Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Cukai pengguna seperti GST wajar; ringankan beban pekerja muda sedang penduduk S'pura kian menua

Cukai-cukai pengguna termasuk cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) adalah perlu untuk meringankan beban cukai ke atas pekerja lebih muda sedang penduduk Singapura kian menua. Demikian kata Menteri Kedua Kewangan Indranee Rajah di Parlimen pada Rabu (14 Okt).

Anggaran Waktu Membaca:
Cukai pengguna seperti GST wajar; ringankan beban pekerja muda sedang penduduk S'pura kian menua

(Gambar: Mediacorp)

Diterbitkan : 14 Oct 2020 07:59PM Dikemas Kini : 14 Oct 2020 08:01PM

SINGAPURA: Cukai-cukai pengguna termasuk cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) adalah perlu untuk meringankan beban cukai ke atas pekerja lebih muda sedang penduduk Singapura kian menua. Demikian kata Menteri Kedua Kewangan Indranee Rajah di Parlimen pada Rabu (14 Okt).

"Sekiranya kita terus bergantung secara dasar kepada cukai pendapatan peribadi, beban cukai akan semakin bertambah ke atas warga Singapura yang masih muda," katanya.

"Jadi anda perlu cuba dan meratakannya serta memastikan anda mempunyai sedikit kebergantungan terhadap cukai pendapatan peribadi tetapi ia juga wajar untuk mengenakan cukai pengguna seperti GST.

"GST mengurangkan masalah mengimbangi pencukaian secara lebih meluas dalam kalangan penduduk."

Cik Indranee berkata demikian semasa menjawab soalan yang diajukan oleh Anggota Parlimen (AP) SMC Bukit Panjang Liang Eng Hwa tentang bagaimana penduduk kian menua akan memberi kesan terhadap beban cukai ke atas penduduk yang bekerja.

Cik Indranee menarik perhatian bahawa kadar kesuburan keseluruhan paling terkini di Singapura adalah 1.14 iaitu "di bawah kadar penggantian". Beliau menambah sekitar 15 peratus daripada penduduk negara ini pada 2019 berusia 65 tahun dan ke atas. Ia akan meningkat kepada kira-kira 25 peratus menjelang 2030.

Sedang penduduk semakin menua, perbelanjaan jagaan kesihatan tahunan akan meningkat "dengan begitu ketara", jelas Cik Indranee, sambil menekankan bahawa ia dijangka naik dari 2.1 peratus daripada GDP hari ini kepada hampir 3 peratus daripada GDP sepanjang tempoh sedekad seterusnya.

"Ini bermakna bahawa selain daripada simpanan, anda memerlukan pendapatan baru dan anda harus memastikan sumber pendapatan anda dipelbagaikan," jelasnya.

Cik Indranee berkata cukai pendapatan peribadi membentuk 18 peratus daripada pendapatan cukai Singapura dengan bakinya daripada cukai pendapatan korporat, cukai berkaitan aset dan GST.

Timbalan Perdana Menteri Heng Swee Keat pertama kali membangkitkan keperluan untuk menaikkan GST dari 7 kepada 9 peratus semasa Belanjawan 2018. Beliau berkata pada waktu itu bahawa kenaikan tersebut akan dilakukan antara 2021 hingga 2025.

Semasa menyampaikan Belanjawan pertamanya pada Februari, Encik Heng mengumumkan kenaikan GST tidak akan dilakukan pada 2021 setelah mengambil kira keadaan ekonomi semasa.

Cik Indranee menyatakan pada Rabu bahawa cukai pendapatan bergantung kepada pertumbuhan ekonomi, sambil menekankan betapa pentingnya untuk merubah ekonomi, meningkatkan daya penghasilan dan memastikan tenaga kerja tempatan boleh menyokong pembangunan ekonomi.

"Itulah sebabnya kita melengkapkan tenaga kerja tempatan dengan pekerja mahir warga asing, terutama dalam bidang di mana kami belum memiliki jumlah pekerja mahir tempatan yang diperlukan, walaupun jelasnya, kami ingin mengembangkan pekerja mahir tempatan untuk dapat melakukan pekerjaan tersebut," tambahnya lagi.

"Dalam jangka panjang, menaikkan kadar kelahiran. Itu tetap merupakan penyelesaian paling mampan untuk cabaran demografi kita."

Untuk menyederhanakan kesan penuaan dan kadar kelahiran yang rendah, Cik Indranee berkata Singapura mengambil masuk bilangan rakyat baru dan penduduk tetap yang "stabil dan secara berhati-hati" pada setiap tahun.

Perangkaan yang dikeluarkan oleh Divisyen Kependudukan dan Bakat Nasional menunjukkan penduduk Singapura merosot sebanyak 0.3 peratus pada tahun lalu kepada 5.69 juta setakat Jun 2020, dengan kejatuhan dalam bilangan warga asing.

AP GRC Sembawang Poh Li San bertanya sama ada Pemerintah akan menyemak semula sasaran penduduk jangka panjang memandangkan trend menunjukkan peningkatan pada penyumberan luar pekerjaan di luar negara dan pengurangan pengambilan pekerja asing di Singapura.

Dalam responsnya, Cik Indranee, yang juga Menteri di Pejabat Perdana Menteri, berkata ramalan penduduk jauh di bawah 6.9 juta menjelang 2030 "tetap wajar hari ini".

Ramalan penduduk jangka panjang Singapura menjadi topik hangat semasa Pilihan Raya Umum baru-baru ini di tengah-tengah dakwaan bahawa Pemerintah merancang untuk menaikkan bilangan penduduk kepada 10 juta.

"Pemerintah sudahpun menjelaskan melalui kenyataan media dan rencana Factually pada bulan Mac serta Julai 2020 bahawa ia tidak mempunyai sasaran penduduk mahupun berusaha untuk mencapai saiz penduduk tertentu," tegas Cik Indranee. 

Sumber : CNA/FZ/fz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan