderma yang menyokong usaha membina CC Siglap baru di Upper East Coast Road, Dr Maliki membuat empat persembahan di pentas - genderang Taiko, tarian Melayu, Wushu dan kemuncaknya merupakan gabungan ketiga-tiga persembahan tersebut.

Bahkan aksi beraninya memukau penonton termasuk memanjat atas 'piramid manusia' dan mengimbangi tubuhnya di hulu galah beberapa meter dari lantai.

"Ia sangat mencabar bagi saya untuk mencari masa membuat latihan untuk persembahan-persembahan tadi. Tapi, saya ingin meluahkan rasa penghargaaan sedalam-dalamnya kepada semua penderma atas sumbangan mereka dan juga buat para pemimpin akar umbi saya atas komitmen dan semangat mereka," kata Dr Maliki.

"Saya berbesar hati semua usaha saya tidak sia-sia kerana kami berjaya mengumpul lebih daripada jumlah yang disasarkan iaitu S$2.5 juta. Kejayaan ini khusus buat semua penduduk saya dan saya harap mereka akan dapat menikmati semua kemudahan di CC baru kami."

Dr Maliki turut menjemput Perdana Menteri Lee Hsien Loong untuk melancarkan Projek 'Siglap Brick Art' yang bakal diadakan menjelang dua, tiga tahun akan datang. Di bawah inisiatif itu para penduduk boleh membuat penajaan S$1 bagi setiap batu plastik di acara-acara masyarakat, mahupun pengumpulan dari blok ke blok. Ini bagi memberi peluang kepada penduduk Siglap untuk memainkan peranan mereka dalam usaha mengumpul dana untuk Kelab Masyarakat Siglap.

Acara jamuan malam itu dianjurkan Jawatankuasa Dana Binaan Siglap CC dan dikendalikan para pemimpin akar umbi. Mereka sendiri yang membuat persiapan untuk acara tersebut selain mengumpul tenaga sukarelawan untuk membuat 2,000 korsaj bunga sebagai tanda penghargaan mereka kepada para penderma atas sumbangan mereka.  

Sumber : BERITA Mediacorp/aq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan