COVID-19: Lelaki didenda kerana maki pegawai, ditangkap berkumpul 10 orang di Pusat Makanan Newton
Ketika Fasa 2 pembukaan semula Singapura pada 2020, seorang lelaki bertemu dengan sembilan orang lain di sebuah pusat penjaja bagi sambutan hari lahir.
SINGAPURA: Ketika Fasa 2 pembukaan semula Singapura pada 2020, seorang lelaki bertemu dengan sembilan orang lain di sebuah pusat penjaja bagi sambutan hari lahir.
Saiz kumpulan maksimum yang diizinkan ketika itu adalah lima orang.
Apabila duta-duta jarak selamat menghampiri kumpulan itu dan meminta mereka berhenti bercampur gaul, lelaki itu menjadi agresif dan memaki hamun mereka.
Idumehdrah Arumugam, 44 tahun, didenda S$6,500 atas kelakuannya itu pada Jumaat (11 Jun).
Dia mengaku bersalah atas satu tuduhan masing-masing menemui orang lain untuk tujuan yang tidak dibenarkan dan menggunakan kata-kata kesat terhadap seorang pegawai polis bantuan.
Dua tuduhan lain diambil kira sewaktu menjatuhkan hukuman.
Mahkamah diberitahu bahawa Idumehdrah berkumpul bersama sembilan orang lain di Pusat Makanan Newton sekitar 2 petang pada 11 Okt 2020 untuk satu sambutan ulang tahun.
Idumehdrah minum jumlah arak yang banyak bersama yang lain, kata pendakwa.
Beberapa orang awam memberitahu duta-duta jarak selamat dan seorang pegawai polis bantuan yang ditugaskan menguatkuasa peraturan COVID-19 tentang perhimpunan itu.
Pegawai berkenaan berserta dua duta mendekati kumpulan itu pada 5.10 petang dan menyaksikan mereka bercampur gaul, tidak menjaga jarak selamat dan merokok di bawah tempat teduh di depan sebuah gerai.
Pegawai itu menasihatkan kumpulan tersebut agar berhenti berinteraksi dan mematuhi jarak selamat, tetapi kumpulan itu tidak mengendahkannya. Apabila beliau menasihati mereka sekali lagi, Idumehdrah tiba-tiba menjadi agresif.
Dia menyuruh pegawai itu "pergi berambus dari sini" (go f*** off from here) dan memberitahu seorang duta untuk "berambus" (f*** off) berkali-kali.
Dia secara terang-terangan bersikap agresif terhadap pegawai dan dua duta itu, dan perlu ditahan oleh anggota lain kumpulan berkenaan. Salah seorang duta membuat laporan polis.
Para mangsa menjauhkan diri daripada kumpulan itu agar tidak memburukkan keadaan. Namun kumpulan itu bersurai meninggalkan tempat itu sebelum polis tiba.
Bagi kesalahan melanggar peraturan COVID-19, Idumehdrah boleh dipenjara sehingga enam bulan, didenda sehingga S$10,000, atau kedua-duanya.
Atas kesalahan menggunakan kata-kata kesat terhadap seorang pegawai awam, dia boleh dipenjara sehingga setahun, didenda S$5,000, atau kedua-duanya sekali.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.