Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

COVID-19: Waktu kerja tukang bersih lebih panjang, namun sebilangan tidak dibayar gaji kerja lembur

Pekerja pembersihan di estet HDB bekerja lebih panjang, sehingga 14 jam sehari, sejak bermulanya pandemik COVID-19. Malangnya, tidak semua dibayar gaji kerja lembur.

Anggaran Waktu Membaca:
COVID-19: Waktu kerja tukang bersih lebih panjang, namun sebilangan tidak dibayar gaji kerja lembur

Gambar fail pekerja pembersihan warga asing di S'pura (Gambar: TODAY)

Diterbitkan : 13 Sep 2020 09:28PM Dikemas Kini : 13 Sep 2020 09:38PM

SINGAPURA: Pekerja pembersihan di estet HDB bekerja lebih panjang, sehingga 14 jam sehari, sejak bermulanya pandemik COVID-19. Malangnya, tidak semua dibayar gaji kerja lembur.

Tiga daripada 10 pekerja penyenggaraan yang dihubungi Mediacorp - kesemuanya pemegang permit kerja warga Bangladesh - berkata gaji mereka menerima gaji sama meski waktu kerja lebih panjang.

Tujuh pekerja yang menerima gaji kerja lembur mendapat tambahan S$50 hingga S$100 sebulan.

Ada pula berkata mereka terpaksa bekerja meskipun "sakit ringan" seperti selesema dan batuk. Kebanyakannya berkata mereka juga bekerja pada hujung minggu dan tidak diberi hari cuti rehat.

BEBAN KERJA BERTAMBAH

Dengan lebih ramai orang bekerja dari rumah dan memesan makanan, tong sampah di kawasan perumahan semakin cepat penuh, menyebabkan beban kerja bertambah bagi pekerja pengumpul sampah seperti Encik Hawlader Manik. Semasa tempoh "circuit breaker", beliau perlu membersihkan setiap tong sampah tiga kali lebih kerap berbanding sebelumnya, namun berkata beban kerja kini sudah berkurangan.

Apabila Mediacorp mengunjungi pekerja penyenggaraan berusia 32 tahun itu di Sims Drive selepas 7.00 malam, beliau dan seorang rakannya masih sibuk memikul perabot yang dibuang ke tempat pengumpulan sampah.

Mereka lazimnya mula bekerja pada 6.00 pagi dan kadang-kadang habis kerja pada 8.00 malam. Sebelum adanya COVID-19, mereka selalunya habis kerja pada pukul 6.00 petang.

Encik Hawlader juga perlu membersihkan tempat-tempat awam seperti lif, kawasan senaman dan taman permainan dua kali sehari, berbanding sekali sehari sebelum pandemik.

ADA YANG KERJA 16 JAM SEHARI

Pekerja penyenggaraan berkata beban kerja mereka sekarang sama seperti musim perayaan seperti Tahun Baru Cina atau Hari Raya.

Laporan oleh Pertubuhan Kemanusiaan untuk Ekonomi Pekerja Asing (HOME) yang diterbitkan pada 31 Ogos mendapati pekerja pembersihan di estet perumahan bekerja sekitar 15 hingga 16 jam sehari semasa musim perayaan, berbanding biasanya selama 12 jam.

HOME berbual dengan lebih 30 pekerja warga Bangladesh dari 2014 hingga 2020.

Perbezaannya adalah krisis COVID-19 berlarutan selama berbulan-bulan, berbanding musim perayaan.

HOME menyatakan semua pekerja yang dihubunginya tidak menerima kenaikan gaji meskipun kerja lebih lama sejak COVID-19 melanda.

Kumpulan yang mempejuangkan hak pekerja asing itu juga menarik perhatian kesulitan sekian lama yang dihadapi oleh pekerja pembersihan Bangladesh, seperti beban hutang untuk datang ke Singapura untuk bekerja dan tiadanya hari rehat dan cuti tahunan.

TIDAK SEMUA TERIMA GAJI KERJA LEMBUR

Pekerja yang dihubungi Mediacorp menerima gaji antara S$660 dan S$1,000 sebulan. Seorang pekerja penyenggaran warga Singapura pula menerima sekurang-kurangnya S$1,440 di bawah model gaji progresif Kementerian Tenaga Manusia.

Sebilangan pekerja Bangladesh terima gaji lembur S$50 hingga S$100 sebulan semasa tempoh pandemik ini.

Namun tidak semua yang bernasib baik. Encik Ahmad, 30, dan Encik Sabbir, 29, berkata mereka tidak menerima gaji kerja lembur walaupun bekerja dua jam lebih lama setiap hari, sejak beberapa bulan lalu.

Gaji bulanan mereka - sekitar S$660 - juga tidak berubah sejak empat tahun lalu.

"Kadang-kadang mereka berkata mereka ingin kurangkan gaji," kata Encik Sabbir. "Mereka berkata (gaji saya) sudah tinggi, bagaimana nak minta lebih?"

Nama mereka ditukar untuk melindungi identiti mereka. Mediacorp cuba menghubungi majikan mereka namun syarikat itu tidak menjawab.

Berdasarkan dapatan HOME, pekerja penyenggaraan Bangladesh dibayar sekitar S$2 sejam setelah mengambil kira gaji untuk kerja lembur dan kerja pada hari rehat mereka.

Beberapa pekerja juga menerima gaji yang sama tanpa mengira waktu kerja tambahan mereka dan jumlah cuti umum pada bulan itu, tambahnya.

TIADA HARI CUTI UNTUK KEBANYAKAN PEKERJA

Sebilangan besar pekerja pembersihan berkata mereka tidak ada cuti rehat dan bekerja setiap hari sepanjang tahun. Apabila mereka bekerja pada hujung minggu dan cuti umum, mereka diberi gaji tambahan.

Setelah bekerja di Singapura selama 10 tahun, pekerja pembersihan Bikash sudah biasa dengan keadaan itu.

"Ahad kami tidak pernah ambil cuti kerana sukar; tong sampah mesti sentiasa dibersihkan,” katanya. "Sekiranya (kami) tidak bersihkan, sampah akan naik ke tingkat dua, tiga."

Pekerja kadang-kadang dibenarkan mengambil cuti, tetapi hanya setelah mereka selesai bekerja pada hari tersebut. Kata Encik Ahmad: "Sekiranya saya meminta rakan saya (untuk ambil alih saya), beliau sanggup membantu. Tetapi saya harus berfikir, beliau juga bekerja, pun rasa letih. Bagaimana?"

Sebilangan pekerja yakin majikan mereka mampu memberi mereka satu hari rehat dalam sebulan, secara bergilir supaya pekerja lain boleh mengambil alih tugas pada hari itu.

Namun HOME dalam laporannya menekankan bahawa aturan itu adalah "tolak ansur tidak wajar". Sebaliknya, pihak berkepentingan perlu membenarkan pekerja satu hari rehat seminggu “sesuai dengan undang-undang buruh tempatan dan piawai diiktiraf antarabangsa”.

RAWATAN KESIHATAN DISUBSIDI UNTUK KEBANYAKAN PEKERJA

Faedah kesihatan untuk pekerja juga berbeza-beza.

Beberapa syarikat menanggung penuh bil perubatan pekerja mereka, tetapi sebilangan pekerja seperti Encik Ahmad dan Encik Sabbir berkata mereka harus membayar harga ubat kerana syarikat mereka hanya membuntuk eri subsidi kos berjumpa doktor.

Sekiranya mereka jatuh sakit, mereka boleh mendapatkan sijil cuti sakit untuk berehat, tetapi hanya untuk penyakit yang lebih serius seperti demam dan bukan untuk penyakit "ringan" seperti batuk atau selesema, kata Encik Ahmad.

Pun begitu, kebanyakan pekerja berkata majikan mereka akan menggalak mereka berjumpa doktor jika tidak sedap badan.

"Sekiranya (saya) sakit, saya akan berjumpa doktor," kata Encik Bikash, 37. "Sekiranya saya sakit dan masih bekerja, saya akan hadapi lebih banyak masalah."

"Kami memberitahu mereka jika mereka sakit, sila ambil cuti," kata seorang kakitangan pentadbiran Theng Liang Lee Services yang menggajikan 121 pekerja pembersihan.

"Kami tidak mahu kemalangan terjadi kerana jika terjadi, kami akan menghadapi masalah." 


Muat turun aplikasi BERITAmediacorp bagi iOS atau Android dan langgani saluran Telegram kami bagi perkembangan terkini COVID-19: https://t.me/BERITAmediacorp

Sumber : Today/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan