Images
  • MOE Collab Main Pic

COVID-19: MOE perketat langkah pengurusan selamat di sekolah

SINGAPURA: Baki Pertandingan Sukan Sekolah Kebangsaan (NSG) yang berlangsung sekarang dan kegiatan luar seperti Kegiatan Ko-Kurikular (CCA) di luar sekolah akan digantung sedang Kementerian Pendidikan mempertingkat langkah pengurusan selamat sedia ada di tengah-tengah meningkatnya kes COVID-19.

Singapura mengumumkan langkah lebih ketat bagi mengurangkan interaksi dalam kalangan masyarakat bermula 8 Mei hingga 30 Mei.

Langkah pengurusan selamat akan dipertingkat di tadika MOE, sekolah rendah dan menengah, sekolah pendidikan khas, maktab rendah, Institut Millenia dan institut pengajian tinggi.

"Langkah terbaru ini bertujuan mengurangkan pergaulan antara pelajar dari sekolah-sekolah berbeza dan kegiatan luar, sambil memastikan pembelajaran dan pengajaran dapat diteruskan, kata MOE dalam kenyataannya pada Selasa (4 Mei).

Langkah-langkah itu termasuk susunan tempat duduk secara tetap dalam bilik darjah dan mengurangkan saiz kumpulan bagi semua kegiatan daripada lapan ke lima orang.

Bilangan pelajar dalam kelas dan saiz kuliah dihadkan kepada tidak lebih 50 orang manakala kelas lebih besar harus dijalankan secara online, tambah MOE.

Kegiatan-kegiatan yang dijalankan di ruang awam juga digantung.

PEPERIKSAAN DITERUSKAN

MOE menyatakan aturan penjagaan selepas sekolah dan kegiatan berasaskan CCA akan diteruskan tetapi dengan syarat lebih ketat.

"Kedua-dua penilaian pertengahan tahun di sekolah dan peperiksaan Bahasa Ibunda tengah tahun bagi GCE Peringkat 'O' dan 'A' akan diteruskan," kata MOE sambil menambah kegiatan luar akan digantung.

Baki pertandingan Sukan Sekolah Kebangsaan (NSG) yang sedang berlangsung juga akan digantung. Ini bagi mengurangkan pergaulan antara pelajar dari sekolah-sekolah dan institusi berbeza, tambah MOE.

Permohonan bagi Pengambilan Masuk ke Sekolah Secara Langsung (DSA) 2021, yang dibuka mulai 5 Mei dan proses pemilihan akan dijalankan secara elektronik.

"Pemilihan bagi Latihan Kemasukan Awal ITE dan politeknik juga dijalankan secara elektronik, bermakna temu duga secara online atau penyerahan portfolio melalui e-mel,"jelas MOE.

Institut pengajian tinggi juga akan mengetatkan langkah-langkah pengurusan selamat semasa tempoh yang sama.

Program penempatan dan latihan serta program kerja sambil belajar akan diteruskan dengan para pelajar mematuhi langkah-langkah pengurusan selamat yang dilaksanakan.

Upacara tamat pengajian politeknik akan dialihkan secara online mulai 8 Mei.

Kementerian Pendidikan juga menggesa institusi pendidikan swasta yang menawarkan kursus pra-pengajian tinggi dan pengajian tinggi, serta kelas tuisyen dan pengayaan swasta supaya mengikuti langkah-langkah ketat.

Sejajar dengan pelancaran program negara bagi penggunaan TraceTogether, pendaftaran SafeEntry menggunakan TraceTogether sahaja akan dilaksanakan di sekolah dan institusi mulai 17 Mei.

MOE mengingatkan para pelajar agar membawa token atau aplikasi TraceTogether mereka sepanjang hari di sekolah bagi memudahkan penjejakan kontak yang tepat, seandainya timbul keperluan itu.

LAPORAN BERKAITAN:

- CNA/SU/tq

Top