Images
  • imran
    (Gambar: Muhammad Imran/Yong Jun Yuan/TODAY)

Dahulu gelandangan, Muhammad Imran kini bantu rakan sekerja tangani larangan e-skuter

SINGAPURA: Pepatah sudah jatuh ditimpa tangga mungkin dapat menggambarkan hidup Muhammad Imran dahulu.

Pada usia lima tahun, beliau bergelar yatim piatu setelah kehilangan kedua-dua orang tuanya. Pada usia 24 tahun pula, beliau hilang tempat tinggal dan terpaksa hidup gelandangan selama empat tahun.

Namun, setiap pengalaman itu ada hikmahnya. Imran yang berat badannya mencecah 120 kilogram berjaya mengurangkan 30 kilogram setelah beralih daripada menggunakan e-skuter kepada basikal, yang menjadikannya sumber inspirasi kepada para penghantar makanan.

Apabila pertama kali mula berbasikal pada Februari tahun lalu, Imran hanya mampu melakukan dua penghantaran setiap hari.

"Pada awalnya, ia memang payah. Walaupun berbasikal sejauh 5 kilometer, saya menganggapnya mencabar. Rakan-rakan saya yang masih menaiki alat-alat mobiliti peribadi (PMD) mentertawakan saya," kata Encik Imran, 35 tahun.

"Namun, lama kelamaan saya bertambah baik dan dapat menunggang basikal tanpa berasa sesak nafas. Namun, ia tetap sukar."

Bahkan, empat bulan kemudian, Imran mampu membuat sehingga 25 penghantaran sehari, sama dengan jumlah tempahan yang dihantarnya sebelum ini dengan menggunakan e-skuter.

Meskipun ada yang berasa membuat penghantaran makanan menggunakan basikal adalah sesuatu yang mencabar, ia tidak dapat dibandingkan dengan perit jerih yang dilalui Imran.

DETIK PALING SEDIH DALAM HIDUPNYA

Bapanya meninggal dunia dalam nahas jalan raya ketika Imran berusia dua tahun. Ibunya pula meninggal dunia tiga tahun kemudian akibat sakit. Tanpa kedua-dua orang tua beliau, Imran tinggal bersama makciknya.

Namun, pada usia 24 tahun beliau hilang tempat tinggal setelah dihalau makciknya pada waktu sama beliau dibuang kerja sebagai pengawal keselamatan di Marina Bay Sands.

Selama empat tahun, Imran hidup gelandangan, kadang kala tidur di kolong flat sementara mencari kerja untuk sesuap nasi.

Disebabkan tidak mampu membayar tambang pengangkutan awam, Imran pernah terpaksa berjalan semalaman dari Tampines ke Bukit Timah untuk mencari pekerjaan.

Tiga tahun hidup terumbang ambing, nasibnya berubah ketika bermalam di kolong blok sewaktu hujan lebat.

"Malam itu hujan lebat dengan angin kencang. Ia merupakan malam paling sejuk yang pernah saya alami," katanya.

"Waktu itu juga saya menangis dan memberitahu diri saya, jika saya mempunyai keluarga sendiri, saya akan memastikan keluarga saya tidak perlu melalui nasib sebegini."

Pada saat itu Imran bertekad untuk mengubah hidupnya.

Beliau mendalami lagi pengetahuannya dalam Islam dan tinggal di masjid selama setahun.

BERBASIKAL UNTUK KURANGKAN BERAT BADAN

Pada 2014, Imran mendapat kerja sebagai pegawal keselamataan di Bukit Timah Plaza dan majikannya membenarkan beliau tinggal di bilik stor bangunan itu.

Setelah tiga tahun berjimat cermat, Imran mampu menyewa biliknya sendiri.

Sejak 2017, beliau mendapatkan pekerjaan lebih stabil dan juga bekerja separuh masa sebagai penghantar makanan bersama Uber Eats, kemudian GrabFood.

Namun, akibat tekanan daripada hubungan silam, berat badannya mula meningkat.

"Pada satu masa, saya boleh makan empat pinggan makanan," katanya sambil tertawa.

Pada Februari tahun lalu, beliau mula membuat penghantaran makanan dengan menunggang basikal, dalam percubaan untuk mengurangkan berat badan.

Meskipun menghadapi kesukaran, beliau tidak berputus asa.

'IA SAMA ADA ANDA MAHUKAN ATAU TIDAK'

Sejak larangan terhadap penggunaan e-skuter di laluan pejalan kaki berkuat kuasa pada November lalu, beberapa rakannya yang beralih kepada penggunaan basikal mendapatkan nasihat beliau.

Namun, beliau bersimpati dengan pekerja penghantar makanan yang menghadapi isu pergerakan yang terjejas oleh larangan itu.

Namun, bagi mereka yang berkeupayaan fizikal, beliau berasa mereka tidak harus berkeras untuk menggunakan e-skuter atau meluangkan terlalu banyak masa dengan merungut.

"Jika anda bertubuh sihat, anda seharusnya boleh menunggang basikal. Ia sama ada anda mahu atau tidak," katanya.

"Benar berbasikal mengambil lebih banyak masa (untuk buat penghantaran) berbanding e-skuter. Tetapi jika anda lakukan untuk keluarga anda, ia satu pengorbanan bagi menampung perbelanjaan mereka."

- TODAY/HA/ha

Top