Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

COVID-19: Mereka yang langgar arahan duduk di rumah akan didakwa di mahkamah

Mereka yang melanggar arahan duduk di rumah yang dikeluarkan bagi mengekang pandemik COVID-19 akan didakwa di mahkamah, kata Menteri Undang-Undang merangkap Ehwal Dalam Negeri K Shanmugam di Parlimen pada Rabu (25 Mac).

Anggaran Waktu Membaca:
Diterbitkan : 25 Mar 2020 07:07PM Dikemas Kini : 25 Mar 2020 09:04PM

SINGAPURA: Mereka yang melanggar arahan duduk di rumah yang dikeluarkan bagi mengekang pandemik COVID-19 akan didakwa di mahkamah, kata Menteri Undang-Undang merangkap Ehwal Dalam Negeri K Shanmugam di Parlimen pada Rabu (25 Mac).

"Saya telah berikan arahan yang jelas," katanya. "Apabila kes-kes ini (pelanggaran) disahkan benar, kami akan mendakwa mereka di mahkamah."

Komen Encik Shanmugam itu adalah petunjuk terkini bahawa pihak berkuasa bersedia mengambil tindakan tegas terhadap mereka yang tidak mematuhi arahan tersebut, yang diberikan kepada semua pelawat yang memasuki Singapura sejak 22 Mac.

Mereka mesti tetap berada di rumah sepanjang waktu selama 14 hari sebagai langkah berjaga-jaga bagi mengurangkan risiko jangkitan COVID-19 di Singapura.

Namun, Encik Shanmugam berkata beliau telah melihat laporan baru-baru ini tentang para pengunjung yang pulang ke Singapura, khususnya dari Britain, keluar makan, mengadakan sambutan ulang tahun di rumah, bergaul dengan teman-teman dan mengunjungi kelab-kelab hiburan dan bar.

"Ramai rakyat Singapura berasa marah apabila mereka mendengar hal ini," katanya.

Satu lagi kes, kata Encik Shanmugam, melibatkan seorang rakyat Singapura yang baru pulang dari Myanmar dan keluar untuk makan bak kut teh meskipun diberikan arahan duduk di rumah. Lelaki itu membuat kiriman di Facebook tentang kegiatannya itu.

"Saya telah minta kes itu disiasat," kata Encik Shanmugam.

"Kami sedang cuba mengenal pasti beberapa mesej bahawa arahan duduk di rumah ini dilanggar. Dan jika sesiapa, orang awam, mempunyai maklumat mengenai kelakuan sedemikian, sila berikan kepada polis. Kami akan melakukan siasatan dan kami tidak boleh membenarkan kelakuan sedemikian berlaku."

Penguasa Imigresen dan Pusat Pemeriksaan (ICA) telah mengeluarkan lebih daripada 21,000 arahan duduk di rumah sejauh ini, dan ia dikuatkuasakan menerusi cara seperti kiriman teks, panggilan telefon dan lawatan mengejut.

Mereka yang gagal mematuhi arahan itu boleh didakwa di bawah Seksyen 21A Akta Penyakit Berjangkit (IDA) dan boleh dikenakan denda hingga S$10,000, denda sehingga enam bulan atau kedua-duanya.

Hukuman lain termasuk membatalkan atau menyingkatkan tempoh sah status Penduduk Tetap, pas lawatan jangka panjang, pas tanggungan, pas pelajar atau pas kerja.

"MOH (Kementerian Kesihatan) akan menetapkan peraturan baru ini di bawah IDA," kata Encik Shanmugam.

Mereka yang membuat pengisytiharan palsu tentang sejarah perjalanan mereka untuk mengelakkan diri daripada dikenakan arahan duduk di rumah mungkin juga akan didakwa di bawah undang-undang, kata Enck Shanmugam lagi.

Ini termasuk Seksyen 182 Kanun Keseksaan dan Seksyen 57(1)(g) Akta Imigresen, yang membawa hukuman penjara dan/atau denda.

"Terdapat tanggungjawab lebih luas yang perlu diambil oleh kita semua dalam mengawal penularan COVID-19, dan tidak membahayakan orang lain dan mendedahkan mereka kepada jangkitan," katanya.

Beliau mendedahkan pihak berkuasa sedang cuba mengesahkan laporan seorang yang pergi bercuti ke Itali, mengalami gejala COVID-19 tetapi cuba menyembunyikan gejala itu dan sejarah perjalanannya untuk menaiki penerbangan pulang ke Singapura.

"Kemudian di Singapura, beliau dimasukkan ke hospital, didapati sangat sakit dan membawa virus itu," katanya.

"Jika ini benar, perbuatannya amat tidak bertanggungjawab. Jika kami tahu ada risiko tinggi beliau dijangkiti, tetapi berdiam diri dan terus menaiki penerbangan, justeru beliau melakukan demikian dengan kesedaran orang lain mungkin dijangkiti."

Encik Shanmugam berkata beliau faham rakyat Singapura mungkin berasa bimbang dan ingin pulang untuk bersama keluarga dan mendapatkan akses kepada jagaan kesihatan, tetapi ia tidak seharusnya mendedahkan orang lain kepada risiko yang membahayakan diri mereka.

"(Orang itu) sepatutnya mengisytiharkan gejalanya ketika mendaftar masuk," katanya. "Selepas itu, syarikat penerbangan itu boleh membuat keputusan sama ada untuk membenarkan orang itu untuk menaiki penerbangan dan jika demikian, apakah langkah berjaga-jaga yang akan diambil."

Selain itu, Encik Shanmugam berkata beliau menerima maklum balas daripada pekerja jagaan kesihatan bahawa sesetengah orang tidak jujur mengenai sejarah perjalanan mereka apabila berjumpa dengan doktor.

Bagi mengatasi hal ini, beliau merujuk kepada pengumuman ICA bahawa semua pengunjung yang memasuki Singapura mulai 27 Mac perlu mengisi borang pengisytiharan elektronik supaya pihak berkuasa boleh tahu jika mereka telah mengunjungi negara yang berisiko tinggi.

"Pemerintah telah melaksanakan peraturan ketat dan rangkaian penguatkuasaan yang kukuh," katanya.

"Namun, peraturan dan penguatkuasaan yang tegas sahaja tidak memadai jika orang ramai terus bertindak secara tidak bertanggungjawab. Semua rakyat Singapura perlu memainkan peranan masing-masing."

Muat turun aplikasi BERITAmediacorp bagi iOS atau Google dan langgani saluran Telegram kami bagi perkembangan terkini virus korona COVID-19: https://t.me/BERITAmediacorp 

Sumber : CNA/HA/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan