Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

COVID-19: Semua hospital diminta tangguh pembedahan, kemasukan tidak mendesak bagi jimat sumber

Beberapa hospital mula mengerahkan doktor, jururawat dan karyawan kesihatan bersekutu ke Hospital Tan Tock Seng (TTSH) pada Isnin (3 Mei) untuk membantu hospital itu dalam merawat pesakitnya yang sedia ada. 

Anggaran Waktu Membaca:
COVID-19: Semua hospital diminta tangguh pembedahan, kemasukan tidak mendesak bagi jimat sumber

Katil-katil hospital di luar jabatan A&E Hospital Tan Tock Seng pada 20 Apr 2021. (Gambar: Calvin Oh)

Diterbitkan : 03 May 2021 09:08PM Dikemas Kini : 03 May 2021 09:10PM

SINGAPURA: Beberapa hospital mula mengerahkan doktor, jururawat dan karyawan kesihatan bersekutu ke Hospital Tan Tock Seng (TTSH) pada Isnin (3 Mei) untuk membantu hospital itu dalam merawat pesakitnya yang sedia ada.

Ini adalah salah satu langkah yang diambil masyarakat jagaan kesihatan untuk menguruskan kapasiti serta mengimbangi beban bagi semua hospital di Singapura, menurut Kementerian Kesihatan (MOH) dalam satu kenyataan.

Kenyataan itu dikeluarkan berikutan laporan mengenai kelonjakan dalam jumlah kes dan masa menunggu di Hospital Besar Singapura (SGH) serta Hospital Besar Sengkang (SKH) kerana pesakit disalurkan dari TTSH, yang telah menutup empat wadnya untuk membendung kelompok COVID-19.

Dengan lapan kes baru dicatatkan pada Isnin, kini terdapat 35 kes yang berhubung kait dengan kelompok TTSH.

TTSH sendiri sudah melaksanakan langkah-langkah lanjut untuk mengurangkan risiko penularan serta membebaskan lebih banyak tenaga manusia untuk menjaga pesakit sedia ada, tambah MOH.

Mulai Selasa, TTSH secara bertahap-tahap berhenti menerima masuk kes pesakit yang baru sehingga makluman lanjut.

Sementara itu, semua kes kendalian ambulans Pasukan Pertahanan Awam Singapura (SCDF) akan dihantar ke hospital-hospital awam dan swasta lain bagi tujuan mengimbangi beban.

Bagi pesakit yang memerlukan khidmat Klinik Spesialis Pesakit Luar (SOC), TTSH akan menangguhkan janji temu bagi kes yang stabil dan memulakan telekonsultasi serta penghantaran ubat jika sesuai, menurut MOH.

Bagi pesakit SOC yang memerlukan jagaan lanjut, TTSH akan mengaturkan supaya kes mereka dikendalikan oleh kakitangan yang tidak berkaitan dengan kelompok TTSH.

“Langkah-langkah ini membolehkan TTSH dan Pusat Nasional Bagi Penyakit Berjangkit (NCID) memberikan tumpuannya untuk menyediakan jagaan sewajarnya bagi pesakit sedia ada di wad selain menangani kes kelompok COVID-19 di hospital itu," jelas MOH.

Kementerian itu menambah ia sedang bekerja rapat dengan semua hospital awam dan swasta untuk memastikan pesakit yang memerlukan jagaan akan terus diberi perhatian.

Masyarakat jagaan kesihatan juga bekerjasama untuk mengetepikan lebih banyak katil sebagai persediakan bagi menguruskan sebarang kenaikan dalam kes COVID-19.

"Untuk menjimatkan sumber di seluruh sektor jagaan kesihatan, MOH meminta semua hospital supaya menangguhkan pembedahan dan kemasukan serta janji temu SOC yang tidak mendesak sehingga makluman lanjut. Hospital-hospital akan menghubungi pesakit terjejas mengenai penangguhan ini."

Jika sesuai, tambah MOH, ia menggalak pasukan jagaan kesihatan hospital supaya bekerja rapat dengan pesakit dalam mengaturkan telekonsultasi serta aturan jagaan alternatif sehingga situasi kembali stabil.

MOH juga menggesa orang ramai supaya tidak datang ke jabatan kecemasan kecuali bagi keadaan kecemasan atau yang mengancam nyawa. Ini termasuk sakit dada yang berterusan, sesak nafas, rasa lemah dan kebas yang datang secara tiba-tiba, cedera parah dan pelbagai trauma. Mereka harus menjangkakan masa menunggu lebih lama sedang hospital-hospital lain membantu untuk menyokong TTSH.

MOH menekankan lagi bahawa hospital tidak akan menolak sebarang pesakit daripada mendapatkan jagaan perubatan.

Bagaimanapun, sebagai langkah berjaga-jaga, hospital-hospital mungkin mengenakan kriteria saringan lebih ketat bagi pelawat termasuk meminta pelawat atau individu yang menemani pesakit, yang pernah ke wad di TTSH dari 18 Apr, untuk menangguhkan lawatan mereka. 

Sumber : Today/FZ/fz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan