Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

COVID-19: Sekatan masuk di 4 pasar popular dilonggarkan pada hari biasa

Mulai Khamis (13 Ogos), mereka yang ingin ke pasar basah popular di Geylang, Yishun, Marsiling dan Jurong pada hari-hari biasa tidak lagi perlu mengikut peraturan berdasarkan nombor terakhir nombor kad pengenalan mereka.

Anggaran Waktu Membaca:
COVID-19: Sekatan masuk di 4 pasar popular dilonggarkan pada hari biasa

Pasar Geylang Serai yang lengang setelah langkah diperketat dilaksanakan pada April 2020 (Gambar: Ili Nadhirah Mansor/TODAY)

Diterbitkan : 11 Aug 2020 10:26PM Dikemas Kini : 11 Aug 2020 10:33PM

SINGAPURA: Mulai Khamis (13 Ogos), mereka yang ingin ke pasar basah popular di Geylang, Yishun, Marsiling dan Jurong pada hari-hari biasa tidak lagi perlu mengikut peraturan berdasarkan nombor terakhir nombor kad pengenalan mereka.

Ia sebahagian daripada pelonggaran langkah-langkah sekatan COVID-19.

Dengan kegiatan disambung semula secara beransur-ansur semasa Fasa 2 pasca "pemutus jangkitan", sekatan bagi memasuki empat pasar popular itu berdasarkan nombor kad pengenalan akan ditarik balik, menurut Agensi Sekitaran Kebangsaan (NEA) dalam satu kenyataan media pada Selasa.

Empat pasar tersebut adalah: Pasar Geylang Serai, Pasar Chong Pang di Blok 104/105 Yishun Ring Road, Blok 20/21 Marsiling Lane dan Blok 505 Jurong West Street 52.

"NEA telah memantau rapi keadaan di empat pasar popular itu sepanjang tiga bulan lalu," menurut agensi itu. "Kami mendapati sekatan masuk hari selang seli amat berkesan dalam mengurangkan dengan ketara pelanggan yang beratur di luar keempat-empat pasar."

Walaupun keadaan berbeza-beza di keempat-empat pasar, secara umumnya hanya sedikit atau tiada orang yang beratur untuk masuk pasar pada hari biasa, jelas agensi itu.

Namun, masih terdapat jumlah besar pelanggan yang beratur panjang pada hujung minggu tertentu di luar beberapa pasar itu, pada umumnya "sekitar 20 hingga 40 peratus lebih ramai" pada hujung minggu berbanding hari biasa, kata NEA.

Oleh kerana jumlah yang beratur "dapat ditangani" pada hari biasa, agensi itu menyatakan pihaknya akan menarik balik sekatan masuk mengikut hari ganjil/genap untuk keempat-empat pasar pada hari biasa mulai Khamis.

Bagaimanapun, langkah jarak selamat masih dilaksanakan dan sekatan masuk berdasarkan kad pengenalan akan tetap dikuat kuasa pada hujung minggu.

"Dengan menarik balik sekatan kemasukan tarikh ganjil/genap pada hari biasa, kami berharap lebih banyak pelanggan akan mengunjungi pasar-pasar popular ini pada hari-hari biasa dan bukan pada hujung minggu."

NEA menggesa orang ramai supaya pergi ke pasar pada hari-hari biasa seberapa mungkin, atau pada waktu tidak sibuk antara 10.00 pagi hingga 12.00 tengah hari pada hujung minggu untuk mengurangkan kesesakan dan memastikan pelaksanaan jarak selamat yang berkesan.


Muat turun aplikasi BERITAmediacorp bagi iOS atau Android dan langgani saluran Telegram kami bagi perkembangan terkini COVID-19: https://t.me/BERITAmediacorp

Sumber : CNA/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan