Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

COVID-19: Pesakit barah rawatan aktif sambut baik tawaran vaksin

Institut Barah Universiti Nasional Singapura (NCIS) menyatakan ia mahu memberikan vaksinasi COVID-19 kepada sekurang-kurangnya 5,000 pesakitnya.

Anggaran Waktu Membaca:

BERITAmediacorp: Institut Barah Universiti Nasional Singapura (NCIS) menyatakan ia mahu memberikan vaksinasi COVID-19 kepada sekurang-kurangnya 5,000 pesakitnya.

Ini menyusuli pengumuman pemerintah kelmarin untuk turut membenarkan pesakit barah mendapat suntikan tersebut.

Namun tiada jalan pintas untuk sebahagian pesakit barah mendapatkan vaksinasi.

SEMANGAT KUAT UNTUK TERUS HIDUP

Antara pesakit barah yang kini aktif menjalani rawatan ialah Cik Satimah Suratman, 50 tahun.

Suri rumah sepenuh masa itu disahkan menghidap barah payu dara pada 2015.

Keadaan ibu kepada tiga orang anak itu menjadi bertambah baik selepas menjalani rawatan kemoterapi dan radiasi.

(Gambar ihsan: Satimah Suratman)

Namun, barah itu muncul semula dua tahun lalu, dan kini di tahap empat.

Beliau terpaksa menjalani rawatan imunoterapi selepas barah itu merebak ke bahagian tulang sehingga menjejas pergerakannya.

Beliau ini terpaksa berkerusi roda.

Yang pasti Cik Satimah enggan terkena pula virus COVID-19 dan segera membuat tempahan bagi mendapatkan vaksin.

"Pesakit barah seperti saya ini mempunyai kadar imuniti yang rendah yang membuat saya senang terdedah dengan pelbagai penyakit. Pengambilan vaksin ini boleh mengurangkan risiko untuk saya terkena jangkitan koronavirus," kata Cik Satimah.

Beliau menempah slot bagi mendapatkan suntikan vaksin pada 1 Jun, sehari selepas pemerintah membuat pengumuman.

Cik Satimah memberitahu BERITAmediacorp beliau berasa cukup gembira apabila mendapat tahu beliau layak mendapat suntikan

Janji temu untuk mendapatkan suntikan pertama beliau adalah pada 11 Jun nanti di NCIS.

'CEMBURU' KELUARGA SEMUA SUDAH DIVAKSIN

Namun tidak semua pesakit barah boleh segera mendapatkan suntikan vaksin.

Encik Samad Siam berkata beliau sebenarnya sangat mahukan vaksin COVID-19, tapi terpaksa menunggu sehinggalah mendapat pengesahan doktor.

"Saya rasa cemburu orang rumah saya dapat suntikan, cucu dapat suntikan, saya pula tidak dapat. Jadi jika boleh, hendak jugalah macam orang lain dapat juga," kata Encik Samad.

Warga berusia 73 tahun itu menghidap 'Myeloma' iaitu sejenis barah darah sejak 2013 dan penyakitnya bertambah buruk selepas barahnya berulang pada Julai 2020.

Kami difahamkan penyakitnya kali ini telah menyebabkan jangkitan kepada jantung dan otak.

"Tarikh pemeriksaan selanjutnya adalah sekitar bulan depan (Julai). Insya Allah doktor sudah memberitahu kami. Tetapi kami akan dapat tahu bila beliau boleh menerima suntikannya apabila keadaannya bertambah baik dan ujian darahnya seimbang. Suntikan akan diberikan di hospital," kata Cik Hamidah Mohamed, isteri kepada Encik Samad.

Cik Hamidah yang berusia 70 tahun pernah bertugas sebagai sebagai seorang jururawat selama 43 tahun sebelum bersara pada 2013.

Kini, beliau merupakan penjaga utama suaminya dan menemani suaminya ke semua pemeriksaan kesihatan dan janji temu di hospital dan klinik.

Pasangan yang mempunyai enam orang cucu itu tinggal berdua sahaja selepas dua anak perempuan mereka mendirikan rumahtangga.

Harapan mereka apabila keadaan dunia kembali pulih agar dapat bersama-sama menunaikan ibadah umrah.

PERLU DAPATKAN NASIHAT DOKTOR

Jadi, pesakit barah bagaimana yang tidak boleh diberikan suntikan vaksin COVID-19 sebenarnya?

BERITAmediacorp mendapatkan penjelasan seorang pakar dari NCIS, iaitu Perunding Kanan dari Jabatan Hematologi-Onkologi, Dr Chee Cheng Ean.

(Gambar ihsan: NCIS)

Dr Chee. (Gambar ihsan: NCIS)

"Pesakit barah yang tidak boleh mendapatkan vaksin COVID-19 sekarang adalah mereka yang sudah menjalani pemindahan dalam tempoh tiga bulan yang lepas, dan juga pesakit yang mempunyai alahan yang teruk. Pesakit ini digalakkan untuk berbincang dengan doktor mereka untuk memastikan sama ada mereka sesuai untuk menerima vaksin COVID-19," kata Dr Chee.

Menurutnya lagi, kesan sampingan akibat vaksinasi bagi golongan ini juga tidak berbeza dari pesakit lain.

"Kesan sampingannya agak ringan. Kemungkinan boleh mengalami demam ringan, sakit otot, tempat menerima vaksin boleh sakit sedikit juga, dan ada kalanya boleh dapat sakit kepala," tambah Dr Chee.

Di Fullerton Health pula, respons yang diterima juga juga amat menggalakkan.

(Gambar ihsan: Fullerton Hotel Singapore)

Dr Faizal. (Gambar ihsan: Fullerton Health Singapore)

Pengarah Perubatan, Divisyen Penjagaan Utama, Fullerton Health Singapore, Dr Faizal Kassim berkata ramai yang tanya tentang vaksin-vaksin yang ada.

"Mereka ingin tahu segala aspek tentang vaksin yang ada dan satu petanda yang baik, dan menggalakkan. Ini menunjukkan yang mereka ini dan masyarakat Melayu kita memang prihatin dan mereka mahu mendapatkan perlindungan melalui vaksinasi dalam pandemik sekarang ini."

Bagaimana pula bagi barah di tahap yang berbeza-beza?

"Tiada kena mengena sama ada ia barah tahap awal atau akhir. Cuma kalau kita tengok lebih lanjut tahapnya, lebih banyak risiko bagi mereka yang dijangkiti COVID-19. Jadi itu sebabnya vaksinasi adalah untuk orang seperti ini. Cuma kalau mereka sedang jalani terapi, tubuh mereka akan menjadi lemah, terapi juga menjadikannya lebih lemah. Jadi itu sebabnya vaksin tidak sesuai," jelas Dr Faizal

Yang jelas, Cik Satimah dan Encik Samad berharap mereka sama-sama dapat menentang kedua-dua penyakit barah dan COVID-19. 

Sumber : BERITA Mediacorp/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan