Images
  • sun

Cuaca lebih panas pada 2 minggu pertama Ogos, suhu cecah lebih 35 darjah Selsius

SINGAPURA: Cuaca lebih panas dan kering dijangkakan pada dua minggu pertama Ogos berbanding Julai, menurut Perkhidmatan Kaji Cuaca Singapura (MSS) pada Khamis (30 Jul).

Semasa tempoh itu, suhu harian diramalkan antara 25 hingga 34 darjah Selsius, dan mencecah sehingga 35 darjah Selsius pada beberapa hari.

Keadaan panas dan lembab juga dijangkakan pada beberapa malam, dengan suhu sekitar 28 darjah Selsius.

Hujan tengkujuh diramalkan bergerak ke bahagian utara pada dua minggu akan datang, sekali gus menyebabkan keadaan lebih kering di Singapura.

Ini dijangka menyebabkan hujan lebat dan sederhana sekejap-sekejap berserta guruh di merata Singapura antara lewat waktu pagi dan petang pada beberapa hari.

JUMLAH HUJAN LEBIH TINGGI PADA JULAI

Sekitar 70 peratus kawasan di Singapura mencatat jumlah hujan lebih tinggi pada Julai, menurut MSS.

Jumlah hujan yang dicatat di Jurong adalah 86 peratus lebih tinggi berbanding paras purata manakala jumlah hujan di Clementi adalah 24 peratus lebih rendah daripada paras purata.

Kawasan di Buona Vista mencatatkan jumlah hujan harian tertinggi sebanyak 125.6 milimeter pada dua minggu pertama bulan ini.

- CNA/NA/na

Top