Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

COVID-19: Lelaki didenda S$2,500 gara-gara hadiri barbeku di pantai East Coast

Seorang lelaki dikenakan denda S$2,500 di mahkamah hari ini (19 Apr) kerana menghadiri satu pesta barbeku di Taman East Coast bersama 11 orang yang lain pada Disember tahun lalu, di tengah-tengah langkah pengurusan selamat COVID-19 yang mengehadkan perhimpunan sosial kepada tidak lebih lima orang.

Anggaran Waktu Membaca:
COVID-19: Lelaki didenda S$2,500 gara-gara hadiri barbeku di pantai East Coast

Para pengunjung dilihat di Pantai East Coast pada 19 Jun 2020 setelah ia dibuka semula kepada awam selepas 'circuit breaker' COVID-19.

Diterbitkan : 19 Apr 2021 09:05PM Dikemas Kini : 19 Apr 2021 09:08PM

SINGAPURA: Seorang lelaki dikenakan denda S$2,500 di mahkamah hari ini (19 Apr) kerana menghadiri satu pesta barbeku di Taman East Coast bersama 11 orang yang lain pada bulan Disember tahun lalu, di tengah-tengah langkah pengurusan selamat COVID-19 yang mengehadkan perhimpunan sosial kepada tidak lebih lima orang.

Theepan Subramanian, seorang pegawai keselamatan berusia 27 tahun, mengaku bersalah atas satu tuduhan berhimpun dengan "kumpulan" melebihi lima orang di luar rumahnya bagi tujuan yang tidak dibenarkan.

Mahkamah diberitahu bahawa Theepan diundang ke majlis keramaian itu oleh rakannya di kawasan barbeku di Taman East Coast untuk meraikan ulang tahun ke-12 kelab kereta yang dipanggil Godstar.

Dia tiba di tempat barbeku itu dengan lagi dua rakan pada pukul 9.00 malam pada Sabtu 19 Disember 2020. Dalam tempoh sejam, sekurang-kurangnya 10 orang sudah berkumpul di sana.

Sekitar pukul 1.00 pagi pada 20 DIsember 2020, terdapat sekurang-kurangnya 12 orang di tempat itu - sedang makan, minum dan bergaul serta tidak memakai pelitup dan menjaga jarak selamat satu meter antara satu sama lain.

Sekitar pukul 12.30 pagi pada 20 Disember 2020, seorang lelaki menghubungi polis dan berkata: "Terdapat lebih 20 orang di tepi laut tidak mematuhi SDM (langkah jarak selamat)."

Timbalan pendakwa raya Joshua Lim meminta hakim mengenakan denda antara S$2,000 dengan S$2,500 ke atas Theepan.

Beliau berkata kes itu merupakan kali ketiga Theepan dihadapkan ke mahkamah kerana melanggar peraturan COVID-19. Sebelum itu dia pernah dikenakan denda di luar mahkamah pada bulan Mei dan Ogos tahun lalu.

Hakim memberitahu Theepan bahawa dia adalah yang anggota paling muda dalam kumpulan itu tetapi sudah melakukan beberapa kesalahan melanggar langkah-langkah pengurusan selamat.

"Apa yang cuba saya jelaskan kepada anda adalah - awak harus memandang serius perkara ini kerana ia masih menimbulkan risiko kesihatan awam dan kita semua perlu memainkan peranan," kata beliau.

Beliau memberi Theepan sehingga 10 Mei akan datang untuk membayar sepenuhnya denda yang dikenakan ke atasnya.

Sumber : CNA/NK/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan