Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Dalami ilmu sains kemasyarakatan - seru Shaykh Hamza Yusuf kepada asatizah

Para ulama dan asatizah di sini bukan sahaja perlu mendalami sains Islam bagi menghadapi cabaran semasa.

Anggaran Waktu Membaca:

BERITAmediacorp: Para ulama dan asatizah di sini bukan sahaja perlu mendalami sains Islam bagi menghadapi cabaran semasa.

Malah, cendekiawan Islam terkemuka, Shaykh Hamza Yusuf, berkongsi pentingnya juga golongan itu mempertingkatkan pengetahuan mereka dengan ilmu sains kemasyarakatan seperti logik, sains matematik dan kesusasteraan.

ASATIZAH PERLU SENTIASA DILATIH

Masyarakat Islam di seluruh dunia berdepan dengan pelbagai cabaran, antaranya sifat eksklusif sesetengah anggota masyarakat itu dalam fahaman agama sehinggakan enggan menerima tafsiran alternatif dalam menyelesaikan cabaran semasa.

Sikap eksklusivisme agama seperti ini menurut ulama terkemuka, Shaykh Hamza Yusuf, menjadi keprihatinan kerana boleh membawa kepada cabaran yang lebih besar dan rumit seperti ekstremisme dan radikalisme.

Sedang pemerintah cuba menangani keadaan itu, Shaykh Hamza menekankan peranan golongan agamawan dalam menangkis ideologi berbahaya itu.

"Masalah yang lainnya ialah sumber terhadap idea ini. Ia merupakan masalah ideologi, dan ini merupakan tanggungjawab kita kerana pemerintan tidak boleh memikulnya.

"Ini merupakan tanggungjawab asatizah, dan golongan asatizah ini perlu dilatih bagi memahami keadaan kehidupan sekarang ini dan bahaya luar biasa idea-idea ini terhadap masyarakat kita," tekan Shaykh Hamza, yang turut merupakan penulis bagi buku "Purification of the heart".

PENTINGNYA ILMU SAINS KEMASYARAKATAN

Nyata, tanggungjawab yang lebih berat terletak di bahu golongan asatizah dalam menyelesaikan masalah yang berakar dari agama.

Namun, dengan situasi masyarakat yang lebih dinamik hari ini, Shaykh Hamza menekankan golongan itu perlu meningkatkan pengetahuan relevan dan ini termasuk keperluan untuk mempelajari sains kemasyarakatan.

Visi ini menurut Shaykh Hamza dapat dicapai di Singapura, lebih-lebih lagi dengan penubuhan Kolej Islam pertama di sini yang akan menawarkan pembelajaran yang mengikut konteks setempat.

GUNAKAN LOGIK BAGI SELESAIKAN MASALAH

Namun, jenis sains masyarakat yang bagaimana perlu diutamakan dalam pembelajaran Islam di sini?

Ini pendapat Shaykh Hamza:

"Yang pertama, kita perlu mengembalikan seni bahasa yang mendalam yang merangkumi logik. Dalam sejarah, logik merupakan salah satu sains yang paling penting yang dipelajari oleh seseorang sebelum seseorang itu mengkaji agama dengan mendalam. Imam Al-Ghazali berkata kita tidak boleh mempercayai seseorang yang tidak mempelajari logik."

Ilmu logik di sini menurut beliau adalah dengan menggunakan pemikiran dan pertimbangan dalam sesebuah hujah apabila golongan asatizah berdepan dan menyelesaikan sesuatu masalah.

Beliau memetik bagaimana para sahabat dahulu tidak perlu mempelajari ilmu tersebut kerana secara semula jadi, golongan tersebut merupakan mereka yang berfikiran secara logik.

Sebaliknya menurut Shaykh Hamza, masyarakat khususnya golongan asatizah perlu mempelajari ilmu tersebut lebihan lagi keadaan pemikiran masyarakat yang kini menjadi semakin kusut dan tidak kritis.

ASATIZAH DIAJAK WARISI ILMU SAINS

Selain ilmu logik, Presiden bagi Kolej Zaytuna Amerika Syarikat itu juga berpendapat golongan asatizah perlu mendalami ilmu sains yang diwarisi daripada tamadun awal Islam.

Ini termasuk ilmu matematik bagi mempelajari ilmu geometri dan ilmu kesusasteraan bagi mendalami dan memahami teks Al-Quran.

Shaykh Hamza berada di sini baru-baru ini bagi Persidangan Antarabangsa Singapura, anjuran MUIS. 

Sumber : BERITA Mediacorp/UR/ai
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan