Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

CPFB, MOH perjelas kes rayuan lelaki hendak guna CPF bagi rawatan barah isteri

MOH dan Lembaga CPF (CPFB) memberi respons kepada cerita-cerita diterbitkan online yang mendakwa lembaga tersebut menolak permintaan seorang lelaki untuk menggunakan simpanan CPFnya bagi rawatan isteri beliau yang menghidap barah. MOH dan CPFB menyifatkan dakwaan demikian sebagai "mengelirukan".

Anggaran Waktu Membaca:
CPFB, MOH perjelas kes rayuan lelaki hendak guna CPF bagi rawatan barah isteri

Petikan skrin video YouTube

Diterbitkan : 12 Jul 2019 11:52PM Dikemas Kini : 12 Jul 2019 11:55PM

SINGAPURA: Kementerian Kesihatan (MOH) dan Lembaga CPF (CPFB) memberi respons kepada cerita-cerita diterbitkan online yang mendakwa lembaga tersebut menolak permintaan seorang lelaki untuk menggunakan simpanan CPFnya bagi rawatan isteri beliau yang menghidap barah. MOH dan CPFB menyifatkan dakwaan demikian sebagai "mengelirukan".

"Untuk membantu isterinya, Encik Suriia Das memohon agar simpanan persaraan CPFnya digunakan bagi membayar rawatan barah isteri beliau," menurut kenyataan bersama MOH dan CPFB pada Jumaat (12 Jul).

"Kami ingin menerbitkan maklumat berikut secara awam kerana ia penting akibat maklumat mengelirukan yang dikeluarkan sebelum ini."

Dalam satu video YouTube diterbitkan pada 7 Julai oleh peguam M Ravi, Encik Surria Das, 47 tahun, berkata CPFB menolak permohonannya untuk memindahkan wang CPF beliau dari Akaun Biasa dan Khas ke akaun MediSave isterinya.

Isterinya, Sarojini Jayapal, 47 tahun, didiagnos menghidap barah rahim pada 2016.

Dalam video tersebut pasangan itu berkata mereka "kehabisan" dana dalam akaun MediSave dan sudah menghabiskan simpanan akaun CPF Cik Sarojini.

Wanita itu berkata beliau menjalani rawatan di hospital privet "kerana ia adalah satu-satunya yang memberi harapan untuk sembuh" dan mendakwa Hospital Universiti Nasional (NUH) memberitahu mereka keadaan wanita itu tidak boleh dirawat.

PASANGAN DIBERITAHU BARAH ITU TIDAK BOLEH DIRAWAT

Dalam kenyataan bersama, MOH dan CPFB menyatakan dakwaan itu tidak benar. Prognosis daripada NUH dan di Pusat Barah Parkway (PCC) dan Hospital Mount Elizabeth semuanya sama - barah beliau pada tahap terakhir.
"Sejak 2017, beliau memilih menerima rawatan di Hospital Mount Elizabeth dan PCC. PCC sudah memaklumkan beliau dan suami bahawa barahnya tidak boleh disembuhkan dan penyakitnya di tahap akhir," menurut kenyataan itu.

Ia menambah NUH telah menawarkan tarikh temu janji terbuka sekiranya keluarga itu memilih untuk dirawat di hospital tersebut bagi penjagaan bersubsidi.

MOH dan CPFB menambah Cik Sarojini dilindungi oleh Medishield Hayat serta insurans tambahan di bawah pelan Shield Bersepadu.

"Cik Sarojini dilindungi oleh MediShield Hayat, yang membayar sekitar S$60,000 bagi bil hopital dan perubatannya sejauh ini," menurut kenyataan itu.

"Bersama-sama MediShield Hayat, insurans perubatan sudah mengeluarkan bayaran lebih S$300,000 sehingga kini, menampung hampir 90 peratus bil perubatan di PCC dan Hospital Mount Elizabeth."

Kenyataan bersama itu mendedahkan Cik Sarojini turut menerima bantuan dari skim penjagaan kesihatan lain yang "mengurangkan beban rawatannya sejak beberapa tahun lalu".

"Cik Sarojini juga menerima S$1,100 sebulan di bawah pelan ElderShield dan pelan tambahan ElderShield sejak Oktober 2017, kesemuanya bernilai sekitar S$23,000," tambah kenyataan itu.

Pasangan itu juga mengeluarkan sekitar S$9,000 dari akaun MediSave mereka bagi rawatan beliau.

"PILIHAN RAWATAN BERSUBSIDI MASIH TERBUKA"

MOH dan CPFB menambah Cik Sarojini sudah memohon pada 2017 untuk mengeluarkan kesemua simpanan CPF dari Akaun Biasa dan Khasnya yang kesemuanya bernilai S$25,000.

Permohonannya itu diluluskan berdasarkan penilaian PCC bahawa penyakitnya akan membawa maut, menurut kenyataan itu lagi.

Skim Perlindungan Rumah Lembaga CPF juga membayar S$186,500 untuk melunaskan sepenuhnya pinjaman rumahnya yang belum dijelaskan.

"Secara keseluruhan, akibat penyakit yang dialami Cik Sarojini, skim insurans di bawah CPF sudah membayar sekitar S$510,000 sejauh ini, manakala S$34,000 sudah dikeluarkan dari akaun kedua-dua Cik Sarojini dan Encik Suriia Das," menurut kenyataan itu.

MOH dan CPFB menyatakan pihaknya "sangat berempati" dengan kesusahan yang dihadapi pasangan itu.

"Kami sudah melakukan semua yang terdaya untuk menyokong mereka menerusi pelbagai skim sejak 2017," menurut kenyataan itu.

"Kami ingin menekankan lagi bahawa penjagaan bersubsidi masih merupakan pilihan bagi keluarga itu. Jika mereka menghadapi sebarang kesusahan dengan bil perubatan di NUH, mereka boleh mendapat bantuan kewangan tambahan dari MediFund."

Sumber : CNA/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan