COVID-19: Kumpulan terakhir jemaah umrah S'pura selamat pulang ke tanah air
Kumpulan terakhir jemaah umrah Singapura, yang berada di Arab Saudi semasa penggantungan keberangkatan untuk ibadah itu pada lewat bulan lalu, sudahpun selamat sampai ke tanah air, pada Sabtu (7 Mac).
SINGAPURA: Kumpulan terakhir jemaah umrah Singapura, yang berada di Arab Saudi semasa penggantungan keberangkatan untuk ibadah itu pada lewat bulan lalu, sudahpun selamat sampai ke tanah air, pada Sabtu (7 Mac).
Penggantungan visa umrah dan pelancong ke Arab Saudi dilaksanakan akibat penularan virus COVID-19.
Keadaan di dalam pesawat yang menuju ke Arab Saudi sekarang lengang sahaja.
Keadaan juga serupa di Dewan Ketibaan lapangan terbang Jeddah, sejak pengeluaran visa umrah dan pelancong ke Arab Saudi, digantung buat sementara waktu.
Bandar Makkah yang lazimnya sibuk dengan kunjungan jutaan jemaah umrah dari merata dunia turut lengang sejak Arab Saudi melarang pelaksanaan ibadah umrah untuk semua, termasuk warganya, sejak Khamis lalu.
"Tiba-tiba keadaan berubah menjadi lain, tempat menjadi lengang dan kosong. Mereka pindahkan kita ke kawasan lain yang tempat lama ditutup kerana kita nampak pembersihan dilakukan," kata salah seorang jemaah umrah Singapura, Encik Sazali Salleh.
Selama dua hari, kawasan mataf juga ditutup dan hanya dibuka semula Sabtu lalu selepas proses pembersihan menyeluruh dijalankan.
"Rasa sayu pasal Kaabah itu sebenarnya tak pernah lengang. Setiap waktu akan penuh sesak tetapi apabila keadaan menjadi sepi, saya rasa agak sedih," luah beliau.
"Rasa nak tengok lagi Kaabah buat kali terakhir tetapi saya bersyukur dapat tawaf empat kali, cuma yang terakhir terkilan sedikit," kata seorang lagi jemaah umrah Singapura, Cik Nekma Nabawi.
Meskipun kawasan mataf keliling Kaabah sudahpun dibuka semula, larangan umrah terhadap semua orang masih berkuat kuasa.
Suasana lengang di dalam pesawat dari Singapura ke Jeddah bagaimanapun jauh berbeza daripada penerbangan dari Jeddah ke Singapura.
Daripada lebih 200 penumpang pesawat Saudia yang berlepas dari Jeddah, hampir 100 penumpangnya adalah jemaah umrah Singapura yang dipercayai kumpulan terakhir untuk berangkat pulang.
Sebagai langkah berjaga-jaga, para jemaah Singapura digalakkan memakai pelitup semasa berada dalam kalangan orang ramai.
Pemeriksaan suhu badan juga sering dilakukan oleh beberapa GSA seperti Shahidah Travel.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.