Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

'Daftar bakat': Firma teknologi terbit senarai kakitangan diberhentikan untuk bantu mereka dapat kerja baru

Jika dahulu mereka lebih cenderung untuk tidak menguar-uarkannya, kini sebilangan syarikat pemula teknologi mula menerbitkan nama kakitangan yang diberhentikan sebagai usaha untuk membantu mereka mendapatkan kerja baru.

Anggaran Waktu Membaca:
'Daftar bakat': Firma teknologi terbit senarai kakitangan diberhentikan untuk bantu mereka dapat kerja baru

(Gambar: TODAY)

Diterbitkan : 15 Aug 2020 09:58PM Dikemas Kini : 15 Aug 2020 09:59PM

SINGAPURA: Jika dahulu mereka lebih cenderung untuk tidak menguar-uarkannya, kini sebilangan syarikat pemula teknologi mula menerbitkan nama kakitangan yang diberhentikan sebagai usaha untuk membantu mereka mendapatkan kerja baru.

Senarai tersebut dikenali sebagai daftar "bakat" atau anggota "alumni".

Masih tidak jelas syarikat mana yang memulakan trend itu namun antara syarikat yang telah menerbitkan senarai tersebut adalah syarikat penghantaran makanan, Deliveroo, firma wisata, Klook, dan portal rangkaian karyawan LinkedIn.

Para pekerja berkata dengan beberapa syarikat menerbitkan senarai seperti itu, ia membantu mengurangkan stigma diberhentikan kerja.

LEBIH PENDEDAHAN, LEBIH BAIK: PEKERJA

Inisiatif tempatan bernama FreshlyBaked.io, yang mengumpul senarai-senarai itu - termasuk beberapa yang dimulakan masyarakat, menyatakan bahawa terdapat lebih 550 golongan profesional, pengurus, eksekutif dan teknisyen (PMET) di Singapura dalam senarai tersebut.

Sebagai contoh, firma sewa penginapan Airbnb mempunyai profil 44 individu yang berpangkalan di Singapura yang bersetuju nama mereka diterbitkan dalam senarai, pada Mei. Lebih 1,000 pekerja Airbnb di seluruh dunia juga berada dalam senarai itu.

Sementara itu, daftar syarikat tempahan kenderaan Grab mempunyai 121 bekas pekerjanya, termasuk 46 di Singapura.

Seorang pekerja Grab yang diberhentikan baru-baru ini, Silas Khua, 33, berkata bahawa mudah baginya membuat keputusan untuk dimasukkan dari daftar Grab.

"Selama tempoh ini, lebih baik untuk mempunyai lebih banyak sumber yang menyenaraikan nama dan pengalaman anda di hadapan lebih banyak bakal majikan," kata Encik Khua.

Seorang jurucakap Grab berkata senarai bakatnya adalah sebahagian daripada “alat” untuk membantu pekerjanya yang diberhentikan. Cara-cara lain termasuk menawarkan sumber dan panduan pembelajaran.

PEKERJA YANG DIBERHENTIKAN ADALAH ASET: MAJIKAN

Skyscanner adalah salah satu firma terbaru yang memulakan daftarnya sendiri bagi dipromosikan di beberapa saluran, termasuk LinkedIn dan Twitter.

Senarai itu, disiarkan sejak Selasa (11 Ogos) menyusuli pengumuman penyusunan semula syarikat itu bulan lalu. Ia , menyifatkan pekerja yang ditampilkan sebagai "antara anggota pasukan kami yang luar biasa dan berbakat".

Jurucakapnya memberitahu Mediacorp bahawa senarai daftar itu dibangunkan untuk mengiktiraf pekerja yang terjejas oleh perubahan yang diusulkan untuk perniagaannya.

"Perubahan adalah akibat daripada pandemik global yang di luar jangkaan semua serta kesan yang meluas ke atas industri kami," katanya.

Beliau menambah bahawa senarai bakat itu adalah salah satu cara untuk menyokong pekerjanya dalam masa-masa ini.

Terdapat juga kumpulan rangkaian alumni, peningkatan pampasan bagi kebanyakan pekerja yang diberhentikan serta kelonggaran waktu untuk mereka hadiri temu duga kerja baru dalam dan luar syarikat.

Gojek, yang mengumumkan "daftar alumni"nya pada 20 Julai melalui catatan blog, menyatakan pekerja syarikat itu diberhentikan "bukan atas kesalahan mereka sendiri" dan "adalah aset bagi mana-mana syarikat".

TIDAK ADA UNTUK DIMALUKAN: PEKERJA

Seorang eksekutif pemerolehan bakat berusia 32 tahun, yang disenaraikan dalam daftar itu namun enggan didedahkan namanya, berkata beberapa rakan beliau yang diberhentikan keberatan untuk memasukkan nama mereka dalam senarai tersebut.

Tetapi baginya, "masuk akal" disenaraikan dalam daftar senarai tersebut dan membenarkan bakal majikan tahu bahawa "bakat baik" turut diberhentikan dalam masa-masa sebegini.

Tidak lama selepas beliau disenaraikan bulan ini, profilnya di LinkedIn mendapat seganda jumlah tontonan daripada biasa dan lebih daripada lima pihak sudah menghubunginya dengan peluang pekerjaan, katanya.

Cik Jennifer Noviana, 26, seorang spesialis masyarakat yang bekerja di Skyscanner hingga pertengahan bulan ini, memulakan senarai bulan lalu sebelum Skyscanner membangunkan senarai rasmi.

"Saya tidak fikir mereka yang diberhentikan kerja adalah atas sebab ketidakupayaan mereka tetapi kerana keperluan syarikat, jadi tiada apa yang perlu dimalukan," katanya.

"Pemberhentian kerja adalah situasi yang malang, tetapi saya rasa ia tidak seharusnya menjadi sesuatu yang memalukan bagi individu dikenali sebagai seseorang yang diberhentikan, terutama dalam keadaan di mana ekonomi merudum dan syarikat-syarikat perlu membuat keputusan sukar untuk memberhentikan pekerja untuk terus bertakat."

Senarai beliau dikongsi oleh rakan sekerja dan juga pihak pengurusan kanan.

Beliau berkata bahawa sebarang pertolongan pada saat ini amat dihargai kerana pasaran pekerjaan sangat kompetitif dengan lebih banyak orang bersaing bagi peluang pekerjaan lebih sedikit.

Satu jawatan kosong kini dapat menarik ratusan, malah ribuan, pemohon, tambahnya.

PERUBAHAN PENDEKATAN MAJIKAN

Encik Paul Endacott, 44, ketua pegawai eksekutif syarikat teknologi sumber manusia dan syarikat merekrut Grit Search, yang mengusahakan FreshlyBaked.io, berkata bahawa senarai pemberhentian kerja bukanlah sesuatu yang secara semula jadi dilakukan oleh syarikat tetapi masa sudah berubah dan majikan sedang bertindak balas dengan cara yang betul.

"Hubungan majikan-pekerja sudah mula berubah seiring peredaran masa dan apabila anda melihat kepimpinan dan bagaimana cara sepatutnya, ia harus lebih mengutamakan sifat empati, dan lain-lain lagi," katanya.

"Saya tidak fikir ada yang akan menuding jari ke arah syarikat yang terpaksa melepaskan pekerja kerana pandemik ini. Orang ramai faham terdapat masalah yang lebih meluas jadi saya menggalak syarikat untuk bergerak ke arah ini (mempunyai inisiatif seperti itu untuk membantu pekerja). " 

Sumber : Today/TQ/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan