Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

COVID 19: Langkah pencegahan penularan pada hari pertama Pertunjukan Udara S'pura

Pertunjukan Udara Singapura di Pusat Pameran Changi berjalan lancar dan terus memikat hati pengunjung pada hari pertama ia dibuka kepada orang awam.

Anggaran Waktu Membaca:
COVID 19: Langkah pencegahan penularan pada hari pertama Pertunjukan Udara S'pura

(Gambar: Facebook/Official Singapore Airshow)

Diterbitkan : 15 Feb 2020 09:57PM Dikemas Kini : 16 Feb 2020 07:51AM

SINGAPURA: Pertunjukan Udara Singapura di Pusat Pameran Changi berjalan lancar dan terus memikat hati pengunjung pada hari pertama ia dibuka kepada orang awam.

Experia Events, yang menganjurkan acara itu, mengambil langkah berjaga-jaga bagi mencegah penularan penyakit virus COVID yang sedang melanda Singapura sekarang.

Jumlah tiket yang dijual dikurangkan separuh daripada jumlah 2018, dan habis dijual bagi acara aeroangkasa hari ini (15 Feb).

Acara dwitahunan pertahanan antarabangsa terbesar dan paling berpengaruh di Asia itu berlangsung hingga 16 Februari.

Aksi berani dan gah serta paparan berwarni-warni oleh pasukan aerobatik dari Singapura, China dan Amerika Syarikat terus menjadi kegemaran penonton.

Jika pada tahun-tahun sebelumnya, para pengunjung dibenarkan berjalan di sekitar kawasan pameran, mereka hanya dibenarkan menikmatinya dari jauh pada pertunjukan kali ini.

Barisan orang yang beratur untuk mencuba simulator jet pejuang pula lebih panjang kerana ia perlu dibersihkan secara menyeluruh setiap kali digunakan.

Kebanyakan pengunjung yang ditemui Mediacorp mengatakan ia adalah kali pertama mereka menghadiri acara dwitahunan itu.

Ramai juga berkongsi bahawa mereka tidak terlalu bimbang tentang penularan COVID-19 dengan sebilangannya mengambil langkah berjaga-jaga untuk melindungi diri mereka.

Ini termasuk menggunakan cecair membersihkan tangan, memakai pelitup dan tidak ke kawasan yang terlalu ramai orang selain mengamalkan kebersihan diri.

Menurut ST Engineering, yang merupakan peserta terbesar acara itu, tahap sokongan yang diberikan orang awam amat menggalakkan.

Ia juga tidak begitu terkesan oleh suasana lebih suram semasa acara dagangan awal minggu ini.

"(Pastinya) kami melihat jumlah pengunjung yang lebih kurang secara keseluruhan, tetapi kami masih menerima ramai pengunjung, pelanggan dan pihak berkepentingan ke astaka ST Engineering.

"Bahkan, kami juga berpeluang untuk berinteraksi dengan lebih mendalam bersama mereka, saya rasa kerana mereka dapat meluangkan lebih banyak masa bersama," menurut ST Engineering.

Pertunjukan Udara Singapura berakhir esok (16 Feb). 

Sumber : CNA/HA/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan