Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Daftar pengundi boleh disemak mulai esok

Daftar pengundi sudah dikemas kini dan orang ramai boleh menyemaknya dari 14 Mac hingga 27 Mac, menurut Jabatan Pilihan Raya (ELD) pada Jumaat (13 Mac).

Anggaran Waktu Membaca:
Diterbitkan : 13 Mar 2020 07:44PM Dikemas Kini : 13 Mar 2020 11:26PM

SINGAPURA: Daftar pengundi sudah dikemas kini dan orang ramai boleh menyemaknya dari 14 Mac hingga 27 Mac, menurut Jabatan Pilihan Raya (ELD) pada Jumaat (13 Mac).

Dalam kenyataan medianya, ELD turut mendedahkan bahawa daftar tersebut mengandungi nama semua pengundi yang layak mengundi, setakat sehingga 1 Mac 2020.

Kenyataan tersebut dikeluarkan beberapa jam selepas Jawatankuasa Semakan Kawasan Undi (EBRC) mengeluarkan laporan yang menyenaraikan perubahan pada kawasan undi.

Rakyat Singapura boleh memeriksa butiran masing-masing dalam daftar tersebut menggunakan kad pengenalan NRIC atau pasport menerusi wadah berikut:

  • Laman web ELD
  • Pusat/Kelab Masyarakat
  • Kedutaan Singapura di luar negara yang dijadikan sebagai pusat pendaftaran
  • Jabatan Pilihan Raya (ELD)

Tuntutan dan bantahan boleh dilakukan secara online menerusi laman ELD atau secara peribadi di kelab atau pusat masyarakat, di Kedutaan Singapura yang dijadikan sebagai pusat pendaftaran luar negara dan di ELD sendiri.

Para individu yang nama mereka digugurkan daripada daftar tersebut kerana gagal mengundi pada pilihan raya lalu boleh memohon untuk memasukkan semula nama mereka agar layak berbuat demikian dalam pilihan raya akan datang, menurut kenyataan ELD.

PENDAFTARAN BAGI WARGA S'PURA DI LUAR NEGARA

Rakyat Singapura di luar negara, yang nama mereka disenaraikan dalam daftar pengundi, dan sudah menetap di Singapura selama sekurang-kurangnya 30 hari antara 1 Mac 2017 hingga 29 Feb 2020, boleh memohon untuk mendaftar sebagai pengundi luar negara untuk mengundi di salah satu pusat undi di luar negara yang ditetapkan bagi pilihan raya akan datang.

Mereka yang sudah mendaftar terlebih dahulu sebagai pengundi luar negara perlu mendaftar semula jika mereka memenuhi kriteria kelayakan pada 1 Mac 2020 dan ingin dikekalkan sebagai pengundi luar negara.

Bagaimanapun, permohonan tidak akan diproses sepanjang tempoh dari hari ketiga selepas Writ untuk pilihan raya dikeluarkan sehingga selepas Hari Penamaan Calon jika pilihan raya tidak ditandingi, atau sehingga selepas Hari Mengundi jika ia diadakan.

PERUBAHAN PADA SEMPADAN KAWASAN UNDI, PILIHAN RAYA DIJANGKAKAN

Dalam laporan yang diterbitkan pada Jumaat, EBRC mengusulkan lebih banyak kawasan undi dan tiada lagi GRC enam anggota bagi pilihan raya yang akan datang.

Jawatankuasa itu menyarankan pembentukan 31 kawasan undi, naik daripada 29, dengan 93 kerusi di Parlimen, lebih empat kerusi berbanding 89 yang ada sekarang.

Sebuah GRC baru iaitu GRC Sengkang dibentuk dengan empat kerusi, menjadikan bilangan GRC kepada sebanyak 17, naik daripada 16 yang ada sekarang.

Terdapat juga 14 Kawasan Undi Perseorangan (SMC), lebih satu berbanding 13 yang ada sekarang.

Pemerintah sudah menerima saranan-saranan yang diusulkan oleh jawatankuasa tersebut dan akan melaksanakannya pada pilihan raya akan datang.

Ini menjadi penunjuk bahawa GE seterusnya yang mesti diadakan selewat-lewatnya pada awal April 2021, mungkin akan diadakan tidak lama lagi.

Sumber : CNA/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan