Images
  • sg vaccination covid
    Warga Singapura di pusat vaksinasi. (Gambar: Ili Nadhirah Mansor)

COVID-19: Lebih ramai pesakit 50 tahun ke atas yang belum divaksinasi perlu bantuan oksigen

SINGAPURA: Satu kajian yang dijalankan oleh Pusat Nasional bagi Penyakit Berjangkit (NCID) mendapati lebih ramai pesakit COVID-19 yang belum divaksinasi dan berusia 50 tahun dan ke atas memerlukan bantuan oksigen.

Ini berbanding mereka yang sudah menerima satu atau lengkap dua dos vaksin.

Kajian itu, yang menganalisis kesan usia dan vaksinasi ke atas pesakit COVID-19, memeriksa 1,165 pesakit COVID-19 yang belum divaksinasi dan dimasukkan ke NCID antara Februari dengan Disember tahun lalu serta juga 328 pesakit positif COVID-19 yang dimasukkan ke NCID antara 28 April dengan 27 Jun tahun ini.

Mereka yang berada dalam kumpulan yang diperiksa tahun lalu belum divaksinasi kerana vaksin COVID-19 hanya disediakan mulai Disember 2020.

Dalam kenyataannya hari ini (22 Jul), NCID menyatakan daripada 153 pesakit COVID-19 berusia 50 tahun dan ke atas yang dimasukkan ke NCID antara 28 April dengan 27 Jun tahun ini, 41.8 peratus mereka yang belum divaksinasi memerlukan bantuan oksigen.

Ini berbanding 11.1 peratus mereka yang sudah menerima satu dos vaksin dan 1.7 peratus mereka yang sudah lengkap dua dos vaksin.

Hanya seorang pesakit COVID-19 yang sudah lengkap divaksinasi memerlukan sokongan oksigen dan beliau merupakan pesakit berusia 98 tahun.

"Dapatan itu menunjukkan kesan-kesan bermanfaat vaksin tersebut," menurut NCID.

"Selain itu, mungkin ada separa perlindungan dengan satu dos vaksin sebelum dilengkapkan dengan dos kedua."

"Bagaimanapun, harus ditekankan bahawa seseorang harus lengkap divaksinasi dengan dua dos untuk mendapat kesan perlindungan maksimum."

Kajian itu juga mendapati tiada pesakit berusia 50 tahun ke atas yang sudah lengkap divaksinasi memerlukan jagaan pergantungan tinggi atau jagaan rapi, manakala 10.6 peratus dalam kumpulan yang sama namun belum divaksinasi atau baru menerima satu dos memerlukan jagaan sedemikian.

"Secara umum, pesakit yang sudah lengkap divaksinasi mengalami penyakit lebih ringan dan semuanya selamat," menurut NCID.

Antara 328 pesakit yang positif COVID-19 pada 2021, 192 belum divaksinasi, 38 baru menerima satu dos dan 98 sudah menerima kedua-dua dos.

Dapatan itu juga menunjukkan hubung kait antara varian Delta dengan keperluan lebih tinggi bagi bantuan oksigen, berbanding varian asli daripada tahun lalu.

Daripada 328 pesakit yang dimasukkan ke NCID pada 2021, terdapat 247 pesakit di mana tersedia data mengenai varian.

Daripada 247 kes itu, sebahagian besarnya - iaitu 99.6 peratus - dijangkiti varian Delta.

Bagi pesakit COVID-19 yang berusia 50 dan ke atas yang belum divaksinasi atau baru menerima satu dos vaksin, kajian mendapati 33 peratus daripada pesakit dalam kumpulan itu memerlukan bantuan oksigen berbanding 13.6 peratus pesakit yang dijangkiti varian asli COVID-19 pada 2020.

"Varian Delta sangat mudah berjangkit dan dikaitkan dengan penyakit lebih teruk dalam kalangan pesakit yang belum divaksinasi dan yang baru menerima satu dos," menurut NCID.

"Oleh itu, NCID menggesa semua orang lebih-lebih lagi warga tua supaya divaksinasi secepat mungkin." 

- TODAY/NK/nk

Top