Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Dalang yang tipu Jabatan Khidmat Penjara S'pura dipenjara 15 bulan

Dalang yang tipu Jabatan Khidmat Penjara S'pura dipenjara 15 bulan.

Anggaran Waktu Membaca:
Dalang yang tipu Jabatan Khidmat Penjara S'pura dipenjara 15 bulan

Gambar hiasan. (Gambar: Jeremy Long)

Diterbitkan : 08 Apr 2021 11:03PM Dikemas Kini : 08 Apr 2021 11:05PM

SINGAPURA: Dalang di sebalik satu skim untuk memalsukan dokumen-dokumen audit, bagi menyembunyikan bagaimana syarikatnya mengenakan yuran berlebihan kepada Jabatan Penjara Singapura (SPS) bagi barangan dan khidmat, hari ini (8 Apr) dijatuhi hukuman penjara 15 bulan.

Loo Yew Teck, 50 tahun, mengaku bersalah atas 30 tuduhan yang kebanyakannya kesalahan berpakat untuk menggunakan dokumen-dokumen palsu sebagai dokumen tulen, dengan lagi 88 tuduhan dipertimbangkan semasa menjatuhkan hukuman.

Dia sudahpun menjalani hukuman penjara 14 bulan atas tuduhan-tuduhan lain berkaitan kes yang sama semasa menerima hukuman baru.

Mahkamah diberitahu bahawa sukar bagi Pejabat Peguam Negara (AGO) untuk menentukan jumlah rugi keseluruhannya yang dialami SPS, memandangkan Loo sebelum ini mengarahkan agar dokumen-dokumen tersebut dihapuskan.

Loo, merupakan pengurus projek kanan di syarikat Thong Huat Brothers - salah satu daripada syarikat kejuruteraan awam dan kontraktor binaan di Singapura - dan seorang pengarah di firma Innova Development semasa melakukan kesalahan-kesalahan tersebut.

Dia mempunyai beberapa rakan subahat dalam skim tersebut, termasuk Chew Tee Seng, pengurus cawangan pembangunan prasarana penjara pada waktu itu, yang dipenjara 10 bulan pada 2016.

Pada bulan Julai 2011, AGO mula menjalankan audit ke atas SPS dan meminta mereka memberikan dokumen-dokumen sokongan bagi kerja-kerja tertentu yang dijalankan oleh Thong Huat pada tahun kewangan 2010.

Firma itu menjalankan kerja-kerja di bawah kontrak dengan Kementerian Ehwal Dalam Negeri (MHA).

Kerja-kerja itu dikendalikan oleh CPG Facilities Management bagi pihak penjara dan syarikat itu menerima yuran 4.5 peratus daripada nilai kerja yang dijalankan.

Thong Huat, selaku syarikat kontraktor utama, sepatutnya mempelawa syarikat-syarikat yang mungkin menjadi subkontrator untuk mengemumakan harga dan menyerahkan tuntutan bagi pemerolehan barangan dan khidmat tertentu serta menyerahkan tiga sebutan harga kepada CPG bagi kerja-kerja di SPS.

Lazimnya, CPG akan menyarankan harga yang paling rendah kepada SPS dan Thong Huat juga perlu menyediakan senarai terperinci barangan dan khidmat sebelum memulakannya.

Bagaimanapun, apabila AGO meminta dokumen-dokumen sokongan bagi tujuan audit, pegawai CPG menyedari mereka tidak memiliki dokumen-dokumen lengkap yang diperlukan daripada Thong Huat.

Mereka yang terlibat dalam pakatan itu kemudian mengadakan mesyuarat pada bulan Ogos 2011, di mana Loo mengaku bahawa sebahagian dokumen sebutan harga dan invois yang diserahkan sebelum ini adalah dokumen palsu yang disediakan oleh juruukur Thong Huat.

Menurutnya mereka tidak dapat menyerahkan dokumen-dokumen itu kepada AGO dan menghapuskannya.

Loo juga memberitahu rakan-rakan subahatnya bahawa harga yang dinyatakan pada dokumen sebutan harga paling rendah dan invois subkontraktor yang diserahkan kepada SPS sudah dinaikkan oleh Thong Huat.

Thong Huat mengenakan harga berlebihan kepada SPS, sedang ia membayar jumlah lebih rendah kepada subkontraktor berbanding apa yang diisytiharkan dalam borang-borang dan sebutan harga.

Loo berkata dia tahu tentang harga berlebihan itu dan Thong Huat melakukannya untuk mendapatkan semula potongan harga 57.2 peratus yang diberikannya.

AGO MAKLUMKAN TENTANG KESILAPAN

AGO menyemak semula dokumen-dokumen tersebut dan memaklumkan tentang beberapa kesilapan kepada pihak pengurusan khidmat penjara mengenai proses pemerolehan.

Chew, yang bertindak bagi pihak penjara, membuat aduan polis pada Mei 2012 berhubung dokumen-dokumen palsu dan Jabatan Ehwal Komersil membongkar skim tersebut.

Pihak pendakwa meminta agar Loo dipenjara 15 bulan dan menyifatkannya sebagai penggerak utama dan "dalang" skim tersebut.

Loo meneruskan penipuan terhadap institusi awam, melibatkan jumlah yang "besar" dalam kes itu yang menyebabkan bahaya ketara kepada SPS, tambah pihak pendakwa.

Dalam tempoh lapan bulan, 126 dokumen dipalsukan dan diserahkan untuk menipu AGO dan mengganggu audit SPS.

"Dalam kes sekarang, tindakan tertuduh mengancam keyakinan dan jangkaan rakyat Singapura bahawa para kontraktor pemerintah yang diberikan kontrak daripada dana awam tidak mengenakan harga berlebihan ke atas institusi awam dan kemudian menutup muslihat mereka menerusi dokumen-dokumen palsu," kata pihak pendakwa.

"Berbanding dengan semua hukuman yang pernah dijatuhkan sebelum ini, tertuduh dan mereka yang bersubahat memalsukan dan menggunakan jumlah dokumen yang lebih banyak," tambah mereka.

Sumber : CNA/NK/nk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan