Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

COVID-19: Kelas senaman di tempat terbuka bersama jurulatih akan dibenarkan mulai 1 Sep

Mulai 1 September, kelas senaman di kawasan terbuka dibenarkan untuk disambung semula jika syarat-syarat tertentu termasuk kehadiran seorang jurulatih dan pemeriksaan suhu badan dipenuhi.

Anggaran Waktu Membaca:
COVID-19: Kelas senaman di tempat terbuka bersama jurulatih akan dibenarkan mulai 1 Sep

Para pengunjung taman memakai pelitup di Taman East Coast pada 19 Jul 2020. (Gambar: Try Sutrisno Foo)

Diterbitkan : 21 Aug 2020 09:01PM Dikemas Kini : 21 Aug 2020 09:05PM

SINGAPURA: Mulai 1 September, kelas senaman di kawasan terbuka dibenarkan untuk disambung semula jika syarat-syarat tertentu termasuk kehadiran seorang jurulatih dan pemeriksaan suhu badan dipenuhi.

Dalam satu kenyataan pada Jumaat (21 Ogos), Kementerian Kesihatan (MOH) mengumumkan bahawa kelas senaman, yang sebelum ini dihadkan kepada kemudahan sukan privet dan awam, akan dibenarkan di lebih banyak ruang terbuka di pusat-pusat sukan SportSG dan taman-taman, serta kawasan bersama blok-blok HDB.

Kelas-kelas ini mesti dianjurkan oleh seorang jurulatih yang akan bertanggungjawab memastikan langkah-langkah pengurusan selamat COVID-19 dilaksanakan.

Langkah-langkah ini termasuk pemeriksaan suhu badan dan saringan gejala, penjarakan selamat, dan menyimpan senarai peserta di tempat-tempat yang tidak tersedia dengan daftar masuk digital SafeEntry.

MOH menyatakan bahawa para jurulatih mesti mendaftarkan diri untuk menjalankan kegiatan-kegiatan ini. Pihak berkuasa akan mengeluarkan maklumat lanjut mengenai proses pendaftaran kelak.

"Senaman berkumpulan umum yang tidak dianjurkan oleh para jurulatih ini akan terus dihadkan kepada lima orang, selain sebarang syarat-syarat yang ditetapkan oleh pemilik premis."

Semasa sidang media pada petang Jumaat oleh pasukan bertindak berbilang kementerian yang menyelia tindak balas Singapura terhadap pandemik COVID-19, pengerusi bersama, Encik Lawrence Wong, yang juga Menteri Pendidikan, berkata bahawa perubahan peraturan itu bermaksud bahawa jurulatih tai chi dan qigong bersama Persatuan Rakyat, misalnya, boleh menyambung semula kelas mereka.

Agensi sukan kebangsaan Sport Singapore akan mengeluarkan lebih banyak maklumat mengenai peraturan tersebut dalam beberapa hari mendatang, kata Encik Wong.

Sejak Singapura memasuki Fasa 2 pembukaan semula ekonominya pada 19 Jun, kelas senaman yang dijalankan oleh jurulatih dibenarkan di kemudahan sukan privet dan awam, tertakluk kepada keizinan dan syarat yang ditentukan oleh pemilik premis.

Sehingga 50 orang boleh mengambil bahagian dalam kelas-kelas tersebut, bergantung kepada keupayaan dari segi ruang dan langkah-langkah jarak selamat. Peserta kekal berada dalam kumpulan lima orang, menjaga jarak 2 meter antara satu sama lain - kecuali kegiatan itu memerlukan sebaliknya - dan 3 meter antara kumpulan.


Muat turun aplikasi BERITAmediacorp bagi iOS atau Android dan langgani saluran Telegram kami bagi perkembangan terkini COVID-19: https://t.me/BERITAmediacorp

Sumber : Today/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan