Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

COVID-19: S'pura catat jumlah rekod 120 kes baru; sebilangan besar terkait asrama pekerja asing

Sebanyak 120 kes baru COVID-19 dicatatkan hari ini (5 Apr), kenaikan harian tertinggi sejak penularan virus korona itu bermula di sini pada Januari, menjadikan jumlah kes terkumpul kepada 1,309.

Anggaran Waktu Membaca:
Diterbitkan : 05 Apr 2020 08:19PM Dikemas Kini : 05 Apr 2020 08:48PM

SINGAPURA: Sebanyak 120 kes baru COVID-19 dicatatkan hari ini (5 Apr), kenaikan harian tertinggi sejak penularan virus korona itu bermula di sini pada Januari, menjadikan jumlah kes terkumpul kepada 1,309.

Empat daripadanya adalah kes diimport dan 116 kes tempatan.

"Sejumlah besar" kes baru itu terkait kelompok melibatkan dua asrama pekerja asing iaitu S11 Dormitory @ Punggol dan Westlite di Toh Guan, menurut pasukan bertindak berbilang kementerian COVID-19 dalam sidang media.

S11 Dormitory @ Punggol mempunyai 22 kes baru dan Westlite Toh Guan mempunyai 10 kes baru.

2 ASRAMA DIWARTAKAN SEBAGAI KAWASAN PENGASINGAN

Memandangkan jumlah kes jangkitan yang besar itu, Kementerian Kesihatan mewartakan kedua-dua asrama itu sebagai kawasan pengasingan.

Seramai 19,800 pekerja di dua asrama itu diletakkan di bawah perintah kuarantin di dalam bilik mereka selama 14 hari akan datang.

Makanan akan disediakan untuk pekerja tersebut selain bekalan jagaan kesihatan seperti pelitup, termometer dan cecair basmi kuman, menurut pasukan bertindak itu.

Beberapa langkah jarak selamat tambahan akan juga dilaksanakan di asrama pekerja asing yang lain untuk mengurangkan interaksi pekerja. Ini termasuk waktu makan berlainan dan mengurangkan pergaulan antara pekerja.

Namun, Menteri Pembangunan Negara Lawrence Wong menjelaskan ini tidak semestinya bermakna pekerja asing lebih berisiko tinggi dijangkiti COVID-19.

"Ia bukan soal menyasarkan satu kumpulan tertentu, mereka bukan golongan berisiko tinggi," kata Encik Wong.

"Isunya sekarang adalah asrama pekerja asing kini muncul sebagai kelompok jangkitan, sebuah pembawa jangkitan, meskipun langkah berjaga-jaga telah diambil."

S'PORE EXPO DISEDIAKAN SEBAGAI KEMUDAHAN JAGAAN MASYARAKAT

Sementara itu, pihak berkuasa sedang menyediakan Singapore Expo sebagai kemudahan jagaan masyarakat, menurut Menteri Kesihatan Gan Kim Yong.

"Singapore Expo sedang disiapkan sebagai kemudahan jagaan masyarakat seterusnya," katanya.

Kemudahan itu bertujuan menampung para pesakit yang telah pulih tetapi mungkin masih berjangkit, tambah beliau.

Pada Jumaat (3 Apr), Perdana Menteri Lee Hsien Loong mengumumkan langkah jarak selamat yang dipertingkat bagi "memutuskan rantaian jangkitan COVID-19" dalam usaha membendung penularan COVID-19.

Di bawah langkah-langkah dipertingkat yang berkuat kuasa minggu depan, sekolah dan tempat kerja - kecuali yang menawarkan khidmat penting - akan ditutup selama hampir sebulan hingga 4 Mei. Syarikat-syarikat makanan akan terus beroperasi hanya bagi makanan dibungkus pulang atau khidmat penghantaran.

Muat turun aplikasi BERITAmediacorp bagi iOS atau Google dan langgani saluran Telegram kami bagi perkembangan terkini virus korona COVID-19: https://t.me/BERITAmediacorp 

Sumber : CNA/HA/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan