Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

COVID-19: S$15 juta diperuntuk bantu pekerja lapangan terbang Changi sesuaikan diri kepada langkah keselamatan dipertingkat

Penguasa Penerbangan Awam Singapura (CAAS) dan Changi Airport Group (CAG) akan memperuntukkan S$15 juta bagi membantu pekerja lapangan terbang menyesuaikan diri kepada langkah-langkah keselamatan dipertingkat setelah lebih 100 kes COVID-19 dikaitkan dengan lapangan terbang itu pada bulan lalu.

Anggaran Waktu Membaca:
COVID-19: S$15 juta diperuntuk bantu pekerja lapangan terbang Changi sesuaikan diri kepada langkah keselamatan dipertingkat

Pemandangan di Lapangan Terbang Changi. (Gambar: REUTERS/Edgar Su)

Diterbitkan : 11 Jun 2021 08:38PM Dikemas Kini : 11 Jun 2021 08:49PM

SINGAPURA: Penguasa Penerbangan Awam Singapura (CAAS) dan Changi Airport Group (CAG) akan memperuntukkan S$15 juta bagi membantu pekerja lapangan terbang menyesuaikan diri kepada langkah-langkah keselamatan dipertingkat setelah lebih 100 kes COVID-19 dikaitkan dengan lapangan terbang itu pada bulan lalu.

Sekitar 5,000 kakitangan akan meraih manfaat daripada peruntukan dana S$15 juta itu, yang akan digunakan untuk menyediakan elaun khas setiap bulan dan bekalan makanan kepada pekerja selama enam bulan. Ia juga akan digunakan bagi membantu menampung kos peralatan perlindungan peribadi, menurut kedua-dua agensi itu.

Pada bulan lalu, Lapangan Terbang Changi menjadi kelompok jangkitan aktif COVID-19 terbesar di Singapura, dengan lebih 100 kes. Menurut CAAS dan CAG ketika itu siasatan awal menunjukkan bahawa penularan awal mungkin berlaku menerusi seorang pekerja lapangan terbang yang "menghulurkan bantuan kepada sebuah keluarga dari Asia Selatan".

Tidak lama kemudian, terminal penumpang Lapangan Terbang Changi serta kompleks hiburan dan runcit Jewel ditutup kepada awam manakala ujian tambahan COVID-19 diperkenalkan bagi pelawat yang tiba dari negara-negara dan wilayah yang dianggap "sangat berisiko tinggi".

Dalam satu kenyataan media pada Jumaat (11 Jun), CAAS dan CAG menyatakan tiada kes baru COVID-19 melibatkan pekerja lapangan terbang dilaporkan sejak 20 Mei.

"Dalam kalangan 43 pekerja lapangan terbang yang diuji positif, 42 sudah dibenarkan pulang dari hospital manakala seorang lagi sedang beransur pulih di wad biasa tanpa memerlukan bantuan pernafasan oksigen," menurut CAAS dan CAG.

Mereka menambah bahawa pihaknya juga bekerja rapat dengan Kementerian Kesihatan dan masyarakat lapangan terbang untuk "menyemak dan mengukuhkan pertahanan lapangan terbang Changi terhadap varian virus COVID-19 yang mudah merebak".

Langkah keselamatan dipertingkat bagi melindungi pekerja di lapangan terbang, pelawat dan orang awam, menurut CAAS dan CAG.

"Aturan kerja diperketat dengan pembahagian pekerja mengikut sistem zon bagi mengurangkan risiko jangkitan antara kumpulan berlainan," menurut kedua-dua badan itu lagi.

Sumber : CNA/HA/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan