Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Cuti sakit tanpa serah MC: Pekerja suara sokongan, tidak ambil kesempatan

Apabila kakitangan Bosch Singapore Amos Choy bangun dengan rasa sakit di belakang tubuhnya menyusuli satu perlawanan bola keranjang yang sengit pada malam sebelumnya, beliau tahu dirinya tidak dapat masuk bekerja.

Anggaran Waktu Membaca:
Cuti sakit tanpa serah MC: Pekerja suara sokongan, tidak ambil kesempatan

(Gambar hiasan: Kelly Sikkema/Unsplash)

Diterbitkan : 16 Dec 2018 10:31PM Dikemas Kini : 16 Dec 2018 10:40PM

SINGAPURA: Apabila kakitangan Bosch Singapore Amos Choy bangun dengan rasa sakit di belakang tubuhnya menyusuli satu perlawanan bola keranjang yang sengit pada malam sebelumnya, beliau tahu dirinya tidak dapat masuk bekerja.

"Saya mempunyai ubat yang dibeli semasa saya jatuh sakit sebelum ini. Jadi saya boleh mengubati diri saya sendiri dan tidak perlu berjumpa doktor," kata lelaki berusia 38 tahun yang berkerja dalam bidang perhubungan itu.

Daripada terpaksa bersusah payah berjalan ke klinik, Encik Choy sebaliknya hanya mengirimkan pesanan ringkas kepada bosnya untuk memaklumkan bahawa beliau tidak dapat masuk berkerja. Pada keesokan harinya, beliau memfailkan permohonan cuti sakit dalam sistem kerjanya.

"Di bawah sistem lama, saya terpaksa harus ke klinik - walaupun sedang berasa sakit - semata-mata untuk berjumpa doktor dan mendapatkan sijil perubatan semata-mata supaya saya tidak akan berdepan dengan masalah," katanya. "Jadi saya benar-benar gembira dengan sistem sedia ada ini."

Di bawah satu program perintis yang dilaksanakan pada Januari, syarikat kejuruteraan dan elektrik itu membenarkan para kakitangannya untuk mengambil sehingga dua hari berturut-turut cuti sakit tanpa perlu menyerahkan MC. Program itu dijalankan selepas mengumpul maklum balas daripada para pekerjanya dan bagi mengikuti langkah sama yang diambil syarikat lain.

Dalam ucapannya di Parlimen pada November lalu, Anggota Parlimen Dilantik (NMP) Irene Quay menggesa Pemerintah supaya menggalak para majikan supaya mencuba sistem seumpama ini yang meletakkan kepercayaan pada para pekerjanya. Kenyataannya itu sekaligus menarik perhatian ramai yang turut memberi pandangan mereka di platform-platform media sosial.

PEKERJA AMBIL KESEMPATAN?

Sektor pekerjaan Singapura - Perkhidmatan Awam - juga memperuntukkan dua hari cuti sakit di mana para pekerja tidak perlu menyerahkan MC.

Pengurus Kanan Sumber Manusia Bosch Singapore Shannen Lim berkata, sekitar 200 daripada kira-kira 900 pekerjanya mengambil cuti sakit tanpa menyerahkan MC, dengan setiap pekerja mengambil purata satu hari cuti seperti itu.

Sejak projek perintis itu dijalankan, Cik Lim berkata, tiada kes penyalahgunaan mahupun bertambahnya kes kakitangan tidak masuk kerja. Maklum balas daripada para kakitangan juga memberangsangkan di samping kejayaan syarikat menjimatkan kos daripada kemerosotan 5 peratus dalam tuntutan pesakit luar.

(Gambar: Bosch Singapore)

(Gambar: Bosch Singapore)

Mengambil kira manfaat-manfaat sistem tersebut, Cik Lim berkata sistem itu "semestinya akan terus dilaksanakan". "Para kakitangan mengerti bahawa sistem itu diperkenalkan supaya mereka dapat berehat dan beransur pulih di rumah," tambahnya. "Ia benar-benar berkesan dari segi daya penghasilan dan semangat pekerja."

Satu lagi syarikat yang meraih manfaat serupa ialah Hospital Tan Tock Seng.

Pada 2013, ia melancarkan satu program perintis di mana kakitangan daripada beberapa jabatan dibenarkan mengambil cuti sakit tanpa MC (tidak secara berturut-turut). Selepas mendapati bahawa tiada kes penyalahgunaan atau bertambahnya hari kakitangan tidak masuk bekerja, sistem itu dilaksanakan bagi seluruh tenaga kerja hospital berkenaan.

KEPRIHATINAN TIDAK BERASAS, SISTEM HASIL USAHA BERSAMA

Dari 9,000 kakitangan di hospital itu, setiap kakitangan secara purata mengambil cuti sakit tanpa MC selama 1.7 hari setiap tahun.

Malah, sistem itu juga merupakan satu kejayaan besar - para kakitangan bersemangat untuk menjalankan inisiatif-inisiatif lain bagi peningkatan dalam pekerjaan masing-masing, sementara hospital berhasil menjimatkan sekitar S$130,000 setiap tahun dengan berkurangnya tuntutan pesakit luar. Jumlah cuti sakit di bawah sistem berkenaan akan dinaikkan kepada lima hari bermula tahun depan.

(Gambar: Hospital Tan Tock Seng)

(Gambar: Hospital Tan Tock Seng)

Namun, ada juga cabaran-cabaran bagi sistem seperti ini.

"Ketika kita baru sahaja melaksanakan sistem ini, sudah tentu semua orang bimbang," kata ketua pegawai HR Serene Tan, sambil menarik perhatian kepada keprihatinan tentang lebih banyak kakitangan yang tidak masuk bekerja, terutama sekali pada hari sebelum hujung minggu atau cuti umum.

Kebimbangan seperti ini ternyata tidak berasas, kata Cik Tan, kerana para kakitangan dimaklumkan secara terang-terangan bahawa hak itu akan ditarik balik daripada mereka yang menyalahgunakannnya.

"Saya sangat gembira kerana kami berjaya keluar daripada pemikiran itu," tambahnya, sambil akur bahawa para kakitangan juga tahu bahawa tindakan mereka yang mengambil cuti sewenang-wenangnya akan menjejas rakan kerja lain. "Ia satu usaha kolektif."

TIDAK UNTUK SEMUA ORANG

Meskipun begitu, Encik Amarjit Singh Wasan, seorang pakar HR yang sudah bersara berkata, banyak syarikat di Singapura masih menunjukkan "sentimen negatif" terhadap sistem seumpama itu.

"Pada pendapat saya, kurang kepercayaan terhadap para pekerja malangnya satu perkara biasa, mungkin kerana wujudnya insiden-insiden segelintir pekerja yang mengambil kesempatan daripada sistem yang berlandaskan elemen kepercayaan," kata Encik Wasan, pakar runding dengan syarikat-syarikat di Singapura mahupun rantau ini.

Dalam pada itu, NMP Cik Quay berkata, beliau tidak menjangkakan ucapannya akan menarik perhatian orang ramai, sambil menambah bahawa ia jelas mencerminkan tentang pandangan para pekerja terhadap isu tersebut.

Cik Irene Quay berucap di Parlimen pada 20 Nov 2018.

Beliau berkata, niatnya adalah untuk menarik perhatian kepada sistem seperti itu sebagai satu cara mengurangkan beban pada bidang jagaan kesihatan dalam masyarakat menua Singapura. Perdebatan online, bagaimanapun, berpusat kepada isu lebih besar: Kepercayaan.

"Bagaimana anda boleh mengharapkan para pekerja untuk bertungkus-lumus dalam tugasan mereka dan melakukan yang terbaik jika kurang kepercayaan wujud dalam asas sebuah sistem?" katanya kepada Mediacorp.

"Jika anda mula mewujudkan sistem seumpama ini, ia akan memperkasa para pekerja supaya mereka dapat melakukan lebih banyak lagi dan bekerjasama secara lebih berkesan." 

Sumber : CNA/AQ/aq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan