Images
  • oyk1
    (Gambar: Mediacorp)

COVID-19: Tiada rancangan tutup sekolah buat masa ini, fokus pada piawai kebersihan, kata Ong Ye Kung

SINGAPURA: Sekolah akan terus dibuka buat masa ini, kata Menteri Pendidikan Ong Ye Kung hari ini (14 Feb), sebagai menjawab gesaan ibu bapa bagi sekolah ditutup di tengah-tengah penularan virus COVID-19.

"Ibu bapa yang memberi cadangan itu, saya rasa, mereka cuba melindungi anak-anak mereka. Dan kita berkongsi keprihatinan mereka; keselamatan dan kesejahteraan anak-anak memang keutamaan kami," kata Encik Ong ketika bercakap kepada wartawan di Sekolah Rendah First Toa Payoh (FTPPS).

"Tetapi atas sebab yang sama, anda harus sedar, ini keputusan yang sukar dengan banyak baik dan buruknya."

Encik Ong menarik perhatian bahawa ramai ibu bapa "berasa selamat" jika anak-anak mereka berada di rumah.

"Namun, terdapat kesan buruk yang ketara," tambah beliau.

Misalnya, jangkitan boleh dan memang dapat berlaku di rumah, kata Encik Ong. Jika sekolah ditutup, para pelajar lebih tua akan bergaul antara satu sama lain, dan jangkitan masih boleh berlaku.

Namun, di sekolah, para pelajar sering kali diingatkan untuk mencuci tangan, elak daripada menyentuh wajah mereka dan jangan datang ke sekolah jika mereka kurang sihat.

"Jadi, hari ini di sekolah... ia mempunyai persekitaran yang lebih tersusun dan bersih. Ini sebabnya kita katakan kita sedang melakukan yang terbaik untuk menekankan kepada kesemua 33,000 tenaga pengajar untuk menjadikan sekolah sebagai salah satu tempat paling selamat memerangi virus itu," kata Encik Ong.

Beliau juga menarik perhatian dengan menutup sekolah akan menyebabkan "gangguan besar" kepada ramai ibu bapa dan pelajar.

"Pada awalnya, kita mungkin rasa selamat tetapi jika sekolah terus ditutup, kehidupan seharian akan terjejas," katanya.

"Ibu bapa akan berada dalam keadaan kelam kabut, "bagaimana harus saya menjaga anak saya semasa saya di tempat kerja?" Dan aturan jagaan alternatif mungkin tidak lebih selamat berbanding di sekolah."

Tambah Encik Ong lagi, sekolah ditutup semasa tempoh wabak SARS supaya langkah berjaga-jaga dapat dilaksanakan sebelum para pelajar dibenar masuk ke dalam premis.

"Kesemua sistem itu sudah pun dilaksanakan sekarang ini. Oleh demikian kita tidak perlu tutup sekolah.

"Setakat ini, saya rasa sekolah perlu terus dibuka, tetapi langkah-langkah tambahan perlu diambil, seperti yang sudah pun dilaksanakan."

Menurutnya lagi: "Jika berlaku penularan virus secara meluas, sama anda tutup (sekolah), atau anda buka (sekolah), saya rasa anda tetap dijangkiti (di sekolah). Baik buruknya perlu dipertimbangkan dengan teliti.

"Saya rasa apa yang boleh kita lakukan adalah meningkatkan piawai kebersihan masing-masing, meningkatkan piawai kebersihan sekolah dan pastikan ia adalah salah satu tempat paling selamat di Singapura bagi para pelajar."

LAGU RAP BARU BAGI VIRUS COVID-19

Kementerian Pendidikan hari ini turut melancarkan lagu rap baru bagi penularan virus COVID-19 sebagai sebahagian daripada kempen Hari Pertahanan Mutlak.

Lagu itu menggesa para pelajar untuk mencuci tangan dan mengelap barangan milik mereka dan kawasan yang mereka sentuh.


Selain daripada lagu rap itu, Kementerian Pendidikan juga melancarkan lima maskot adiwira dipanggil Soaper 5, masing-masing membawa mesej berlainan.

Super Soaper Soffy, Hands Down Hana, Mask Up Mei Mei, Virus Screener Varun dan Wipe Up Wilson masing-masing dikaitkan dengan tabiat kebersihan peribadi iaitu mencuci tangan dengan sabun, elakkan daripada menyentuh wajah, memakai pelitup dan berjumpa dengan doktor jika berasa kurang sihat dan mengelap permukaan supaya ia bersih untuk pengguna seterusnya.

Pakej pelajaran Hari Pertahanan Mutlak, yang dilancarkan di semua sekolah rendah, sekolah menengah dan maktab rendah, juga akan mengenal pasti bagaimana virus COVID-19 menjejas masyarakat, mendidik para pelajar tentang peranan mereka dalam mengamalkan kebersihan diri dan memperkasa mereka untuk mengenal pasti keperluan masyarakat akibat virus COVID-19, menurut MOE.

Encik Ong menegaskan kerja-kerja membersihkan tempat-tempat awam seperti kantin dengan lebih kerap kini lebih penting lagi, dan dengan waktu rehat diadakan pada masa berbeza-beza, lebih banyak kerja pembersihan perlu dilakukan.

"Kami akan melancarkan tahap seterusnya, yang amat penting, iaitu kebersihan secara berkumpulan sebagai sebuah masyarakat, satu sistem. Oleh itu, kami memulakan rutin mengelap bagi membersihkan permukaan setelah anda selesai menggunakannya," kata Encik Ong.

Muat turun aplikasi BERITAmediacorp bagi iOS atau Google dan langgani saluran Telegram kami bagi perkembangan terkini virus korona COVID-19: https://t.me/BERITAmediacorp 

- CNA/HA/ha

Top