Images
  • nus ntu

COVID-19: Universiti, IHL lain tidak ikut langkah NUS uji penuntut secara kerap

SINGAPURA: Sedang Universiti Nasional Singapura (NUS) merancang untuk menjalankan ujian swab ke atas siswanya mulai minggu depan apabila penggal baru bermula, universiti-universiti lain tidak akan berbuat demikian.

Sebagai menjawab bagi pihak universiti-universiti lain, Kementerian Pendidikan (MOE) menyatakan pada Rabu (5 Ogos) bahawa institut pengajian tinggi (IHL), termasuk universiti, akan mewajibkan ujian berkala COVID-19 ke atas kakitangan yang bekerja di sekitaran yang berisiko lebih tinggi tanpa pelitup.

Mediacorp dimaklumkan bahawa universiti-universiti itu tidak bercadang untuk melaksanakan ujian bagi pelajar, ataupun ada rancangan untuk mewajibkan rejim sedemikian ke atas penuntutnya.

Syarat MOE itu sejajar dengan langkah-langkah yang dilancarkan Pemerintah pada Jun bagi rejim Ujian Pantas dan Mudah (FET) untuk pekerja sedemikian.

MOE menyatakan demikian sebagai menjawab pertanyaan Mediacorp kepada Universiti Teknologi Nanyang (NTU), Universiti Pengurusan Singapura (SMU), Universiti Sains Sosial Singapura (SUSS), Institut Teknologi Singapura (SIT) dan Universiti Teknologi dan Reka Bentuk Singapura (SUTD).

UJIAN RINTIS NUS

NUS mendedahkan pada Rabu, bahawa sebagai sebahagian daripada usaha rintis baru, semua siswa dan kakitangannya akan dikehendaki menjalani ujian COVID-19) sendiri secara berkala mulai Selasa depan.

Dalam surat pekeliling yang dilihat oleh Mediacorp, universiti itu menyatakan bahawa FET berkala akan dijalankan dengan menggunakan alat ujian DIY Ujian Antigen Pantas (ART).

"Pelaksanaan ujian rintis ini adalah langkah pencegahan tambahan untuk melindungi kesihatan pelajar dan kakitangan kami. Ini akan membolehkan pengesanan pantas dan pencegahan penularan virus yang lebih baik, sekiranya berlaku kes COVID-19 yang disahkan,” jelas Dr Peck Thian Guan, pengarah kanan pejabat keselamatan, kesihatan dan sekitaran NUS dalam surat pekeliling itu.

UJIAN BAGI SEMUA KAKITANGAN SEKOLAH, IHL

Di semua sekolah dan IHL, kakitangan yang bekerja dalam sekitaran dengan individu yang tidak memakai pelitup, wajib menjalani FET setiap dua minggu, kata MOE.

MOE menambah sekolah-sekolah, politeknik dan Institut Pendidikan Teknikal (ITE) telah melaksanakan FET bagi kakitangan mereka sejak pertengahan Julai, sementara universiti autonomi akan melakukannya apabila penggal disambung semula dalam dua bulan akan datang.

Ini merangkumi guru yang mengajar pendidikan jasmani, jurulatih yang mengajar kegiatan yang berkaitan dengan sukan dalam suasana yang tidak berpelitup dan guru yang mengajar mata pelajaran muzik dan drama yang mungkin bertemu dengan pelajar dalam suasana yang tidak memakai pelitup.

Jurulatih bagi sukan fizikal dan kegiatan kokurikulum seni persembahan yang dijalankan dalam keadaan tidak memakai pelitup juga akan dikenakan syarat yang sama.

Kakitangan pembersihan yang beroperasi di kawasan seperti kantin dan kemudahan sukan di mana kegiatan tanpa pelitup dijalankan serta kakitangan yang bekerja di tempat makanan dan minuman seperti kantin juga perlu menjalani rejim FET.

- TODAY/TQ/tq

Top